Oleh: Roslan Jomel
SEBAIK sahaja mengetahui bahawa suaminya bakal dijatuhkan hukuman bunuh, si isteri membawa kesemua anaknya yang masih kecil, menaiki bukit pada suatu petang. Mereka berdiri betul-betul di hujung jurang. Kedudukannya sangat tinggi. Isteri yang sudah kehilangan semangat dan makna hidup itu, seperti mahu mengajak kesemua anak, termasuk dirinya, terjun daripada puncak jurang itu, lalu menceburkan diri dan tenggelam dalam tasik di bawahnya. Segala harapan dan punca kehidupan yang selama ini terpikul atas bahu suaminya, sudah terlepas dari tangan. Setiap usaha untuk mendatangi peguam agar membela suami yang dianiayai itu, memerlukan kos yang bukan sedikit jumlahnya. Sedangkan si isteri itu langsung tidak memiliki apa-apa lagi untuk digadaikan. Dunia begitu kejam terhadapnya. Pandangan si isteri itu, kosong, tidak bernyawa dan sudah berputus asa untuk meneruskan hidup. Tetapi, isteri itu tidak meneruskan bujukan jiwanya untuk mati bersama-sama dengan kesemua anaknya. Sebaliknya, menjelang waktu malam, mereka menghiburkan diri di sebuah taman permainan tanpa mempedulikan musibah yang baharu sahaja melanda.
“Mencipta karya kreatif bererti mengangkat sekelumit peristiwa daripada kehidupan manusia. Peristiwa itu tentulah penting, justeru itu, ia mampu mempengaruhi psikologi-estetik pengarang dan menggerakkan daya sensitivitinya supaya memilih bahan itu untuk dikaryakan. Dalam menghasilkan sebuah karya cereka, peristiwa yang diangkat itu sepatutnya diasak dengan konflik demi konflik supaya tercipta satu jalur bentuk yang kompleks, yang dapat mengindahkan lagi karya cereka tersebut.” – Rahimah A. Hamid, dipetik dari buku Proses Kreatif, Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang.
Namun kepekaan dan daya kreativiti belum memadai. “Kejernihan fikiran sangat penting diperlukan oleh proses kreatif.” Demikian tulis Budi Darma dalam buku Solilokui. Fikiran yang tenang juga merangsang jalan pemikiran menjadi lebih halus dan terkawal. Betapa pentingnya jiwa yang damai dan suasana hening dalam mengerjakan naskhah kreatif. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru. Sebagaimana mustahaknya urusan penyuntingan dalam sesebuah karya sastera, proses itu menjadi lancar apabila seseorang pengarang berfikiran positif dan lapang ketika memeriksa kembali naskhahnya. Benar, tiada karya yang boleh dianggap sempurna, namun, penyuntingan berulang-ulang yang dilakukan dengan teliti dan fokus, pasti memberi perbezaan antara tulisan separuh matang dan sebaliknya.
Sebuah karya seni akan menjadi lebih berkesan jika memiliki “jiwa”. Kebanyakan pengarang mutakhir sudah melupakan aspek penting ini. Namun naskhah yang saya ulas pada kali ini, menawarkan suatu pengalaman yang berlainan. Ia bagaikan menyelitkan sesuatu yang sukar untuk dijelaskan melalui kata-kata. Ada pelbagai lapisan emosi kompleks mengiringi pembacaan saya ke atas naskhah “Tujuh” yang dikarang dengan baik dan meyakinkan oleh Stefanie Kaso. Saya menemui kejelasan naratif, kematangan penulisan, keharmonian dan ketulusan suara dalaman pengarang yang memaksa pihak pembaca untuk menghayati naskhah itu dengan lebih mendalam. Bakat ini perlu terus dipupuk dengan belajar dan terus belajar daripada karya-karya terbaik dunia.
