USAHA untuk menambah jumlah kerusi Parlimen khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak akan menjadi sia-sia selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengubah kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Usul penambahan kawasan Parlimen itu diluluskan pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong 2023 di Betong Ahad lalu.
Yang menjadi persoalan ialah kaedah diguna pakai SPR iaitu ‘seorang satu undi’ (one man, one vote) yang bermaksud kedudukan kerusi dinilai berdasarkan jumlah pengundi, bukan keluasan kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila melakukan kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Jika PBB mahu tambahan kerusi Parlimen dan DUN, sepatutnya dimasukkan satu lagi usul iaitu mendesak SPR ubah kaedah itu – perlu dilakukan berdasarkan keluasan kawasan, bukan kaedah ‘one man, one vote’. Kemudian wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyuarakan desakan ini di Dewan Rakyat bagi membolehkan pindaan dibuat terhadap kaedah diguna pakai SPR untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Jika tidak, dikhuatiri nanti, ‘PBB yang minta, parti atau orang lain yang dapat’.
Contoh, Parlimen Bandar Kuching mempunyai 81,856 pengundi berdaftar berdasarkan statistik PRU-15, 2022; Miri (80,386), Sibu (74,149), Stampin (66,240), Bintulu (65,049) dan Lanang (61,973).
Tetapi banyak kerusi Parlimen di luar bandar dan pedalaman negeri ini begitu besar seperti Parlimen Baram tetapi cuma mempunyai 35,685 pengundi (2022).
Begitu juga kerusi Parlimen Saratok (30,517), Batang Lupar (29,811), Betong (41,743), Tanjong Manis (21,899), Lubok Antu (20,801) dan Igan (19,592).
Selagi SPR guna kaedah ‘one man, one vote’, kerusi yang mungkin dipecah untuk diberi tambahan kerusi Parlimen ialah di kawasan bandar seperti di Kuching, Stampin, Miri, Bintulu dan Lanang, semuanya kawasan yang mempunyai ramai pengundi keturunan Cina.
Ini bukan soal isu kaum, tetapi keadilan. Di kawasan bandar, boleh jengok semua kawasan menggunakan kereta dalam masa setengah hari tetapi di kawasan seperti Baram atau Ulu Rajang, hanya boleh berbuat demikian jika menggunakan helikopter.
Memudahkan urusan pentadbiran
Oleh itu, apabila SPR membuat persempadanan semula, perlu melihat dari segi masalah perhubungan, komunikasi, lokasi dan saiz kawasan Parlimen keseluruhannya.
Ada kerusi Parlimen yang mempunyai tiga kerusi DUN dan ini perlu dipecahkan kepada dua kerusi Parlimen bagi memudahkan urusan pentadbiran serta logistik Ahli Parlimen. Jika tidak, payah bagi Ahli Parlimen menjaga kawasan begitu luas yang terpaksa menelan kos tinggi seperti minyak petrol melalui jalan sungai selain memakan masa.
Nescaya, persempadanan kawasan pilihan raya ikut pengundi memang tidak sesuai. Sama ada setuju atau tidak, cadangan mengubah sistem persempadanan pilihan raya mengikut jumlah pengundi, tidak sesuai dilaksanakan di negara ini, terutama di luar bandar dan pedalaman.
Apa tidaknya, di sesetengah kawasan, jarak sebuah rumah dengan rumah lain ada yang lebih tiga kilometer. Malah jarak antara rumah panjang ada yang melebihi 50 kilometer di dalam kawasan Parlimen yang sama.
Fakta ini sudah cukup untuk mempertahankan sistem kawasan pilihan raya berdasarkan keluasan masih relevan dan tidak perlu berdasarkan jumlah pengundi.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018, ada desakan daripada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) supaya kedudukan kerusi dinilai berdasarkan jumlah pengundi, bukan keluasan kawasan Parlimen atau DUN.
Namun, Pengerusi SPR ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menolak cadangan berkenaan selepas mengambil kira pelbagai faktor dan risiko bahawa ia hanya sesuai dilaksanakan di bandar besar yang mempunyai ramai pengundi, tetapi tidak adil kepada masyarakat luar bandar.
Jika ikut kata BERSIH, maknanya pertambahan kerusi Parlimen mahupun kerusi DUN, akan hanya tertumpu di kawasan bandar sebab jumlah pengundi paling ramai.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah menyuarakan isu ini tidak berapa lama dulu. Menurut Abang Johari yang juga Pengerusi GPS dan Presiden PBB, jika faktor ‘one man, one vote’ diguna pakai, maka tiada wakil Ahli Parlimen dari kawasan luar bandar.
Apa yang dimaksudkan oleh Abang Johari ialah andai proses itu terus mengguna kaedah ‘one man one vote’, tiada pertambahan kerusi Parlimen di kawasan luar bandar sebab populasi kurang. Sebaliknya, yang untung adalah kawasan bandar kerana jumlah penduduk padat.
Tahun depan patut dilakukan perubahan sempadan pilihan raya
Berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, sebarang kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya hanya boleh dilakukan dalam masa lapan tahun sekali. Kajian semula persempadanan yang terakhir untuk Sarawak adalah pada 2015 dan Sabah pula pada 2017. Maknanya untuk Sarawak, jika nak lihat penambahan kerusi parlimen ia hanya akan berlaku selepas lapan tahun iaitu pada 2023.
Satu lagi isu ialah tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebelum Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, komposisi Ahli Parlimen di Semenanjung Malaysia kurang daripada dua pertiga. Bila Singapura sudah tiada, kesemua 15 kerusi Parlimen Singapura ketika itu diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu tanpa dibahagi kepada Sabah dan Sarawak.
Mengikut Perjanjian Malaysia 1963, termaktub bahawa Sarawak dan Sabah, harus memiliki satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Oleh itu, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu.
Justeru, setelah ketiadaan Singapura, seharusnya kerusi yang dimiliki republik itu diberi kepada Sabah dan Sarawak sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratu adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Seperti kata Naib Presiden PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengembalikan satu pertiga kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah adalah bagi menjamin tidak berlaku pencabulan hak kedua-dua negeri ini.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.