SEPTEMBER mempunyai peristiwa tersendiri dalam sejarah Sarawak kerana pada bulan ini seorang pelayar berbangsa Inggeris menjadi raja di sebuah kawasan yang asing bagi beliau. Yang dimaksudkan ialah James Brooke. Peristiwa yang mengangkat beliau sebagai raja di negeri ini berkisar kepada meletusnya kebangkitan di Sarawak sekitar 1820-an.
Wacana kali ini cuba memperincikan beberapa hal mengenai kebangkitan ini. Bagaimana kebangkitan ini meletus dan bermula? Terdapat dua pendapat mengenai perkara ini.
Punca Masalah
Daripada naratif orang Barat khususnya sejarah dari James Brooke, kebangkita ini berlaku kerana tindakan keras Pengiran Mahkota Muhammad Salleh di Sarawak Asal. Beliau telah ditugaskan oleh Sultan Omar Saifuddin II untuk mentadbir Sarawak Asal.
Menurut profesor saya dulu, penghantaran Pengiran Mahkota Muhammad Salleh ke Sarawak Asal kerana Sarawak ketika itu mempunyai hasil mahsul bumi yang kaya iaitu antimoni. Pada masa sama, Kesultanan Brunei mengalami kemerosotan ekonomi kerana perdagangannya merosot akibat persaingan dengan Sepanyol dan Kesultanan Sulu.
Malah, di empayar Brunei sendiri berlaku ketidakstabilan politik dengan berlaku pertikaian takhta kerajaan. Akibatnya, ekonomi Empayar Brunei merosot sedangkan wilayah selatannya, iaitu Sarawak Asal makmur dengan hasil bumi.
Ketika itu, Sarawak Asal diperintah oleh Datu-Datu Melayu keturunan Perabangan. Sultan Brunei pula memberi kuasa kepada pembesar ini untuk mentadbir Sarawak Asal. Datu-Datu Melayu ini pula terdiri daripada tiga pembesar bergelar. Yang paling kanan adalah Datu Patinggi Ali, manakala kedua pula Datu Bandar dan ketiga adalah Datu Temenggung.
Mereka adalah pembesar Melayu yang berkuasa ke atas wilayah Sarawak Asal termasuk penduduk pelbagai kaum di dalamnya. Atas sebab kemakmuran Sarawak ini, maka Pengiran Mahkota dihantar ke Sarawak bagi mentadbir Sarawak.
Kerahan
Hal ini menyebabkan Datu-Datu Melayu ini terlucut jawatan mereka. Ketika itu juga sumber James Brooke mendapati Pengiran Mahkota Muhammad Salleh memeras ugut penduduk tempatan terutama orang Bidayuh untuk mengerjakan lombong antimoni. Hal ini menambah rasa tidak harmoni di Sarawak yang membawa kepada kebangkitan di bawah pimpinan Datu Patinggi Ali melawan Pengiran Mahkota.
Kebangkitan ini gagal dihapuskan oleh Pengiran Mahkota kerana terdapat bantuan daripada Kerajaan Sambas. Akibatnya, Sultan Omar Saifuddin II menghantar Pengiran Bendahara Muda Hashim ke Sarawak Asal. Episod penghantaran Pengiran Bendahara Muda Hashim ini pula membawa satu lagi cerita baharu dalam kebangkitan di Sarawak.
Terdapat pendapat mengatakan penghantaran Pengiran Muda Hashim disengajakan bagi menjauhi dia daripada takhta kerajaan. Atas sebab itu juga, kebangkitan di Sarawak itu dibiarkan berlarutan untuk tujuan tersebut.
Akibatnya, Pengiran Muda Hashim berasa resah kerana kebangkitan yang berlaku tidak reda. Malah, beliau menggunakan segenap kekuatan tentera Brunei termasuk dari penduduk Sungai Skrang untuk menundukkannya. Ada kala, tentera beliau berjaya menumbangkan beberapa kubu penentang tetapi usaha beliau masih gagal menghapuskan kebangkitan ini.
Menjual Sarawak
Satu lagi naratif mengatakan bahawa, kebangkitan berlaku kerana hasutan Pengiran Yusof. Beliau merupakan salah seorang kerabat Sultan Brunei. Beliau juga mempunyai hasrat menjual Sarawak Asal kepada Kerajaan Sambas. Tidak dinyatakan sebab sebenar hendak menjual kepada Sambas.