Teknik membahagikan episod atau mengerat babak menjadi beradegan sebagaimana yang diaplikasikan oleh Stefanie Kaso untuk membentuk peringkat demi peringkat perjalanan hidup Daisi, tidak menarik perhatian saya. Ia sudah biasa dilakukan oleh beberapa orang pengarang. Tetapi, apa yang menjadi kecenderungan saya ialah tentang konflik dan dilema dalaman yang sedang ditanggung oleh watak utama itu. Maka, fokus utama pembinaan naskhah itu ialah tentang jatuh bangun emosi Daisi sejak ketiadaan suami di sampingnya. Walaupun menyedari bahawa suaminya sudah tiada lagi di wad hospital, namun, Daisi tetap mengunjungi ke situ lagi. Seolah-olah mengharapkan keajaiban akan berlaku, dan, suaminya muncul semula.
Naskhah “Tujuh” merakam tekanan dan himpitan jiwa Daisi bergelut dengan rasa bersalah selepas kematian suaminya akibat penyakit kronik. Entahlah apa nama penyakit yang sedang dialami oleh suami watak utama itu. Pengarang naskhah tidak menceritakannya. Doktor yang merawatnya barangkali sudah menyatakan pandangan (secara profesional) bahawa sukar untuk suaminya pulih kembali. Dan tentu sahaja berlaku perbincangan antara doktor dan Daisi untuk menentukan apa yang sepatutnya dilakukan. Ia bukan perbualan yang menyenangkan. Andai kata suaminya terus berlanjutan di wad hospital, apakah hal itu memberi manfaat kepada Daisi? Sementara suaminya harus menahan segala penderitaan yang menyeksa disebabkan penyakit. Apakah hal itu wajar? Daisi terpukul untuk memberi sebarang keputusan.
“Aku yang bersalah. Aku yang salah.”
Daisi mengeluh dan kesal. Keputusan yang bakal dilakukan oleh Daisi tidak semudah menutup suis lampu. Semangat dan moralnya runtuh. Perasaan menjadi simpang-siur. Fikiran dan jasadnya saling bertentangan. Ia berkaitan dengan nyawa orang yang paling disayangi dan dekat dalam sepanjang hidupnya sebelum ini. Apatah lagi, Daisi sendiri terpaksa bersetuju untuk melepaskanpemergian suaminya. Dan selepas itu, mereka tidak akan bertemu di muka bumi. Akibat daripada keputusan yang terpaksa dibuatnya (dipujuk oleh doktor), dunia Daisi mula hancur berkeping-keping. Dia bagaikan kehilangan pedoman, teman pendamping dan sumber kehidupan. Bagaikan gabus yang terapung-apung di tengah lautan. Patah jiwa Daisi untuk meneruskan hari demi hari. Apalah ertinya hidup lagi?
Suasana suram yang dialami oleh Daisi dalam naskhah “Tujuh”, mengingatkan saya dengan cerpen “Tentang Seseorang Yang Mati Tadi Pagi”, karangan Agus Noor dan filem Norte, The End of History. Melainkan cerpen karya Agus Noor, watak utama dalam naskhah “Tujuh” membatalkan hasratnya untuk menamatkan hayat diri, demikian juga watak utama dalam filem arahan Lav Diaz, turut menangguhkan cubaan untuk membunuh diri. Babak yang saya maksudkan itu, (telah ditulis pada perenggan pembukaan tulisan ulasan ini). Ia suatu babak yang amat mengharukan kepada saya secara emosional. Suasana yang sebegitu menekan emosi itu, sudah semakin sukar untuk dinikmati dalam karya sastera dewasa ini.
Sejak balik dari hospital, Daisi memerap dalam bilik dan perasaannya jauh menerawang. Gundah-gulana. Selama hidup dengan suami, mereka berdua bagaikan pasangan belangkas. Sentiasa bergandingan apabila pergi ke mana-mana. Namun setelah kematian suaminya, Daisi tidak memiliki kekuatan untuk berdiri dan berhadapan dengan dunia. Cermin yang menjadi panduan untuknya melihat keindahan dunia, sudah jatuh dan retak ke lantai. Segala-galanya nampak gelap. Daisi berbisik dengan nada pesimis, “tiada lagi yang tertinggal untukku selepas kau pergi.” Fred tidak lagi menjadi teman pendamping buatnya untuk ke mana-mana selepas ini.
