PEMBENTUKAN Malaysia telah melalui pelbagai peringkat untuk menerang dan mendapat persetujuan penduduk Sarawak. Akhirnya penubuhan Malaysia dimeterai dalam Perjanjian Malaysia. Persetujuan ini menetapkan bahawa Malaysia akan dibentuk pada 31 Ogos 1963.
Hal ini membawa kegembiraan seluruh rakyat, dan pelbagai persediaan dilakukan untuk meraikan hari yang bersejarah ini. Persediaan untuk mengadakan upacara sambutan ini dilakukan dengan pelbagai acara. Acara-acara ini melibatkan pelbagai peringkat umur dan disertai semua penduduk Sarawak daripada pelbagai kaum dan agama.
Atur cara sambutan
Pada awalnya arahan telah dikeluarkan untuk mengadakan atur cara sambutan Hari Malaysia pada 31 Ogos 1963 di Sarawak. Tentatif aturcara ini bermula pada pagi 30 Ogos 1963 dengan ucapan gabenor terakhir British di radio. Sebelah tengah hari upacara simbolik dengan pelepasan pulang Gabenor British di Pangkalan Batu.
Disitu dijalankan upacara selamat tinggal gabenor dengan diadakan satu perbarisan anggota keselamatan. Tembakan 17 das mariam juga dilakukan bagi menanda kepulangan Gabenor British dari Sarawak. Bendera Union Jack diturunkan apabila Gabenor British meninggalkan Astana.
Acara seterusnya dilakukan dengan harapan wakil dari Tanah Melayu akan datang pada Hari Malaysia. Jangkaan mereka adalah Tun Abdul Razak Hussein akan datang ke Sarawak, manakala beberapa wakil Sarawak akan pergi ke Tanah Melayu bagi menghadiri upacara pengisytiharaan Malaysia di Kuala Lumpur.
Tentatif seterusnya menyatakan bahawa pada 31 Ogos 1963 upacara diadakan dengan pengisythiraan Malaysia oleh Ketua Menteri. Pada hari tersebut juga perarakan pasukan keselamatan dijalankan selain tembakan mariam sebanyak 101 kali dilakukan.
Ketika itu juga Gabenor baharu Sarawak akan mengangkat sumpah sebagai ketua negeri yang baharu. Acara sambutan ini berlangsung sehingga 3 September 1963. Pada 1 September 1963 pula dijadualkan Gabenor Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak akan menghadiri pengisythiraan Malaysia oleh Tuanku Abdul Rahman Putra Alhaj di Stadium Merdeka. Pada 2 September 1963 iaitu hari Isnin diisytiharkan sebagai cuti umum. Pada hari tersebut diadakan pelbagai aktiviti seperti pesta menuba, polo air, acara terjun dan berenang.
Persediaan Daerah
Kemeriahan untuk meraikan Hari Sarawak juga dipanjangkan ke beberapa bahagian, daerah dan kampung di Sarawak. Kabong dan Roban misalnya akan mengadakan upacara secara kecil-kecilan untuk menyambut hari tersebut.
Saratok menjadi kawasan tumpuan dengan ada pelbagai aktiviti sambutan Hari Malaysia pada 30 Ogos 1963 dengan Pesta Sukan ‘Rami’ yang mengandungi acara pertunjukan bunga api dan perlawanan bola sepak serta sukan-sukan lain.
Hari berikutnya disusuli dengan acara konsert. Kegembiraan dan semangat merdeka anak-anak Sarawak ini tidak patah walaupun tarikh Hari Malaysia ini ditunda kepada 16 September 1963. Acara yang disusun sebelum ini diubah suai dan dijalankan mengikut perancangan baharu.
Di Kuching upacara sambutan Hari Malaysia dijalankan dengan penuh warna-warni dengan ketibaan Gabenor Sarawak, diikuti dengan 21 das tembakan mariam serta mengibar bendera Malaysia dan Sarawak.
Menteri Pertanian, Mohamed Khir Johari membaca perisytiharaan Malaysia dan diikuti pula oleh Ketua Menteri yang membaca permasyhoran negeri Sarawak. Selepas itu Gabenor baharu mengangkat sumpah didepan Hakim Besar.
Di peringkat daerah persiapan mengadakan Hari Malaysia disusun dengan rapi. Jawatankuasa perayaan Hari Malaysia di Saratok menyusun semula program mereka dengan memulakan acara regata pada 15 September 1963. Ia diikuti dengan sukan darat, perarakan, menaikkan bendera dan tembakan mariam pada 16 September 1963.
Sukan Bola Sepak
Di Kabong pula perayaan Hari Malaysia ini diadakan seawal 14 September 1963. Acara sambutan dimulakan dengan pelawanan bola sepak antara kampung untuk merebut Kabong Malaysia Cup. Selepas itu diikuti dengan pesta Tanglong dan pertandingan Ratu Kebaya serta acara bergendang Melayu.