Hasrat Pengiran Yusof ini disampaikan kepada Sultan Omar Ali Saifuddin II kerana Sarawak Asal merupakan pegangan Sultan berdasarkan takrifan Sungai Kerajaan. Hasrat ini tidak dipersetujui oleh Sultan Omar Ali Saifuddin II.
Atas sebab itu, Pengiran Yusof mencari jalan untuk memenuhi kehendaknya, maka beliau telah menghasut pemimpin dan penduduk Sarawak Asal untuk memberontak terhadap Pengiran Mahkota. Hasutan ini berjaya mempengaruhi Datu Patinggi Ali dan pembesar Sarawak yang lain serta masyarakat Bidayuh.
Hasutan Pengiran Yusof ini mendapat perhatian dan sokongan juga kerana pemerintahan Pengiran Mahkota adalah keras. Oleh itu, timbul kebencian penduduk tempatan terhadap utusan Brunei ini. Maka, dengan mudah pula kebangkitan ini meletus. Di samping itu, Kesultanan Sambas yang tidak berkesempatan mendapatkan Sarawak Asal telah memberi bantuan kepada penentangan ini.
Perebutan Takhta Kerajaan
Naratif ini juga menyentuh bagaimana Pengiran Muda Hashim dihantar ke Sarawak Asal. Kisah penghantaran Pengiran Muda Hashim ke Sarawak Asal ini dikaitkan pula dengan perebutan takhta kerajaan antara beliau dan Pengiran Yusof. Pengiran Yusof semasa ketiadaan Pengiran Muda Hashim telah memangku jawatan Pengiran Bendahara.
Dalam hal ini, Pengiran Yusof mempunyai cita-cita menjadi Sultan Brunei sambil ketiadaan Pengiran Muda Hashim. Naratif ini bertambah menarik apabila perancangan Pengiran Yusof yang awalnya menampakkan kejayaan, tetapi kehadiran James Brooke memadamkan rancangan ini.
Ini kerana Pengiran Muda Hashim yang gagal menghapuskan kebangkitan ini telah meminta bantuan James Brooke. James Brooke pada awalnya menolak, tetapi kemudiannya menerima selepas balik lawatan dari Sulawesi. Penerimaan James Brooke untuk membantu Pengiran Muda Hashim ini juga menimbulkan persoalan.
Dalam naratif Brooke sendiri menyatakan bahawa bantuan kepada Pengiran Muda Hashim ada kaitan dengan penawaran pengiran tersebut untuk menyerah Sarawak Asal kepada James Brooke. Adakah hal ini menjadi sebab utama atau James Brooke sendiri mengalami masalah perniagaannya yang tidak berjaya di Kepulauan Melayu? Persoalan ini boleh diamati juga kerana Sarawak mempunyai galian berharga iaitu antimoni kemudian emas untuk membantu James Brooke mengaut keuntungan.
Rundingan Bukan Perang
Apabila James Brooke yang tidak mempunyai bala tentera membantu Pengiran Muda Hashim dalam menghapuskan kebangkitan ini diuar-uarkan bahawa, pemberontak telah dikalahkan oleh James Brooke. Jika diamati dengan penuh teliti, James Brooke tidak dapat menghapuskan kebangkitan ini secara perang. James Brooke menggunakan meja rundingan untuk menamatkan kebangkitan ini.
Dalam hal ini, James Brooke sebenarnya mengambil kesempatan untuk membina kekuatannya di Sarawak Asal untuk bersekutu dengan penduduk tempatan. Sokongan daripada penduduk tempatan ini memberi semangat kepada James Brooke untuk menuntut tawaran Pengiran Muda Hashim. Akhirnya beliau berjaya menekan pengiran tersebut dan menjadi raja Sarawak pertama.
Secara kesimpulannya, perbincangan yang cuba dibawa ini menunjukkan perlunya penyelidikan lebih meluas tentang sejarah Sarawak. Ini kerana apa yang hilang dalam kedua-dua naratif ini ialah peranan penduduk tempatan.
Dalam kedua-dua naratif ini, hanya menyatakan bahawa orang tempatan memberontak tetapi mengapa mereka memberontak ini hanya dicerita daripada sudut pandangan Brooke dan Brunei? Atas sebab itu, sejarah Sarawak ini perlu diperkasakan untuk melihat elemen tempatan dalam pensejarahan Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.