LONTARAN idea penggunaan mata wang sendiri untuk Sarawak seperti saranan Dato Sri Alexander Nanta Linggi sebenarnya satu manifestasi supaya Kerajaan Perpaduan melakukan sesuatu berikutan merudumnya nilai ringgit dan perkembangan ekonomi kurang memberangsangkan.
Perkara ini diakui oleh seorang lagi menteri di Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang menyatakan Kerajaan Persekutuan perlu menumpukan usaha untuk memperbaiki keadaan itu berikutan nilai ringgit terus merosot berbanding negara jiran dan ekonomi kurang baik.
“Jika kerajaan Sarawak menggunakan mata wang sendiri, nilainya akan baik kerana ekonomi negeri ini yang baik. Tetapi kita sebahagian dari Malaysia. Buat masa ini keutamaan seharusnya adalah untuk meningkatkan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas isu ini, Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo di UNIMAS, Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai, berkata kemarahan rakyat Sarawak terhadap jatuhnya nilai ringgit dimanifestasikan melalui kenyataan Fatimah itu kerana kerajaan negeri tiada kuasa kawalan ke atas isu ini di sebalik ekonomi Sarawak berada dalam kedudukan baik.
“Walaupun saya tahu bahawa Dato Sri Fatimah juga tahu, untuk mempunyai mata wang sendiri agak mustahil. Tetapi dengan memberi pendapat sebegitu, beliau cuba menghantar mesej kuat kepada Kerajaan Pusat bahawa sesuatu perlu dilakukan terutama perkara berkaitan dasar monetari (juga dikenali sebagai dasar kewangan) dan inflasi,” katanya.
Bagaimanapun, ketika diajukan soalan ini, seorang lagi menteri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi pendapat berbeza.
“Melarikan diri dan menukar mata wang bukan jalan keluar. Ia mungkin memburukkan lagi keadaan. Saya masih percaya bahawa jalan keluar ialah memperbaiki keadaan ekonomi.
“Mata wang merudum apabila terhakisnya keyakinan awam. Setakat ini, ringgit masih mendapat kepercayaan orang Malaysia dan juga institusi kewangan antarabangsa. Kejatuhan ringgit atau mata wang lain adalah perkara biasa,” katanya kepada penulis.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Madya Dr Novel anak Lyndon pula berpendapat buat masa ini tidak berapa sesuai Sarawak menggunakan mata wang sendiri.
“Persoalan yang timbul ialah adakah dengan penggunaan mata wang sendiri ini, Sarawak mampu atau yakin pada tahun akan datang, nilai mata wang Sarawak ini kukuh di pasaran antarabangsa?
“Bagaimana kalau mata wang Sarawak sendiri ini nanti nilainya jatuh kerana kedudukan mata wang bukan sepenuhnya terletak di bawah kawalan kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini menyatakan cadangan memperkenalkan mata wang Sarawak sendiri agak rumit dan beliau lebih memilih untuk terus menggunakan ringgit Malaysia sambil menyifatkan cadangan itu sebagai pandangan peribadi Nanta.
Prof Madya Stanley setuju dengan pandangan Abang Johari bahawa agak rumit untuk Sarawak mempunyai mata wang sendiri kerana negeri ini masih sebahagian dari negara berdaulat Malaysia.
Bagaimanapun katanya, perlu dibincangkan macam mana menangani masalah ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit, kadar inflasi dan cari langkah berkaitan dasar monetori negara.
“Kejatuhan nilai mata wang menyebabkan harga barangan import mahal, dan mereka yang terjejas adalah di luar bandar dan kumpulan berpendapatan rendah.
“Saya ada ramai keluarga, contohnya yang meninggalkan kebun lada kerana kos tinggi baja import, racun rumpai dan racun serangga menyebabkan sukar untuk meneruskan aktiviti itu,” katanya.
Tetapi kata Dr Novel, kejatuhan nilai ringgit Malaysia juga turut memberi kelebihan kepada negara untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) kerana pastinya pelabur antarabangsa mengambil peluang itu.
“Kejatuhan nilai ringgit akan menyebabkan kos operasi menurun dan keuntungan boleh dijana berbanding kalau mereka melabur di Singapura yang kadar tukaran mata wangnya agak tinggi berbanding ringgit.
“Contoh, kalau mereka melabur AS$1 juta di Malaysia, mereka boleh menjana keuntungan sebab sewa ruang, kos buruh menggunakan ringgit,” katanya.
Dari segi undang-undang, bolehkah Sarawak guna mata wang sendiri?
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, hanya Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa ke atas mata wang. Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa oleh Akta Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa tunggal untuk mengeluarkan mata wang di negara ini.
Abdul Karim yang berlatarbelakangkan undang-undang, setuju pasal bab perlembagaan ini. Katanya, sesebuah negara tidak seharusnya mempunyai banyak mata wang berbeza.
“Ini akan menyebabkan hilang keyakinan terhadap mata wang atau ekonomi sesebuah negara,” kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu.
Prof Madya Stanley pula berpendapat, daripada semua isu ini Sarawak sebenarnya menuntut keperluan penting untuk perundingan dan perbincangan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.
“Perbincangan itu perlu merangkumi semua isu dan mana-mana bahagian yang berkaitan dengan Sarawak dan rakyatnya,” katanya.
Bagi Dr Novel, apa yang membimbangkan ialah cadangan mahu penggunaan mata wang Sarawak sendiri boleh mengeruhkan hubungan Kuala Lumpur dan Kuching.
“Ini boleh mengganggu konsep federalisme berasaskan sistem demokrasi berparlimen. Saya mencadangkan agar kerajaan negeri memberi fokus terhadap jurang digital antara wilayah dan fokus kepada isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Bagi Abdul Karim, jika ekonomi tidak bagus atau ekonomi tidak diuruskan dengan baik, kaedah terbaik bagi kerajaan ialah dapatkan orang bijak dan penasihat untuk memperbaiki keadaan.
Hakikatnya, kata Prof Madya Stanley ringgit semakin teruk sejak beberapa tahun berdasarkan penanda aras dolar Amerika Syarikat (AS) dan di rantau ini, berasas kepada dolar Singapura (S$).
“Saya pergi ke Singapura pada 2016, tukaran asingnya 1S$ bersamaan RM3.23, kini RM3.43. Ketika saya remaja, kadarnya sama 1:1.
“Saya pergi ke Amerika pada 2017, kadarnya AS$1 bersamaan RM4.20. Hari ini AS$1 adalah RM4.65,” katanya.
Serangkap pantun sebagai penutup.
‘Janji manis sentiasa ditunggu
Jangan menjelma bila berbicara
MA63 lama dah tunggu
Jangan menjelma bila pilihan raya’
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.