Di Kalaka pula aturcaranya berbeza dan mereka memulakan sambutan itu pada 14 September 1963. Mereka memulakan acara dengan pesta menuba dan selepas itu diikuti dengan regatta dan sukan darat. Pada 16 September 1963 acara yang diadakan adalah menaikkan bendera Malaysia dan tembakan mariam.
Satu upacara unik dijalankan adalah Tugal Kusang (Kurong). Upacara ini merupakan adat lama yang melibatkan penyerahan kayu tugal kepada pengerusi Majlis Daerah Kalaka bagi memperingati Hari Malaysia. Upacara menanam pokok, bergendang dan ngajat serta pelawanan bola keranjang juga diadakan.
Di Simanggang perayaan ini bermula pada 14 September 1963. Acara diadakan pada tarikh tersebut adalah mengadakan pesta menuba. Pesta menuba ini disertakan oleh kira-kira 500 perahu dan kira-kira 1,000 orang.
Pesta menuba ini membawa kegembiraan kepada pesertanya kerana ramai yang mendapat hasil daripada aktiviti menuba. Sebelah petangnya pula diadakan pelawanan bola sepak dan tinju. Satu parti bufet juga diadakan di Kelab Reakreasi Simanggang yang dihadiri oleh Residen J. T. Weekes. Acara ini diserikan lagi dengan majlis tari menari.
Keesokan harinya pula diadakan regata. Regata ini disertai lebih 2,500 orang dari seluruh daerah. Pada malamnya acara kebudayaan diadakan seperti tarian ngajat dan gendang Melayu. Pertandingan ratu cantik juga diadakan pada malam tersebut.
Kemuncak kepada majlis ini ialah pada 16 September 1963 apabila satu perhimpunan diadakan. Residen, Weekes membaca pengisytiharan Malaysia. Pada masa sama bendera Malaysia dan Sarawak dikibarkan bagi melambangkan kemerdekaan Sarawak.
Di Sarikei, sambutan Hari Malaysia yang dicadangkan pada 31 Ogos 1963 telah diadakan walaupun berlaku penundaan pada tarikh tersebut. Pada hari itu, diadakan acara pemeriksaan perbarisan oleh Pegawai Daerah dengan diiringi oleh Pengerusi majlis Perbandaran Sarikei.
Selepas itu diikuti dengan pengisythiraan Malaysia oleh Pegawai Daerah. Majlis seterusnya diadakan di Stadium Bola Keranjang yang baru siap dibina. Di stadium itu diadakan jamuan air dan biskut. Majlis ini diakhiri dengan persembahan budaya masyarakat tempatan.
Meraikan bersama
Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur juga telah merancang perayaan sambutan Hari Malaysia pada 31 Ogos 1963. Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kerja Pusatnya, perayaan ini diadakan selama empat hari. Pelbagai acara diadakan pada hari tersebut.
Apa yang menariknya tentang sambutan Hari Malaysia pada 1963 ini ialah ia bukan sahaja diadakan di Kuala Lumpur tetapi juga di negeri-negeri di Tanah Melayu. Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak $30,000 untuk sambutan tersebut.
Acara sambutan ini yang diadakan pada 31 Ogos 1963 hingga 2 September 1963 telah ditunda kepada 16 September 1963. Antara acara diadakan adalah Big Walk, tea party, float procession dan pertunjukkan bunga api serta acara hiburan.
Di Perak pula acara sambutan berpusat di Padang Bandaran, Ipoh. Acara sambutan Hari Malaysia disambut selama empat hari dengan acara istiadat membaca perisytiharaan, pertunjukan aneka ragam, perarakan lori berhias dan tanglong, sukan sekolah dan perlumbaan berjalan kaki.
Kedah pula mengadakan perayaan ini dari 16 hingga 23 September 1963 dengan pelbagai acara yang dimulakan acara menghias bandar Alor Star dengan lampu di bangunan dan pintu gerbang. Aktiviti lain yang diadakan adalah pembacaan pengisytiharaan Malaysia, pertunjukan wayang gambar percuma untuk kanak-kanak, pameran lukisan, bacaan al-Quran dan majlis kenduri kesyukuran.
Di Kelantan acara sambutan Hari Malaysia pada 16 September 1963 diadakan di Kota Bahru dengan solat hajat di Masjid Muhammadiah dan surau-surau. Acara lain diadakan adalah Sukan Sungai, Pertandingan Silat kanak-kanak, Pameran Perdagangan, peraduan Burung Ketitir dan pertandingan membaca al-Quran untuk kanak-kanak.
Secara kesimpulannya sambutan Hari Malaysia pada 1963 ini disambut dengan meriah di seluruh negeri Sarawak. Rasa kekitaan dan persaudaraan juga ditunjuk oleh saudara di Tanah Melayu dengan sambutan meriah dan penuh makna.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.