PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang diadakan baru-baru ini dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang mempertahankan kemenangan BN sebelum ini. Pencabarnya, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat mendapat 4,375 undi. Begitu juga Haslihelmy DM Zulhasli, bekas Pemuda UMNO Bahagian Bentong yang dipecat kerana bertanding atas tiket bebas hanya mampu memperoleh 47 undi dan hilang deposit.
Ini bermakna pemberontakan bekas anggota pergerakan Pemuda Bahagian UMNO itu dihukum oleh pengundi Pelangai. Namun tindak tanduk Pemuda UMNO yang dipecat itu, dijadikan modal oleh Perikatan Nasional seolah-olah kononnya UMNO sudah kehilangan sokongan orang muda dan ini menyebabkan undi Amizar menang tetapi majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Dari segi jumlah undi, Amizar lebih banyak sedikit undi iaitu 7,324 atau 62.35 peratus, manakala penyandang sebelum ini Allahyarham Johari Harun memperoleh 7,308 undi atau 57.71 peratus.
Terdapat peningkatan undi PN, iaitu daripada 25.74 peratus (3,260 undi) kepada 37.25 peratus (4,375 undi) – peningkatan sebanyak 11.52 peratus. Peratusan keluar mengundi adalah 72.12 peratus. Di sebalik tekanan daripada PN dengan dasar populisnya menunjukkan bahawa BN masih bernilai dan dihargai sebagai platform politik paling diyakini di Pahang.
Sistem ‘First-Past-The Post’
Malaysia mengamalkan sistem ‘First-Past-The Post’ yang bermaksud calon yang memenangi lebih tinggi undi akan diisytiharkan pemenang di mana-mana pilihan raya berlangsung. Perkara ini bermakna pihak yang mendakwa undi mereka juga besar adalah kurang relevan kerana dalam sistem diamalkan itu, hanya pemenang tertinggi adalah pemenang mutlak.
Kemenangan ini menunjukkan kerjasama BN-PH yang membentuk kerajaan negeri di Pahang diterima penduduk dan adakah ia juga menunjukkan penerimaan masyarakat di situ kepada pentadbiran Menteri Besar Pahang menerusi dasar-dasar yang memfokuskan golongan sasar daripada pelbagai pihak. Memang sistem ‘First-Past-The Post’ memberikan kelebihan besar kepada majoriti besar. Namun bukanlah kemenangan yang sangat selesa bagi pihak BN-PH.
Kewujudan gelombang hijau ini tidak dapat dinafikan sepenuhnya. Antara faktornya, euforia dan momentum gelombang hijau yang pernah wujud semasa PRU-15 dan berterusan ketika pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini sedikit sebanyak telah diperlahankan sejak PRK Pulai dan Simpang Jeram baru-baru ini dan rentaknya semakin perlahan di Pelangai.
Keduanya, penerimaan rakyat terutama penyokong BN terhadap kerjasama Kerajaan Perpaduan semakin meningkat dari sehari ke sehari. Ketiga, pengaruh politik setempat dan keperluan wujudnya sinergi antara Kerajaan Pusat dan negeri dalam memastikan kesinambungan legasi dan usaha daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu diteruskan tanpa masalah.
Elemen Kestabilan
Sepanjang gerak kerja lapangan dijalankan oleh penulis, didapati elemen kestabilan menjadi intisari yang agak dekat di hati penduduk walaupun masih ada yang terbawa-bawa sentimen emosi. Walaupun penerimaan kepada kerjasama BN dan PH di bawah Kerajaan Perpaduan ini semakin diterima terutamanya oleh penyokong asas BN, masih ada keperluan untuk memberi penjelasan yang tuntas berkenaan hala tuju dan jalan ke hadapan gabungan ini.
Kedua-dua parti yang bertanding ini juga membawa nama-nama besar untuk berkempen pada PRK DUN Pelangai, termasuk PN yang turut membawa ‘panglima perang’ mereka, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan dua bekas Perdana Menteri, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhiyiddin Yassin, namun impaknya masih tidak dapat menembusi kubu Barisan Nasional di Pelangai dan ternyata pengundi di Pelangai tidak mudah terpengaruh dalam membuat keputusan mereka.
Sentimen Melayu
Penduduk Pelangai seperti kawasan-kawasan majoriti Melayu yang lain akan tetap mengambil serius sentimen dan isu berkaitan kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu, maka sentimen dan political soundbites yang berkaitan isu-isu sebegini tetap sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi.
Bagaimanapun, pendekatan dalam menyampaikan mesej politik di Pelangai lebih personal, dan tidak terlalu terpisah daripada realiti setempat. Ini dilakukan oleh jentera BN-PH hingga hari terakhir kempen. PN juga bergerak lebih agresif dengan memperbanyakkan kempen dari rumah ke rumah untuk menembus kubu BN.
Sebab itu, dikatakan kempen ceramah PN hambar kerana tumpuan bentuk kempen ini. Cuma pada malam terakhir ceramah sambutan terhadap ceramah PN mendapat sambutan, iaitu kira-kira lebih seribu orang hadir.
Isu Nasional
Beberapa isu nasional juga dimainkan sepanjang tempoh berkempen yang merupakan political soundbites yang boleh menarik perhatian pengundi tetapi nuansanya perlu disetarakan kepada skop pemahaman penduduk setempat. Contohnya, hal berkenaan penghapusan hutang FELDA. Bagi PN, naratifnya mudah, Muhiyiddin telah menghapuskan hutang FELDA, tetapi hakikatnya langkah itu tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah FELDA malah semakin membebankan FELDA.
Maka langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menandatangani perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) merupakan langkah yang paling bertanggungjawab untuk memastikan FELDA terus berkelangsungan dan kehidupan para peneroka terjamin. Tetapi penjelasan Perdana Menteri juga dilihat sangat rumit dan kompleks untuk difahami warga FELDA.
Faktor Calon
Sejak awal lagi faktor calon merupakan faktor pendorong utama pengundi Pelangai yang dahagakan anak tempatan menerajui DUN. Kekuatan anak tempatan kedua-dua calon ini boleh dianggap setara, lebih-lebih lagi kerana mereka berdua mempunyai kaitan sejarah apabila calon BN dikhabarkan anak murid kepada calon PN. Jangkauan dan pengaruh kedua-dua calon juga merumitkan pengundi Pelangai dalam membuat pilihan kerana kedua-duanya telah banyak berbakti di Pelangai.
Kemenangan
Bagi BN, kemenangan ini akan memberi suntikan moral yang sangat diperlukan untuk membina kembali kekuatan parti dan membentuk kesatuan hati dalam kalangan jentera dan pendukungnya. Ia juga akan memberi keabsahan yang lebih besar terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan juga persekutuan, seterusnya membolehkan BN dan PH lebih fokus dalam mengemudi negeri/negara dan tidak perlu hilang fokus kerana sibuk menjawab tohmahan serta permainan sentimen pihak lawan.
Hakikatnya, penduduk Pelangai sebahagian besar menghargai segala usaha dan ikhtiar yang dijalankan oleh ADUN sebelum ini. Maka antara tugasan utama yang perlu dilaksanakan oleh Amizar adalah memastikan legasi Allahyarham Johari. Segala pelan dan inisiatif diteruskan dan penglibatan dengan rakyat tidak terhenti selepas kempen.
Ini termasuk penglibatan berterusan dengan pengundi luar secara maya. Antara perkara yang perlu dilihat secara serius adalah hal berkaitan infrastruktur seperti lampu jalan, akses laluan yang lebih selamat ke Pelangai, jalur lebar internet dan juga sistem perparitan yang perlu diberikan perhatian.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).