Oleh: Mohidin Hj. Malek
ANDREI ARSENYEVICH TARKOVSKY, pengarah filem yang berasal dari Rusia, dalam sebuah filem arahannya menyatakan, “seseorang penyair seharusnya mengocak jiwa, dan bukannya memupuk ‘pengidola’ (a poet must stir souls, not nurture idolaters)”. Walaupun kenyataan yang sedemikian itu mungkin dianggap sebagai biasa-biasa atau kurang disenangi oleh segelintir khalayak, namun, jika diteliti dengan mendalam, membawa pengertian yang amat mendalam, khususnya dalam konteks melaraskan matlamat dan hala tuju dalam dunia pengkaryaan.
Seseorang penyair, lewat karyanya harus mampu menyentuh jiwa khalayak pembaca sehingga bisa menerbitkan ‘penjiwaan menyeluruh’ yang pada kemuncaknya membangkitkan, sama ada kesedaran mahupun keinsafan, kesan daripada terbukanya kanta taakul tentang apa-apa juga persoalan yang dititipkan dalam karyanya. Seseorang penyair yang memiliki rasa kebertanggungjawaban terhadap matlamat berkarya seharusnya menepis keinginan untuk memupuk atau membangunkan kelompok ‘pengikut’ yang menjadikan dirinya sebagai idola sehingga mewujudkan sebuah kluster pengikut yang taasub.
Lantaran hal yang sedemikian itu, tugas serta tanggungjawab seseorang penyair, sebenarnya amat berat. Seseorang penyair mempunyai tanggungjawab untuk berdakwah (dalam konteks ini, ‘dakwah sastera’) dengan berpegang pada prinsip ‘amal makruf, nahi mungkar’, atau dalam bahasa Inggerisnya, to preach good deeds, not evil. Oleh itu, apa-apa juga yang terhasil, sewajarnya mampu mendidik dan menyedarkan khalayak pembaca agar berubah ke arah kebaikan.
Sajak, seperti yang dimaklumi umum, berupa peluahan rasa penyair. Apa-apa yang dinukilkan berupa ‘cedukan’ daripada peristiwa sebenar, sama ada yang dilihat mahupun yang dialami penyair sendiri, namun diolah dan diadun dalam bentuk yang kreatif. Chairil Anwar pernah menyatakan, “Sebuah sajak yang menjadi adalah sebuah dunia. Dunia yang dijadikan, diciptakan kembali oleh si penyair.” Hal sedemikian sememangnya benar. Apa-apa yang dipaparkan oleh si penyair dalam karyanya ialah ‘kutipan’ daripada sketsa kehidupan manusia seharian dari perspektif serta kanta pandang penyair. ‘Persembahan semula’ peristiwa mahupun pengalaman yang sedemikian itu pula tertitip atau terkias unsur ‘penyedaran’ dengan matlamat untuk ‘memanusiakan’ manusia.
Dengan berpaksikan hakikat ini, penyair dan karyanya seharusnya ‘menyatu’ dalam erti kata wujud kesepaduan antara kedua-duanya dari segi pelahiran serta penyajian unsur-unsur yang membangunkan sajak yang dinukilkan. Kesepaduan dari segi pemikiran, emosi serta penjiwaan. Kesepaduan yang mewujudkan ‘kemenjadian’ sesebuah karya yang terhasil. Tamsilnya, penyair ialah sajak, dan sajak ialah penyair. Seandainya si penyair tidak mampu merasai serta menjiwai sajaknya, usah mengharapkan khalayak yang disajikan karya berkenaan akan mampu memahami, menghayati dan menjiwainya. Suatu cabaran yang berat, akan tetapi tidak mustahil.
