KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di bawah Belanjawan 2024 kepada RM732.7 juta telah mengambil kira maklum balas yang diterima dari pihak industri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata peruntukan yang diterima akan disalurkan kepada pengurusan dan pembangunan keseluruhan komoditi di bawah jagaan KPK termasuk kelapa sawit, getah, kayu, kenaf, koko dan lada.
“Antara bidang tumpuan adalah berkaitan dengan ekonomi baharu yang juga dituntut dalam belanjawan kali ini iaitu biojisim, bagaimana kita menggunakan semua hasil buangan yang ada di dalam negara yang boleh dikitar semula bagi menjana pendapatan kepada bisnes dan negara kita.
“Dalam konteks itu, tumpuan kita ialah melihat dari segi teknologi dan inovasi untuk meningkatkan pengeluaran hasil yang lebih efisien, dan akhirnya produk hiliran kita akan menjadi lebih baik dan dapat menembusi pasaran global,” katanya menerusi program Ruang Bicara bertajuk ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ di BernamaTV, malam tadi.
Fadillah berkata, fokus utama kementerian ketika ini termasuk menjalankan misi untuk memperluaskan pasaran produk komoditi negara memandangkan terdapat cabaran di peringkat dunia seperti pengenalan peraturan baharu di peringkat Kesatuan Eropah (EU) serta persaingan di Amerika Syarikat yang ingin melindungi produk mereka.
“Kita kena pastikan pematuhan dari segi standard dan peraturan di peringkat dunia dapat dipatuhi supaya kita dapat menyebarluaskan hasil produk dan pasaran kita di luar negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata kementerian juga akan memberi tumpuan terhadap mendidik pekebun kecil kelapa sawit berhubung amalan terbaik dalam bidang pertanian.
“Cabaran kita sekarang ialah banyak pokok sawit yang sudah lewat usia, jadi sebab itu kita minta dalam belanjawan kali ini untuk mendapatkan peruntukan skim penanaman semula khusus untuk pekebun kecil.
“Menerusi RM100 juta yang diluluskan untuk Insentif Program Tanam Semula Sawit dalam bentuk geran dan pinjaman, kita harap pokok tua ini boleh ditanam semula supaya ia dapat menghasilkan buah yang boleh diproses dengan lebih cantik dan sudah pasti ia akan membantu pekebun kecil,” katanya. – Bernama