KEMBARA Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta paduka-paduka anakanda ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini, memperlihatkan kemesraan ikatan Raja dan rakyat di dua negeri Borneo ini.
Inilah dikata Raja dan rakyat berpisah tiada. Rakyat di kedua-dua negeri ini berbaris di tepi jalan raya menyambut baginda dan keluarga, manakala baginda juga berkenan sanggup keluar dari kereta yang dipandunya sendiri untuk bersalaman serta berswafoto dengan rakyat jelata.
Kemeriahan ini diserikan lagi dengan beberapa aktiviti bersama rakyat yang melahir rasa perpaduan kuat antara Raja dan rakyat. Baginda juga melawat pelbagai kaum di Sarawak dan Sabah termasuk di rumah panjang.
Kunjungan kerja
Sebelum kembara ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga pernah melawat Sarawak. Sarawak adalah antara negeri pertama dilawati oleh baginda. Lawatan baginda dilakukan pada 25 April 2019 selama dua hari. Pasangan Diraja itu berkenan melawat Lebuh India dan Tebingan Kuching serta menghadiri sesi talimat Majlis Islam Sarawak.
Raja Permaisuri Agong pula melakukan lawatan ke bangunan Mahkamah Lama, Muzium Ranee Brooke dan pameran kraf tangan serta demontrasi masakan tradisional Sarawak. Lawatan kedua dilakukan oleh baginda berdua adalah pada April 2022. Baginda bersama Raja Permaisuri Agong melakukan lawatan rasmi selama dua hari. Lawatan baginda ini dipenuhi dengan aktiviti bersama rakyat Sarawak termasuk berbuka puasa.
Lawatan pertama
Jika ditinjau dari segi sejarahnya, lawatan pertama Yang di-Pertuan Agong ke Sarawak berlaku pada 1964. Ketika itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Harun Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tengku Budriah ibni Almarhum Tengku Ismail merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama melawat Sarawak sejurus sahaja pembentukan Malaysia.
Lawatan pertama ini telah disambut meriah oleh penduduk Sarawak. Lawatan selama enam hari itu telah melawat beberapa tempat di Kuching. Semasa lawatan di Kuching baginda dan Raja Permaisuri disambut dengan meriah oleh penduduk di Kuching.
Pelbagai kaum di Kuching mempersembahkan nyanyian, tarian dan drama kepada baginda berdua. Antara tempat dilawati pasangan Diraja oleh adalah muzium dan kedai kraftangan penduduk tempatan. Baginda juga melawat Markas Batalion ke-7 Askar Melayu Diraja. Baginda dan Raja Permaisuri sempat juga melawat Sibu dan turut disambut meriah oleh masyarakat tempatan di sana.
Sebelum Merdeka
Berbalik dengan kembara Al-Sultan Abdullah sebagaimana semua tahu bahawa, baginda adalah Sultan Pahang, namun kunjungan dan lawatan oleh kerabat Sultan Pahang ke Sarawak pernah berlaku sebelum ini.
Malahan hal ini berlaku sejak sebelum penubuhan Malaysia. Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah yang merupakan datuk kepada Al-Sultan Abdullah merupakan Sultan Pahang pertama melakukan lawatan ke Sarawak.
Pada 1958, baginda dan rombongan seramai lapan orang yang lain dikatakan pernah melakukan kunjungan ke Sarawak. Baginda dan rombongan pada asalnya melawat Brunei atas jemputan Sultan Brunei semasa pembukaan masjid baharu di Bandar Seri Begawan.
Baginda dan rombongan telah berangkat pulang dari Brunei dan singgah ke Sibu dan Kuching. Selepas penubuhan Malaysia iaitu pada Mei 1965 pula Sultan Abu Bakar dan Permaisuri telah melakukan lawatan semula ke Sarawak. Lawatan baginda ke Kuching sebagai Panglima Tertinggi kepada Rejimen Melayu Diraja. Semasa lawatan ini, baginda melakukan lawatan ke tentera Melayu di Kuching dan Sibu. Sebelum itu baginda berkenan melakukan lawatan ke Jesselton (Kota Kinabalu).
Melawat Askar Melayu
Lawatan baginda ke Sibu disertai juga oleh Gabenor Sarawak, Tun Abang Openg dan Setiausaha Persekutuan, Syed Hashim Abdullah. Semasa di Sibu baginda mengingatkan askar Melayu menjaga nama baik yang mereka telah tunjukkan semasa 12 tahun darurat di Tanah Melayu dan semasa krisis di Congo.
Dalam hal ini baginda menambah selain menjaga nama baik askar Melayu, mereka juga harus memenangi hati penduduk tempatan dan seterusnya melahirkan kerjasama dengan penduduk tempatan. Dalam lawatan ini juga baginda dibawa oleh Lt. Col. Ismail Ibrahim berangkat ke Katibas menggunakan helikopter.
Di Katibas yang berdekatan dengan sempadan Indonesia, baginda dibawa melawat rumah panjang menggunakan bot panjang. Ketibaan baginda di rumah panjang disambut oleh penduduk kampung dengan upacara tradisional. Baginda sempat berbual dengan penghuni rumah panjang menggunakan bahasa Melayu. Gabenor Tun Abang Openg yang mengiringi baginda pula menterjemahkannya ke dalam bahasa Iban.
Berangkat balik daripada tinjauan ini, baginda dan rombongan berkenan menghadiri jamuan di Mes Pegawai Rejimen. Sebelum berangkat ke Kuching, baginda melakukan lawatan ke kampung Melayu di Sibu. Semasa di kampung Melayu, baginda disambut oleh wanita Melayu yang berbaris di jalan raya sambil menabur beras kuning.
Selepas itu baginda berangkat untuk berlepas dari Sibu ke Kuching. Di Kuching juga baginda berkenan berangkat ke kampung Melayu. Baginda dan permaisuri beradu satu malam di Astana sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
Sementara ayah Al-Sultan Abdullah iaitu Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pula pernah melakukan beberapa lawatan rasmi ke Sarawak. Antara lawatan yang cukup bersejarah dilakukan oleh baginda adalah lawatan menerusi jalan laut. Lawatan ini dilakukan pada 1986 menggunakan Feri Malaysia “Cruise Muhibah”. Keberangkatan tiba baginda dan Sultanah Kalsom disambut Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce. Lawatan itu sebagai sebahagian daripada upacara pelancaran Feri Malaysia.
Selain itu, baginda dan permaisuri juga pernah melakukan lawatan ke Sarawak dari 2 Disember 1993 sehingga 5 Disember 1993. Lawatan Sultan Pahang ke Sarawak ini menunjukkan hubungan rapat antara kedua-dua negeri.
Al-Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong sekarang melakukan lawatan yang berbeza dengan sultan-sultan Pahang terdahulu dengan mengenal lebih dekat rakyatnya di Sarawak dan Sabah menerusi jelajah kembara yang mencipta sejarah dalam siri lawatan Diraja ke Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.