Dengan mengambil ingatan akan apa-apa yang diperkatakan, pandangan penulis dilaraskan kepada tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu. Sajak-sajak yang dimaksudkan ialah “Setitis Harap” yang diilhamkan oleh saudara Hafiz Mustapha, “Jemput”, hasil karya saudara Abu Adil dan “Seringgit”, nukilan saudara Ramzi Junai. Ketiga-tiga buah sajak ini amat polos dan mudah difahami. Dua daripadanya, iaitu “Setitis Harap” dan “Jemput” menyangkut sedikit unsur sufisme, manakala “Seringgit” lebih melihat kepada persoalan nilai kehidupan. Membaca, menghayati ketiga-tiga buah sajak ini, penulis mencari unsur ‘kemenjadian’ dalam konteks penciptaan ‘sebuah dunia’, seperti yang dinyatakan oleh Chairil Anwar di samping penyatuan antara si penyair dan karyanya.
Sebagai insan biasa di muka bumi ini, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan atau kesalahan yang dimengertikan sebagai ‘dosa’ dalam agama. Lantaran itu, kesedaran atau hidayah yang didatangkan, ada ketikanya membangkitkan keinsafan dalam sanubari. Hal sedemikian menerbitkan tindak laku ke arah ‘penyerahan diri’ kepada Yang Maha Esa bagi memohon keampunan dan ditetapkan iman agar tidak mudah terjebak dalam kancah noda. Dalam penulisan, sama ada sajak mahupun genre lain, secara tipikal, penyerahan diri dinukilkan berlaku pada waktu sepertiga malam. Hal ini bersandarkan hakikat bahawa pada waktu berkenaan, amat mudah untuk menikmati ketenangan yang menghadirkan khusyuk. Perkara ini sedikit sebanyak diketengahkan Hafiz dalam sajak “Secebis Harap”. Dipaparkan sajak berkenaan yang dinukilkan seperti yang berikut;
Secebis Harap
Sedang dingin erat mencengkam,
Berteman kelam bilik tanpa neon,
Bingkas daku meninggal bantal,
Mengalirkan air pada anggota dosa,
Membalut suci wudhu.
Pagi ini, sujudku pada Yang Esa,
Dipenuhi selaut harap,
Agar ada rahmat tersisa,
Buat sang penoda dunia.
Juga kualunkan kalam-kalam suci At-Tanzil,
Mengharap curahan tangis,
yang tidak kunjung tiba,
meski alunan telah ke penghujung.
Wahai Tuhan Yang Maha Lembut,
Engkau lembutkanlah hatiku ini,
Sepertimana Engkau mengizinkan Nabi Daud,
Melembutkan kerasnya besi waja.
Dari segi kerangka, sudah terlihat elemen sajaknya. Bagaimanapun, saudara Hafiz perlu memberikan perhatian dari segi ‘pengindahan’ dalam konteks pembinaan bait-bait serta pemilihan diksi.
Sekadar memetik beberapa contoh, baris kedua dan ketiga sajak ini, terkesan unsur kelewahan, iaitu “berteman kelam bilik tanpa neon” dan “bingkas daku meninggal bantal”. Dimaklumi bahawa bilik yang tidak berlampu sudah pastinya gelap atau kelam. Dan apabila bingkas daripada baring atau tidur, jelas gambarannya bahawa seseorang akan ‘meninggalkan’ sama ada tilam atau bantal. Lantaran hal sedemikian, memadai sekiranya dinukilkan “dalam kelam”dan“bingkas daku”. Demikian juga dengan ungkapan “membalut suci wudhu” dan “sang penoda dunia” yang agak kurang persis penggunaannya.
Unsur ‘penyatuan’ penyair (saudara Hafiz) dengan karyanya masih longgar. Walaupun dari segi mesejnya baik, namun, unsur emosi yang kurang mengesankan sedikit sebanyak menjejaskan keindahan yang ingin ditampilkan. Namun demikian, secara umum, sajak ini baik dan sekiranya dilakukan pemurnian, pasti mampu menjadi sebuah hasil karya yang indah dan mengesankan.