Emosi Daisi bercelaru. Wanita yang baru sahaja kehilangan suaminya itu, berdandan dengan sungguh anggun, seolah-olah ingin menghadiri majlis keramaian. Barangkali, hilang sudah rasa amarah, selepas mengoyak semua dokumen dan bil perubatan yang bersangkut-paut dengan penyakit suaminya. Dia ingin menuju ke satu tempat khusus pada hari itu. Daisi yang pada mulanya ingin terjun dari flat setinggi 20 tingkat, gagal melaksanakan keinginannya itu akibat lif yang tidak berfungsi. Kemudian, Daisi melangkah ke jambatan, dengan hasrat yang sama – mahu bersama-sama dengan suaminya. Tetapi, Daisi tidak meneruskan ajakan batinnya untuk membunuh diri di atas jambatan. Sebaliknya, entah apa yang berbisik kepada jiwanya, Daisi pulang ke rumah dan mengeluarkan peralatan berkebun lalu mula menanam bunga.
Sungguh indah plot itu dipusingkan. Apa yang dijangka oleh pembaca, kemungkinan Daisi mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri, ternyata menyimpang. Pengarang melanjutkan usia Daisi dengan cara yang selayaknya buat seorang wanita. Segala kemarahan, kebencian dan kerinduan yang diluahkan oleh Daisi di bawah pokok Tabebuya tidak akan ada kesudahannya. Kenangan manis yang terukir bersama-sama dengan suaminya di bangku tidak jauh daripada pokok Tabebuya itu, tidak sewajarnya dicemari dengan percubaan membunuh diri. Suaminya, Fred, tidak akan sembuh dan hidup semula kalau pun dia melakukan perkara sebegitu. Cukup sudah untuk dia menyakitkan diri dan menyalahkan diri sendiri.
Siapa tujuh watak halimunan yang mengiringi setiap gerak laku Daisi, tidak penting. Setiap manusia itu kompleks. Kalbunya mudah berbolak-balik mengikut suasana dan keadaan diri. Demikianlah situasi yang ditanggung oleh Daisy selepas suaminya meninggal dunia. Hal ini kerana, Tuhanlah yang memegang kalbu (juga dipanggil hati) manusia itu. Setiap manusia yang waras juga harus mempertimbangkan setiap konsekuensi yang diputuskan. Daisi perlu bangkit semula, tidak terlarut dalam kesedihan, jika tidak, hidupnya pasti lebih sengsara berbanding penyakit yang dihidapi suaminya. Saya memuji usaha pengarang yang tidak membiarkan Daisi, watak utama dalam naskhah, terus dipengaruhi oleh bujukan dalaman untuk membunuh diri.
Apa yang pembaca maklum tentang Daisi ialah dia seorang wanita tua. Namun, pembaca tidak didedahkan dengan jenis penyakit kronik yang dialami oleh Fred. Saya fikir pengarang perlu juga melampirkan nama jenis penyakit yang ditanggung oleh suaminya. Pembaca ingin mengetahui, apakah penyakit kronik yang menyebabkan pihak doktor terpaksa mengambil keputusan tragis ke atas Fred. Tiada anak, sepanjang yang diketahui menerusi naskhah itu. Didorong oleh rasa cinta ke atas suaminya, Daisi masih sahaja berulang-ulang mengunjungi suaminya di hospital. Sedangkan suaminya sudah pun meninggal dunia sebulan yang lalu. Tidak terbayang, betapa kecamuknya fikiran dan perasaan Daisi pada setiap kali melangkah masuk ke dalam hospital.
Budi Darma menulis dalam buku Solilokui, “pengarang adalah ilmu jiwa dan filsafat yang mengungkapkan masalah hidup, kejiwaan, dan filsafat bukan dengan cara teknis-akademis, melainkan melalui tulisan sastra.” Saya merasakan, bukanlah niat utama, Stefanie Kaso, selaku pengarang naskhah “Tujuh”, ingin berceramah tentang moral. Apalagi ingin berbicara kisah kemanusiaan dengan menerapkan falsafah tertentu. Apa yang terakam dalam naskhah itu, sudah cukup untuk menggambarkan, bahawa kehidupan manusia, bukan bergerak atas kekuatan ototnya sahaja. Pergeseran dalaman antara moral dan tujuan kehidupan itu sendiri, sama payahnya dengan kenyataan menjalani kehidupan itu sendiri.
