KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) digesa untuk mewujudkan paparan papan pemuka (dashboard display) bagi membolehkan rakyat melihat peratusan perjalanan sesuatu projek dan tempoh masa ia disiapkan.
Senator Dewan Negara, Dato Ahmad Ibrahim berkata, KKR juga perlu meletakkan tempoh atau limitasi kepada mana-mana syarikat yang memperolehi projek pembangunan untuk memastikan pemantauan dapat dilakukan secara ketat.
“Saya sarankan supaya pihak kementerian seperti Kementerian Kerja Raya mewujudkan satu paparan papan pemuka atau dashboard display atau di laman sesawang yang mana rakyat boleh melihat peratusan perjalanan projek dan tempoh masa projek itu akan disiapkan sama ada perjalanan projek tersebut mengikut masa yang telah diberikan atau tidak.
”Kita di era digital ini sepatutnya senang-senang mendapat informasi terkini. Semuanya terdapat di hujung jari akan tetapi, malangnya perkara sebegini diremehkan seolah-olah kita masih berada di tahun 70-an,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan pra-syarat kelayakan perlu setimpal dengan profil syarikat dan hasil kerja mereka bagi mengelakkan penyalahgunaan dana awam sehingga mencacatkan mana-mana projek.
Dalam perkara lain, beliau juga menyambut baik pelan untuk menaik taraf 1,200 klinik daif pada 2023 dan 2025 sebagai usaha memelihara kesihatan rakyat sejajar dengan konsep Malaysia Madani.
”Hal ini kerana kita tahu betapa pentingnya kemudahan kesihatan awam dititikberatkan memandang kita berada di pasca Covid-19. Lagi-lagi di pedalaman Sarawak ada sesetengah klinik daif yang usang harus diberi perhatian.
”Saya berharap dengan dinaiktarafnya klinik daif, kesihatan rakyat dapat dipelihara sejajar dengan konsep Malaysia MADANI,” tambahnya.