Oleh: Lokman Hakim
Dosa dan pahala, egoisme dan rasa rendah diri, iri hati dan cemburu membawa kepada pengkhianatan yang dijawab dengan tragedi menyucikan hati yang sarat kekotoran hitam. Cerpen “Tilapia” tulisan Stephanie Juanita Ahlee ialah sebuah cerpen realisme yang sempurna graf emosi watak-wataknya. Penulis kelihatan mahir melakar bahasa tubuh watak-wataknya dengan naratif yang berkesan. Kelihatan juga beberapa perlambangan tersembunyi dalam pemilihan subjek yang digandingkan dengan dinamik perasaan watak utama cerita, Bulin.
Terdapat beberapa imej yang suka saya ketengahkan gandingannya dengan emosi manusia yang penulis munculkan dalam cerpen ini. Ia menyerlahkan kebijaksanaan penulis. Imej pertama:
“Laing meneguk kopi dari cawan sehingga tidak sengaja, dia terlupa air kopinya masih berasap-asap panas dan meruap ke udara. Seperti terkena renjatan, dia berhenti serta-merta.”
Laing merupakan sahabat baik Bulin. Melalui garapan penulis, watak Bulin digambarkan selaku seorang lelaki yang meletakkan ego mengatasi segala-galanya sehingga enggan menerima bantuan daripada kerajaan yang hakikatnya terbuka untuk golongan pengusaha ikan tilapia sepertinya.
Penulis bukan sekadar menggambarkan egois Bulin melalui keputusan demi keputusan yang diambil watak itu (menggali kolam baharu secara semberono hanya kerana mahu bersaing dengan Kalang dan meracun ikan tilapia Kalang). Penulis juga menggambarkan sikap Bulin yang terburu-buru mengambil tindakan dan keputusan melalui perlakuan sahabatnya, Laing.
Si gopoh akan mendampingi si gopoh. Kaki bohong akan menggauli kaki bohong. Penulis memahami karakter manusia itu dibentuk melalui lingkungan manusia yang didampinginya. Justeru, imej Laing meneguk kopi yang panas menggelegak secara tidak sengaja menampakkan kebijaksanaan penulis dalam membentuk karakter Bulin dalam kepala pembaca.
Imej kedua:
“Tidak lama untuk kedua-duanya kolamnya dipenuhi oleh air hujan sehingga melimpah kerana hujan berterusan sehingga ke petang. Air bukan setakat membanjiri kawasan kolam-kolamnya tetapi sehingga ke paras tangga rumahnya. Bulin tidak dapat berbuat apa-apa selain sekadar melihat banjir yang belum lagi surut selagi hujan tidak berhenti. Dia akur dengan kejadian alam. Sedetik kemudian dikejutkan oleh guntur, dia baru sedar itulah pembalasan atas perlakuannya kepada kalang.”
Saya gemar melihat kecerdasan penulis menggunakan alam untuk menginsafkan manusia seperti Bulin ini. Ia memberi isyarat bahawa penulis mengerti konsep pembalasan itu tidak semestinya menuntut dendam dilunas dengan tindakan individu. Kalang barangkali tidak tahu siapa yang meracun ikannya, tetapi dia tidak perlu menurut kebencian pada musuh sekali gus bertindak sendiri kerana keadilan itu sentiasa berpihak pada mereka yang benar.
Bah dan hujan merupakan antara elemen yang sering disinonimkan dengan pembersihan dosa. Tidak sukar untuk melihat bagaimana bencana alam mengubah pendirian seseorang itu. Kehilangan seringkali menjadi pemangkin perubahan dalam diri manusia. Selain daripada itu, sifat air yang mengalir dan sering digunakan untuk membawa pergi kekotoran bersama-samanya kelihatan amat difahami penulis. Justeru, apabila sesudah bah melanda, kita dapat melihat Bulin insaf akan kesilapannya dan juga kemaafan mudah dihulurkan oleh Kalang.
Secara asasnya, cerpen ini bergerak atas naratif lazim – kebenaran harus menang di penghujung dan watak-wataknya dibinakan hitam putih – ada yang jahat dan ada yang baik. Untuk pembaca yang mahu menemukan keadilan yang naif sifatnya dalam sesebuah cerpen, ia pasti memberikan kepuasan.
