LONDON: Penyerang Manchester City, Erling Haaland merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA awal pagi tadi selepas musim sulung mengagumkan bersama kelab juara treble itu.
Bintang England dan Aston Villa, Rachel Daly memenangi anugerah kategori wanita, yang diundi dalam kalangan pemain sendiri.
Dianjurkan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA), anugerah itu memberi pengiktirafan kepada pemain terbaik lelaki dan wanita dalam bola sepak Inggeris pada tahun 2023.
Haaland menikmati musim mengagumkan bersama City, menjaringkan 52 gol dalam semua pertandingan ketika anak buah Pep Guardiola memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Pemain berusia 23 tahun itu mengatasi rakan sepasukan John Stones dan Kevin De Bruyne, selain dua pemain Arsenal, Bukayo Saka dan Martin Odegaard serta bekas penyerang Tottenham, Harry Kane, yang kini bersama Bayern Munich.
“Satu penghormatan untuk memenangi anugerah berprestij ini. Untuk diiktiraf oleh pesaing anda satu perasaan hebat dan saya mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang mengundi saya,” kata Haaland.
“Ia satu musim yang sukar dilupakan buat pasukan dan saya secara peribadi. Memenangi treble sesuatu yang saya tidak pernah bayangkan, jadi meraihnya bersama satu kelompok pemain yang istimewa satu perasaan luar biasa.
“Kami mencipta beberapa memori mengagumkan musim lalu, tetapi kini kami mahu melakukan yang sama tahun ini. Kami memulakan musim dengan baik dan perlu meneruskannya.”
Saka diundi sebagai Pemain Muda Tahunan Terbaik manakala pemain Chelsea, Lauren James meraih anugerah wanita.
Daly dan James menjadi tonggak utama England ketika mara ke final Piala Dunia Wanita yang berakhir dengan kekalahan di tangan Sepanyol awal bulan ini. – AFP