KUALA LUMPUR: Prinsip kebebasan media memerlukan pengamal media mempunyai kebertanggungjawaban dalam pelaporan berita, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Beliau berkata, pelaporan yang melanggar hak orang lain atau undang-undang tidak sepatutnya berlaku dan mestilah dielakkan kerana ia boleh mengakibatkan pihak media berdepan tindakan undang-undang.
Menurutnya pengamal media adalah bebas untuk membuat laporan dan menyampaikan maklumat yang sahih dan berwibawa kerana mereka tertakluk kepada Etika Kewartawanan Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) berhak untuk membatalkan Kad Perakuan Media yang dikeluarkan jika pengamal media melanggar Kod Etika, katanya sambil memberitahu jumlah kad yang dikeluarkan bagi tahun ini ialah 2,942.
Pada masa sama, beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sentiasa membuat liputan berdasarkan kepentingan masyarakat untuk memastikan penyebaran berita tepat dan cepat kepada masyarakat berdasarkan pengamalan media yang dipraktikkan sekian lama.
“Ia juga disesuaikan dengan keunikan dinamik dan landskap media negara kita berdasarkan lunas-lunas Perlembagaan Negara yang menggariskan batasannya termasuk kebebasan bersuara terutama membabitkan perkara sensitif seperti isu perkauman dan sebagainya,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat, hari ini.
Teo menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai langkah KKD dan agensi berkaitan bagi mengukuhkan peranan pengamal media dalam menyampaikan informasi sahih dan berwibawa.
Selain itu bagi mengukuhkan peranan pengamal media, beliau berkata RTM sentiasa melakukan reformasi penyiaran berkaitan isi kandungan dan teknologi yang digunakan.
Katanya RTM juga sekian lama mengamalkan tatacara pengendalian prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum berita disampaikan dalam format berita televisyen, berita radio atau menerusi media sosial rasminya bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah sahih.
“Selain maklumat yang ingin disampaikan perlu diperoleh daripada sumber sahih atau dikumpul sendiri di lokasi kejadian, berita yang diolah juga perlu melalui beberapa tapisan penerbitan termasuk semakan oleh pihak editorial sebelum disiar agar informasinya benar-benar sahih dan berwibawa.
“Sebarang siaran maklumat yang tidak benar akan diperbetulkan segera dengan pemakluman kesilapan tersebut (ralat),” katanya.
Bagi mengukuhkan peranan pengamal media, Teo berkata wartawan akan menerima latihan dari semasa ke semasa daripada pihak yang bersesuaian dan berpengalaman bagi menambah ilmu.
Katanya, pelbagai kursus refresher atau ulang kaji diadakan dengan kerjasama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk menentukan wartawan mendapat ilmu baharu dengan pendekatan pembelajaran sepanjang hayat, antaranya kewartawanan digital, teknik penceritaan dalam dunia digital dan diskusi pelbagai isu semasa dunia kewartawanan.
Sementara itu, Teo berkata, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai komitmen dan sokongan untuk terus meningkatkan kebebasan media serta membantu kumpulan itu menangani cabaran.
Beliau berkata, cadangan penubuhan MMM mengambil kira peranan Majlis itu untuk mempertahankan kebebasan media di negara ini dalam menyampaikan maklumat serta menetapkan kod etika yang memastikan pengamal media melaporkan berita secara berintegriti dan bertanggungjawab. – Bernama