Oleh: Dilah Tuah
SETIAP kali Ogos tiba, kolam jiwa penyair pasti berkocak untuk menghasilkan puisi-puisi kemerdekaan. Dalam dunia kepenyairan, puisi-puisi kemerdekaan ini biasanya mengangkat nilai-nilai patriotisme seperti kecintaan dan kesetiaan kepada negara, pengisian jiwa merdeka dan sebagainya. Pada zaman sebelum merdeka, bentuk pengucapan puisi patriotisme lebih menjurus kepada penentangan terhadap penjajah, perjuangan mempertahankan tanah air dan menuntut kemerdekaan. Hal ini jelas membuktikan bahawa aliran patriotisme yang terdapat dalam puisi berlaku hampir sepanjang masa.
Apakah yang dimaksudkan dengan puisi-puisi patriotisme? Pada dasarnya, patriotisme lebih dikenali sebagai rasa kecintaan kepada negara. Stephen Nathanson (1993) dalam In Defense of ‘Moderate Patriotism mentakrifkan patriotisme sebagai kasih sayang istimewa kepada negara sendiri; rasa kekitaan terhadap negara; keprihatinan khusus kepada kesejahteraan negara; dan kesanggupan untuk berkorban demi memajukan negara. Justeru, apabila membicarakan tentang puisi-puisi patriotisme, ia seharusnya membawa idea, gagasan dan mesej seperti yang dinyatakan di atas. Di Malaysia, terdapat ramai penyair besar yang sering kali menghasilkan puisi-puisi patriotisme. Antaranya Usman Awang yang terkenal dengan puisi yang berjudul “Tanah Air (Menjelang Kemerdekaan)”, A. Samad Said dengan puisi “Pertama dan Terakhir”, “Erti Sebuah Kemerdekaan” serta puisi yang berjudul “Hidup Bersama”, dan lain-lain.
Selain itu, terdapat beberapa ciri khusus yang mampu menjadikan sesebuah puisi patriotisme lebih berkesan dalam menyampaikan pesan serta merangsang semangat nasionalisme pembaca. Antaranya, puisi patriotisme mesti berupaya mengungkapkan rasa bangga dan cinta terhadap negara secara berkesan dan meyakinkan dalam bentuk yang sarat dengan nilai estetika. Seterusnya, pengucapan puisi yang bersahaja, biasa dan polos akan menjadikan puisi-puisi yang dihasilkan tidak dapat menyuntik semangat dalam memajukan negara dan gagal dalam memperkukuhkan nilai-nilai perpaduan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana puisi-puisi patriotisme yang baik seharusnya berupaya memberikan inspirasi kepada tindakan yang lebih positif, memberikan ruang untuk interpretasi yang beragam serta mampu membangkitkan perasaan dan menginspirasi khalayak pembaca atau pendengar.
Berpandukan perbincangan di atas, maka ulasan puisi kali ini akan meneliti nilai-nilai patriotisme yang diangkat oleh penyair dalam tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas iaitu “Merdeka Merdeka Merdeka” karya Norhayati Iskandar, “Nusa Cinta” karya Huzaifi M.A dan “Digarhayu Kenyalang” karya Nur Syahmin Shamsol. Walaupun perbincangan ini memfokuskan aspek nilai-nilai patriotisme dalam puisi, namun aspek-aspek struktural yang lain turut dibincangkan. Hal ini bertujuan untuk membantu para penyair muda dalam menghasilkan karya-karya yang lebih baik dan bermutu pada masa akan datang.
Puisi pertama berjudul “Merdeka Merdeka Merdeka” merupakan hasil nukilan Norhayati Iskandar. Dari segi bentuk, puisi ini terdiri daripada tiga rangkap yang mempunyai jumlah baris yang sama. Terdapat bentuk gaya bahasa asonansi, iaitu pengulangan bunyi vokal yang sama dalam baris puisi. Dalam puisi ini, pengulangan bunyi vokal berlaku pada penghujung baris seperti dalam rangkap pertama baris ketiga hingga keenam. Perhatikan bait-bait puisi ini “tanda hati menyatu / tanda sorotan duka berlalu / dari mat putih bermata biru / juga sang hitam berpeluru”. Tujuan pengulangan bunyi vokal ini adalah untuk menimbulkan keindahan bunyi dalam puisi.
