SATU kebiasaan berlaku di negara kita pada penghujung tahun adalah berlakunya musim hujan berpanjangan yang kadangkala membawa kepada banjir di sesetengah kawasan. Fenomena ini sesuatu yang sukar dielakkan, dan perlu satu pemantauan yang baik bagi mengelak sebarang kehilangan nyawa dan harta benda.
Hal ini juga berkaitan dengan usaha mengurus dan membantu mangsa banjir. Fenomena banjir ini bukan sesuatu yang baharu tetapi ia telah berlaku sejak lama dahulu.
Semasa pemerintahan Brooke di Sarawak, terdapat beberapa kejadian banjir berlaku. Banjir ini juga tidak mengenal tempat dan masa. Ia akan berlaku kerana kadar air banyak disebabkan hujan turun tanpa henti yang membawa kepada kenaikan paras air.
Banjir Besar
Dalam hal ini Lembah Rajang merupakan salah satu kawasan yang mempunyai peristiwa banjir dan kadangkala membawa kepada kesan buruk kepada kehidupan penduduk yang mendiami kawasan tersebut. Pernah dicatat bahawa banjir besar pernah berlaku di beberapa kawasan di lembah berkenaan.
Catatan awal pernah menceritakan mengenai banjir besar melanda Sibu, Katibas, Kanowit dan Kapit pada Mac 1887. Banjir besar di Lembah Rajang yang berlaku pada tahun itu, pernah juga berulang 23 tahun lalu. Kali ini banjir itu juga berlaku pada skala besar dan dianggap luar biasa kerana keadaan seumpama itu hanya akan berlaku pada musim landas dan kadangkala berlaku pada Ogos.
Kesan banjir besar pada tahun itu, berikutan hujan turun tidak berhenti-henti di Sibu selama lima hari. Oleh kerana banjir besar ini, Sibu ketika itu hanya dapat dihubungi menerusi pengangkutan air menggunakan sampan, tongkang dan beberapa lagi pengangkutan air yang lain.
Kemusnahan Tanaman
Banjir di Sibu ini menyebabkan kerosakan kepada hasil tanaman penduduk tempatan. Tanaman seperti lada yang sepatutnya akan dituai dalam beberapa bulan mengalami kemusnahan semasa banjir tersebut. Tanaman padi juga mengalami kemusnahan akibat limpahan air yang terlalu banyak di kawasan penanaman padi.
Masalah ini merebak pula ke bazar menyebabkan peniaga-peniaga Cina mengalami kerugian akibat banjir apabila barangan mereka rosak akibat air naik. Pada masa sama beberapa keluarga mencari pelindungan di Kubu Brooke, Sibu.
Namun ramai daripada penduduk kampung mengikat bot mereka di tepi rumah untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman kepada mereka dan harta benda.
Keadaan sama berlaku di Kapit apabila paras air melimpah lebih daripada paras biasa. Namun demikian keadaan di bazar agak terkawal walaupun paras air naik kerana pekedai-pekedai Cina berjaya membawa barangan mereka di tingkat atas kedai.
Keadaan di Katibas pula menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan bot untuk mengelak kenaikan paras air di kawasan mereka. Para pekedai Cina di Kanowit pula terpaksa membawa barang mereka ke Kubu Emma kerana limpahan air sungai yang tidak terkawal.
Rumah Hanyut
Pada 1918, satu lagi kejadian berlaku di Lembah Rajang. Kejadian banjir ini menyebabkan masalah pada sebahagian penduduk di Kapit. Fenomena banjir di Kapit ini berlaku selama tiga hari dari 15 hingga 17 Oktober 1918. Kawasan paling teruk dilanda banjir ini ialah Kampung Melayu di Kapit.
Masalah banjir ini menyebabkan Kampung Melayu telah ditenggelami oleh air. Hampir kesemua rumah iaitu kira-kira lapan rumah di kampung tersebut dihanyut oleh arus deras. Hanya dua rumah yang tinggi terselamat daripada masalah banjir tersebut.
Nasib penduduk kampung tersebut baik kerana mereka dapat menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa banjir. Ini kerana mereka dengan cepat bertindak untuk pergi ke kawasan lebih tinggi.
Kenaikan air pula pada kadar pelahan dan hal ini memudahkan mereka menyelamatkan diri dan barang-barang penting mereka. Tindakan segera ini membolehkan mereka tidak mengalami banyak kerugian.
Keadaan bazar pula selamat kerana air yang naik pada paras yang tidak membimbangkan dan tidak membawa kemusnahan kepada bazar tersebut. Jika air naik mendadak pada paras yang tinggi kemungkinan bazar Kapit juga boleh dihanyut oleh air banjir.
Tetapi, Kubu Sylvia yang merupakan pusat pentadbiran pula terselamat kerana paras kenaikan air banjir di kubu itu pada tahap rendah.
Pada 17 Oktober 1918, keadaan banjir mula terkawal apabila air mula surut pada sebelah malam. Aliran air sungai juga mula bergerak secara biasa walaupun hujan belum berhenti sepenuhnya.
Kejadian banjir juga berlaku pada Januari 1926 di Kapit. Namun demikian, banjir yang melanda Kapit tidak membawa masalah besar kerana hanya berlaku kenaikan air membanjiri jalan raya sehingga ke bazar.
Banjir kali ini tidaklah membahayakan pekan Kapit, tetapi kejadian banjir pada 1933 merupakan satu fenomena banjir besar yang lebih serius berlaku di Kapit.
Tiada Terkorban
Kejadian banjir besar ini berlaku pada penghunjung 1933 apabila bermula paras air di Sungai Rajang bertambah dengan kadar yang cepat. Paras air meningkat berterusan dari 26 hingga 27 Disember 1933.
Pada waktu pagi iaitu pada 28 Disember 1933 banjir ini mula menurun pada kadar yang perlahan. Penurunan paras air ini berterusan sehingga 30 Disember 1933 hingga bawah paras jalan raya.
Kenaikan aras air ini bagaimanapun tidaklah sangat menjejaskan harta benda kerajaan di pekan Kapit. Namun demikian kawasan simpanan bot-bot kerajaan pula mengalami kerosakan yang teruk.
Kesan banjir ini lebih teruk di kawasan Muara Balleh apabila kediaman orang Iban ditengelami air dan ada yang dihanyut oleh air. Satu yang menakjubkan berlaku dalam kejadian ini ialah tiadanya kehilangan nyawa direkodkan.
Kerugian juga berlaku ke atas kedai milik pekedai Cina. Oleh kerana air naik pantas menyebabkan mereka tidak sempat membawa barang-barang mereka ke tempat selamat. Banyak kerosakan ke atas barang jualan yang terdapat di dalam kedai-kedai tersebut.
Fenomena banjir yang berlaku di Lembah Rajang semasa pemerintahan Brooke ini menunjukkan bahawa kesannya amat besar ke atas penduduk dan harta benda. Keadaan ini boleh menjadi iktibar kepada kita hari ini kerana masalah ini lebih mencabar apabila fenomena banjir agak luar biasa kesan daripada greenhouse gas.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.