Beralih kepada sajak “Jemput”, saudara Abu Adil mengetengahkan tentang ‘persediaan’ yang perlu dihadapi oleh setiap umat manusia dalam penantian untuk dijemput kembali kepada Yang Maha Pencipta atau dengan kata lain kembali ke alam barzakh.
Rangkap pertama dan kedua sajak ini dibina agak baik serta amat mudah difahami. Penyair menitip pesan bahawa amal ibadat berupa ‘busana’ yang wajar ‘ditempah’ sebagai bekalan ke negeri abadi.
Namun, dalam rangkap ketiga, saudara Abu cuba menitip pesan akan ‘kengerian’ atau siksa yang bakal menanti manusia yang “cuba pulang sendiri/tanpa jemputan Ilahi/serta persiapan rapi”.Perkara yang menimbulkan persoalan adalah pada bait “… pulang sendiri/tanpa jemputan Ilahi”. Dalam apa-apa pernyataan yang menyentuh perihal agama, penyair perlu mengambil sikap berwaspada. Rujukan harus dilakukan bagi mengelak daripada berlakunya polemik yang kurang menyenangkan. Dipaparkan kembali sajak berkenaan seperti yang berikut;
Jemput
Setiap hari
kita menunggu
untuk dijemput pulang
ke negeri abadi.
Persiapan dilaksana
bermandi ibadah
berhias amalan
hingga semerbak bau jasa
dirindui dunia sementara
dirayakan akhirat selamanya.
Dan ngerinya abadi
bagi yang cuba pulang sendiri
tanpa jemputan Ilahi
serta persiapan rapi.
Sajak “Seringgit” karya saudara Ramzi Junai ringkas, namun menitip mesej yang agak menarik untuk diperkatakan. Ketika masyarakat umum mendepani kepayahan akibat penurunan nilai wang serta kenaikan harga barangan keperluan, pastinya upaya berbelanja semakin ‘merosot’, khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah atau berada pada tahap kemiskinan. Bagi golongan yang berada, kesannya tidak terlalu ketara. Hal sedemikianlah yang diluahkan oleh saudara Ramzi. Bagi golongan yang berada, seringgit seakan-akan tiada nilainya. Namun bagi yang hidup dalam kesusahan, seringgit mampu menjadi ‘penyelamat’ kelangsungan kehidupan. Saudara Ramzi menukilkan sajaknya sebegini;
Seringgit
pada tangan si kaya
yang melempar
kencang lagi angkuh
tidak terasa apa
seringgit hanya kertas biasa
pada tangan si miskin
yang bergetar
menghulur penuh ikhlas
niat mencari berkat
seringgit begitu berharga
nilai iman sebenar
Dari segi pengolahan, sajak ini baik. Pun demikian, saudara Ramzi perlu berhati-hati ketika menggunakan kata ‘apa’ pada baris keempat. Rujuk kamus untuk memastikan kepersisan penggunaannya.Juga sekadar cadangan, baris berikutnya, iaitu “seringgit hanya kertas biasa” boleh sahaja ditiadakan.
Secara umumnya, ketiga-tiga buah sajak yang disiarkan agak baik dari segi pengolahannya. Namun, masih wujud ruang untuk penambahbaikan atau pemurnian. Seperti yang dinyatakan pada bahagian awal makalah, unsur penyatuan antara penyair dengan karyanya perlu dan hal sedemikian dikesan masih agak longgar. Unsur penjiwaan merupakan salah satu komponen yang menjadikan sesebuah sajak itu ‘mengesankan’ dan menyentuh jiwa khalayak pembaca.
Kepada ketiga-tiga pengkarya, saudara Hafiz Mustapha, Abu Adil dan Ramzi Junai, tahniah dan syabas. Teruskan usaha untuk menghasilkan lebih banyak karya. Jadikan kamus teman setia dalam dunia pengkaryaan. Salam bahasa, sastera dan budaya.