Naskhah “Tujuh” walaupun dikarang dengan cara yang sederhana, mudah, komunikatif dan polos, namun, jauh daripada unsur-unsur teknikal sebegitu, persoalan yang dibawa oleh Stefanie Kaso melalui naskhah itu sebenarnya sangat menguja kepekaan artistik kita sebagai pembaca. Apa yang dilakukan oleh watak utama sungguh mempesonakan kita. Hanya Daisi yang lebih arif dan mengerti, apa yang telah menyebabkan dia tidak meneruskan perbuatan membunuh diri. Apakah yang menyebabkan Daisi menangis di atas jambatan ketika berhadapan dengan situasi yang genting – membunuh diri atau teruskan sahaja sisa hidup? Apakah yang dilihatnya pada ketika itu lalu membatalkan percubaan membunuh diri? Itulah kompleksiti jiwa seseorang manusia yang kekal menjadi misteri.
Sejujurnya, ini suatu pencapaian memberangsangkan daripada pengarang baharu yang perlu diberikan perhatian. Pengarang tidak kelihatan untuk mengejutkan pembaca dengan mengangkat isu-isu besar agar dianggap canggih dan ke hadapan. Namun apa yang dikarang oleh pengarang, lebih manusiawi, intim dengan kemelut yang dialami oleh seseorang manusia ketika berhadapan dengan situasi kehilangan seorang yang disayangi. Hal itu sahaja sudah cukup berat dan menyesakkan fikiran serta perasaan. Jika anda pernah menonton filem Obama, arahan Siddiq Barmak, sudah pasti dapat merasai, betapa perit dan kejamnya realiti ditanggung oleh wanita muda yang memegang watak utama itu. Seluruh dunia bagaikan ingin menentangnya, walau ke mana pun cubaan untuk melarikan dan menyembunyikan diri.
Naskhah “Tujuh” masih belum dianggap sebagai naskhah kuat. Namun ia suatu permulaan untuk mendorong pengarang agar terus menghasilkan karya-karya yang lebih bagus dan hebat selepas itu. Terlepas daripada kelemahan-kelemahan kecilnya, pengarang telah berjaya menghasilkan naratif yang bukan sahaja baik, kemas, malah, lebih mustahak daripada itu, mampu mengheret minat pembaca untuk menyelami kerumitan jiwa yang dialami oleh Daisi. Tidak mudah menulis tentang jiwa seseorang manusia dengan hasil yang mengesankan. Di sebalik beberapa kelompangannya, naskhah “Tujuh” masih wajar dianggap menarik dan meresahkan jiwa pembaca kerana ketulusan pengarang membentangkan kisah hidup Daisi.
Daisi sedar apa yang sedang dilakukannya. Jika dia lebih condong kepada ajakan jiwa, untuk membunuh diri, ia bukan ekspresi yang tepat untuk menyatakan rasa kasihnya kepada Fred. Siapa tahu, suaminya tidak bersetuju dengan keputusan Daisi ingin menamatkan hayat sendiri. Daisi pulang segera ke rumah, fikiran dan emosinya kembali waras dan stabil. Namanya dan Fred telah terpahat pada batang pokok Tabebuya yang menjadi tempat cinta mereka bersemi. Kini, Daisi menanam bunga daisi di halaman rumah. Bagaikan sebuah simbolik, kehidupan seseorang manusia itu seharusnya memberi manfaat kepada masyarakat di sekelilingnya. Andai bunga Daisi yang ditanamnya tumbuh berkembang, pasti pemandangan dunia yang dilihatnya dari jendela rumah, menjadi lebih menarik dan menyalakan semangat untuk terus hidup.