SALAH satu cabaran dalam pembentukan Malaysia adalah bantahan dari Indonesia dan Filipina.
Dalam hal ini, bantahan Indonesia agak keras berbanding Filipina.
Ini kerana Indonesia melancarkan konfrontasi ketenteraan bagi menentang rancangan Malaysia.
Sebaliknya, Filipina agak sederhana apabila menuntut Sabah dan tidak mengambil tindakan kekerasan.
Pada awalnya, Indonesia tidak menunjukkan reaksi menentang apabila rancangan ini apabila diumumkan Tuanku Abdul Rahman Putra Alhaj.
Hal ini dinyatakan oleh Menteri Luar Indonesia, Dr. Subandrio dalam ucapannya pada Pehimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 November 1961.
Namun demikian, suara anti-Malaysia mula terdengar melalui surat khabar dan parti-parti politik di Indonesia pada penghujung 1961.
Keadaan ini ditambah berat lagi apabila isu Irian Barat selesai pada Ogos 1962.
Indonesia mula menunjukan sikap menentang apabila berlaku Pemberontakan Brunei pada 1962.
Indonesia melihat pemberontakan ini sebagai manifestasi menentang rancangan Malaysia dari wilayah Borneo British.
Hal ini ditambah lagi dengan sokongan kepada Sukarno oleh Panglima Tertinggi Pemberontak Brunei, Jeneral Zulkifli.
Dasar kekerasan
Presiden Sukarno mengumumkan untuk melakukan usaha menghalang kewujudan Malaysia.
Dasar keras ini membawa kepada peristiwa berdarah di Tebedu pada 12 April 1963.
Walaupun Indonesia menafikan bahawa, mereka terlibat tetapi peristiwa itu membawa rasa curiga pemimpin Sarawak terhadap negara jirannya itu.
Ini juga membawa reaksi balas pemimpin Sarawak terhadap dasar keras Indonesia itu.
Tambahan ada usaha propaganda menerusi siaran radio telah dilakukan oleh pihak menentang Malaysia.
Radio Suara Pejuang Kebebasan Kalimantan Utara telah dioperasikan oleh dua warga Sarawak di Kalimantan yang tidak menyokong penubuhan Malaysia.
Salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa pihak Indonesia tidak terlibat dalam serangan-serangan yang berlaku di Sarawak.
Dalam hal ini Presiden Sukarno meminta Sarawak termasuk Brunei dan Sabah diberi kemerdekaan segera.
Pada Ogos 1963 Menteri Penerangan Indonesia, Dr. Ruslan Abdulghani membuat kenyataan bahawa penduduk Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) mahu menyertai Indonesia.
Kenyataan Menteri Pertahanan Indonesia, A. H. Nasution pada Ogos 1963 tidak percaya kepada perjalanan pilihan raya Sarawak kerana pihak British melakukan tangkapan ke atas ahli politik.
Beliau berharap agar penduduk tiga wilayah Borneo British meneruskan usaha menentang pembentukan Malaysia.
Penafian
Kenyataan ini membawa reaksi dari parti-parti politik di Sarawak.
Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa sebarang usaha membawa Sarawak menyertai Indonesia adalah ditentang.
Malah, SUPP percaya bahawa, rakyat Sarawak tidak akan menyokong usaha ini.
SUPP menambah bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan usaha mencampuri urusan dalaman Sarawak daripada pihak asing.
Jurucakap Perikatan Sarawak pula menyatakan bahawa Sarawak berhasrat untuk menyertai pembentukan Malaysia dan kemerdekaan Sarawak akan tetap dijayakan pada 31 Ogos 1963.
Menurut jurucakap ini, Indonesia perlu menumpukan isu-isu domestiknya terutama isu makanan dan pakaian daripada membawa masalah kepada Sarawak.
Pengerusi Parti Negara Sarawak (PANAS), Datu Bandar Abang Mustapha pula menyatakan maaf kepada Indonesia kerana penduduk Sarawak menyatakan sokongan penuh kepada pembentukan Malaysia.
Mahu Merdeka
Bagi Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan bahawa, Indonesia dan Filipina seharusnya tidak campur tangan dalam urusan dalaman Sarawak.
Oleh itu, beliau mengatakan terpulang kepada Sarawak menentukan hala tujunya sendiri.
Dalam hal ini beliau menyatakan bahawa Sarawak telah memilih merdeka dalam pembentukan Malaysia.
Suara sama diutarakan oleh Temenggung Jugah Anak Barieng yang menyatakan bahawa Sarawak mahu pembentukan Malaysia disegerakan.
Mereka tidak mahu Indonesia dan komunis menekan mereka dalam hal ini.
Kerajaan Sarawak pada Ogos 1963 pula menafikan kenyataan Menteri Luar Indonesia, Subandrio bahawa, masalah yang berlaku di Sarawak masa itu datang dari Sarawak sendiri.
Beliau mengatakan Indonesia tidak terlibat dalam pencerobohan terebut.
Sebaliknya kerajaan Sarawak telah mendapat bukti bahawa wujud penglibatan Indonesia dengan penemuan beberapa dokumen dan barangan daripada pihak yang menceroboh sempadan.
Penemuan but dan kemeja-T tertera perkataan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Begitu juga dengan lencana pada topi TNI dan tali pinggan TNI beserta buku tentera Indonesia.
Indonesia tidak begitu gemar dengan kenyataan pihak yang pro-Malaysia dan ini menyebabkan Dr. Subandrio memberi amaran kepada Kalong Ningkan dan Ketua Menteri Sabah Donald Stephen untuk menahan diri daripada mengamalkan sikap bermusuhan terhadap Indonesia.
Ningkan menyatakan kejangalannya bagaimana semua negara kecil macam Sarawak dituduh sebagai bermusuhan sedangkan Indonesia telah melakukan kerosakan terhadap rakyat dan negara Sarawak.
Menurut beliau pihak Indonesia telah melakukan pencerobohan ke atas kampung-kampung dan merompak kedai sepanjang sempadan Sarawak dan Indonesia.
Rayuan
Campur tangan Indonesia dalam aspek ketenteraan menyebabkan penduduk Sarawak merayu agar pewakilan PBB yang datang menyiasat di Sarawak menghentikan serangan itu.
Rayuan ini datang daripada Sagi anak Irok dan Mai Nata yang bertemu dengan ketua delegasi PBB Laurance Michelmore di Kanowit.
Dua wanita Iban ini memaklumkan kepada delegasi itu bahawa rumah panjang mereka telah diserang oleh anggota bersenjata Indonesia di Sungai Bangkit.
Pihak penyerang ini telah mengambil makanan dan pakaian serta membunuh babi dan mencederakan seorang penghuni lelaki.
Walaupun ada tentangan keras Indonesia tetapi jiwa merdeka anak Sarawak tetap tidak dapat disekat.
Oleh itu, Sarawak dapat mencapai kemerdekaan pada 16 September 1963.
Dengan kata lain rakyat Sarawak mampu mengharungi detik-detik perang ini dengan penuh semangat merdeka.
Konfrontasi pula tidak berpanjangan dan tamat pada 1966.
Selepas itu hubungan Sarawak dengan Indonesia kembali pulih dalam pelbagai aspek.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.