Walaupun bentuk pengulangan bunyi menarik, namun ini tidak bermakna penyair harus mengabaikan aspek diksi. Dalam penghasilan puisi, diksi yang tepat dan padat merupakan aspek yang perlu dititikberatkan oleh penyair. Perhatikan pada rangkap pertama, banyak kata yang tidak diperlukan atau istilah lainnya mubazir. Hal yang sama juga ditemukan pada rangkap kedua dan ketiga. Berikut merupakan versi yang telah dimurnikan iaitu setelah penyaringan diksi dilakukan.
MERDEKA MERDEKA MERDEKA,
lafaz keramat Ogos 31,
tanda hati menyatu,
tanda duka berlalu,
daripada penjajah bermata biru,
dan sang hitam berpeluru.
MERDEKA MERDEKA MERDEKA,
66 tahun berlalu,
namun lukanya masih baharu,
usah alpa dengan seteru,
yang mengintai di tabir waktu,
di hujung jari menyusup bak hantu.
MERDEKA MERDEKA MERDEKA
ayuh semua bersatu,
menghidup bara juang tunku
demi tanahair yang satu,
tanah tumpah darahku
demi cinta kasih dirgahayu.
Sebelum pemadatan diksi dilakukan seperti di atas, puisi ini didapati polos dan kurang menyuntik semangat patriotisme kepada khalayak pembaca. Hal ini menyebabkan gagasan dan pesanan yang dibawa oleh penyair dalam puisi ini agak klise. Terdapat banyak diksi yang bersangkutan dengan penjajah dan seteru masih diulang dalam bentuk naratif yang sama. Pada zaman ini, aspek tersebut tidak lagi sesuai diangkat ke dalam puisi kerana fokus penyair harus terarah kepada usaha untuk mempertahankan dan mengisi kemerdekaan negara.
Seterusnya, puisi kedua berjudul “Nusa Tercinta” karya Huzaifi M. A hadir dalam tiga rangkap. Puisi ini mengungkap tentang kecintaan penyair kepada negara. Dari segi bentuk, puisi ini mudah difahami kerana menggunakan bahasa denotatif, iaitu makna kata yang sama dengan makna kamus. Justeru, tidak sulit untuk mentafsir apa yang ingin disampaikan oleh penyair kepada pembaca. Walaupun bahasanya mudah difahami, masih ditemui nilai estetika dalam puisi ini. Hal ini dapat diperhatikan pada pemilihan diksi dan gaya bahasa aliterasi yang dimanfaatkan oleh penyair dalam puisi ini. Misalnya pengulangan bunyi konsonan seperti pada rangkap satu baris kedua dan kelima iaitu “demimu kurela berkorban / demimu kurela berlawan / pertahankan dari segala petualang / ancaman menerjang tetap kuhadang”.
Dalam rangkap kedua, bentuk yang sama, iaitu pengulangan bunyi turut ditemui pada baris pertama. Misalnya dalam frasa “Aku galas hasrat poyang dan moyang”. Manakala pada baris kedua dan ketiga, pengulangan bunyi pada diksi ‘menyirat’ dan ‘keringkat’ memperlihatkan mutu penulisan puisi yang baik. Perhatikan pada rangkap kedua di bawah, yang memperlihatkan susunan kata-kata yang indah dengan makna yang terserlah.
Aku galas hasrat moyang,
dalam gebar menyirat,
dalam siraman air mata keringat,
bertekad terus berbakti,
berjanji terus berjasa.
Hanya sedikit pemurnian dicadangkan pada rangkap kedua baris pertama, iaitu pengguguran frasa ‘poyang dan’. Hal ini disebabkan poyang membawa maksud yang sama dengan moyang. Sesuai dengan ruang puisi yang terhad, maka pemadatan atau pemangkasan kata yang mempunyai makna yang sama perlu dilakukan oleh penyair agar bentuknya kejap dan mantap.
Pada rangkap ketiga, penyair didapati terlalu gopoh untuk menutup puisinya dengan pilihan diksi yang tidak ekonomis dan polos. Hal ini secara tidak langsung menjadikan rangkap ketiga puisi ini prosaik kerana diucapkan dalam bentuk bahasa harian. Perhatikan pada frasa “gah namamu seantero persada dunia” yang masih dapat dipadatkan lagi menjadi “gah namamu di persada dunia”. Begitu juga dengan frasa “tanah ini menjadi saksi bahagia deritaku” yang boleh dimurnikan menjadi “tanah ini saksi bahagia deritaku”. Penyair perlu mengekalkan gaya penulisan seperti pada rangkap pertama dan kedua, agar puisi ini berupaya memperlihatkan sebuah kesatuan idea yang mantap serta sarat dengan nilai-nilai keindahan.
Seterusnya puisi terakhir yang berjudul “Dirgahayu Kenyalang” karya Nur Syahmin Shamsol hadir dalam enam rangkap puisi yang panjang. Dari segi bentuk, puisi ini polos dan prosaik. Penyair didapati tidak melakukan pemadatan dan penyaringan diksi yang sesuai. Hal ini dapat diperhatikan pada rangkap pertama baris ketiga dan keempat, iaitu “Setelah enam dekad mengibarkan sayap / kenyalang kini tidak mengenali batas / menongkah arus cabaran dengan penuh payah / menunas cita-cita bangsa di laman kemerdekaan”. Dicadangkan supaya rangkap tersebut dimurnikan kerana puisi yang baik tidak memperihalkan fakta namun meninggalkan tanda yang membawa seribu makna. Selain itu, elakkan penggunaan ayat-ayat yang klise agar pengucapan puisi menjadi lebih baik dan menarik.
Pada rangkap kedua, terdapat usaha penyair dalam memanipulasikan bentuk gaya bahasa aliterasi, iaitu pengulangan konsonan ‘n’ di tengah dan di hujung kata. Perhatikan rangkap “Sukma kegemilangan menjadi pedoman / pulau keagungan menjadi tujuan / bangsa berbilang berjaya disatukan / sayap perpaduan menjadi kebanggaan”. Walaupun gaya pengulangan bunyi ini menarik, namun bentuk penulisan sebegini perlu dielakkan kerana keindahan bunyi yang berlebihan boleh membawa kepada unsur kelewahan. Lewah dalam bahasa puisi bermaksud menghasilkan ayat yang panjang dan meleret-leret. Walhal, puisi yang baik ialah yang ekonomis dan ambiguitis sifatnya.
Selain klise, puisi ini tidak mempunyai kesatuan idea yang jelas. Dari rangkap ketiga sehingga rangkap kelima, penyair didapati hanya mengulang cabaran yang dihadapi oleh kenyalang. Hal ini dapat diperhatikan melalui penggunaan diksi-diksi seperti pada frasa “Ribut kemelut mencabar kenyalang”; “kenyalang pantang menyerah”; dan “kejatuhan demi kejatuhan”. Harus disedari bahawa puisi bukan sekadar tentang hal yang ada dalam emosi penyair, namun harus diiringi dengan maksud yang mendalam. Penggunaan perlambangan yang mengarut serta ayat bombastik akan mengurangkan nilai estetika sesebuah puisi. Sehubungan itu, dicadangkan supaya ketiga-tiga rangkap puisi tersebut dimurnikan semula dengan hanya memilih kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik.
Walaupun agak prosaik pada rangkap pertama hingga kelima, namun pada rangkap terakhir ia kelihatan baik dan menyenangkan. Hanya terdapat beberapa kata yang perlu dimurnikan seperti pada baris kedua “kenyalang megah diperkatakan” yang sebaiknya digantikan menjadi “kenyalang megah dijulang”. Hal yang sama juga dalam baris ketiga, iaitu “ibarat raja di zaman kayangan” digantikan menjadi “ibarat raja di zaman silam”. Penggunaan kata “kayangan” di dalam baris tersebut kurang tepat kerana kayangan merujuk tempat tinggal para dewa. Justeru, penggunaan frasa “zaman silam” lebih tepat dan logik dalam konteks kehidupan manusia.
Daripada tiga buah puisi di atas, dapat dirumuskan bahawa kesemua puisi-puisi ini mengangkat nilai-nilai patriotisme. Salah satu puisi yang berjudul “Nusa Tercinta” didapati berpotensi untuk pergi jauh dalam dunia kepenyairan. Manakala dua buah puisi yang lain perlu lebih tekun mengasah kata agar berupaya menjadi sebuah puisi yang bermutu. Kepada penyair muda yang baharu berjinak dalam dunia puisi, terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari semasa menghasilkan puisi. Antaranya, tidak menggunakan ayat yang klise dan lewah, elakkan percampuran citra dan perlambangan yang mengarut, dan hindari penggunaan ayat bombastik. Semoga ulasan ini berupaya memberi nilai tambah kepada mutu pengkaryaan para penyair muda pada masa akan datang. Teruskan berkarya!