Namun, saya beranggapan penulis sudah mahir dalam menyampaikan cerpen sebegini. Sewajarnya penulis berusaha pula meneroka ruang seterusnya dalam penciptaan cerpen iaitu pencarian gaya baharu penceritaan.
Lalu bagaimana pula hendak memperbaharui penceritaan ini? Ia dimulakan dengan pertanyaan-pertanyaan berikut: Apakah sisi kelabu ke atas nilai-nilai yang watak-watak ini genggami? Apakah alternatif perspektif sedia ada dalam cerpen ini? Apakah alternatif sisi pandang watak yang boleh digunapakai untuk menceritakan naratif ini? Apakah bentuk teks yang boleh digunapakai untuk menyampaikan cerita ini?
Bulin digambarkan selaku seorang lelaki yang memiliki sifat hasad dengki yang tidak terperi. Kedengkiannya ini disulami egoisme yang tidak terbendung sehingga gagal membuka matanya melihat peluang yang lebih baik demi menaik taraf hidupnya.
Kalang pula diperlihatkan selaku seorang lelaki yang berhati baik dan bijak menggunakan peluang yang tersedia untuknya oleh kerajaan untuk menternak ikan tilapia. Bahkan kita disajikan dengan kemaafan tidak bersyarat yang Kalang tunjukkan di pengakhiran cerita ke atas musuh yang meracuni ikan-ikannya.
Lihat, betapa hitam putihnya watak-watak ini. Sehingga tidak terlihat realistik untuk diaplikasi dalam kehidupan semasa. Penulis harus membina asas kedengkian Bulin – tiada benci terbina semata-mata daripada lahir seseorang. Kebaikan Kalang juga harus berasas – barangkali ia terhasil daripada didikan keluarga atau sesuatu peristiwa besar yang menginsafkan.
Semestinya, cabaran terbesar untuk memberikan sisi kelabu dan pembinaan asas nilai-nilai watak ini Ialah ruang terhad sebuah cerpen. Bertitik tolak daripada kesukaran inilah penulis boleh meneroka potensi sesebuah cerpen. Bagaimanakah sisi kelabu watak-watak boleh diterapkan dalam ruang cerpen yang dihadkan oleh dua ribu patah perkataan?
Selaku pemula, Bulin boleh sahaja diterapkan nilai-nilai murni dalam kedengkian tidak terbatasnya itu. Sebagai contoh, barangkali dia boleh digambarkan selaku seorang yang amat menyayangi ikan-ikannya dan diperlihatkan bertutur dengan ikannya dengan lemah-lembut meskipun caranya berkomunikasi dengan isteri dan rakan agak kasar.
Manakala, Kalang pula boleh sahaja diterapkan sisi negatif dalam kebaikan dan kesungguhannya menggunakan bantuan kerajaan dalam penternakan ikan tilapianya itu. Jika Bulin digambarkan selaku seorang yang menyayangi ikan-ikannya, boleh sahaja Kalang pula diperlihatkan selaku seorang pengusaha yang menanggapi ikan-ikannya itu selaku sumber pendapatan semata-mata tanpa sebarang sentimen emosi.
Ketidaksempurnaan watak-watak ini akan memberikan sisi realistik sekali gus mendekatkan lagi watak-wataknya dengan karakter pembaca.
Lalu apakah pula alternatif untuk perspektif sedia ada dalam cerpen ini? Secara ringkasnya, penulis menggunakan sisi pandang orang ketiga demi memberikan suatu gambaran tuntas ke atas perseteruan antara Bulin dan Kalang ini. Ia mudah untuk menyampaikan naratif yang begitu terapung-apung di permukaan pemikiran dan tidak mendalam falsafahnya.
Melalui sisi pandang narator, dapatlah kita melihat bagaimana narator menggambarkan Bulin selaku seorang yang berfikiran negatif dan hal ini dipersetujui watak-watak lain seperti Alim, Laing dan juga Rina. Selain daripada itu, narator juga menggambarkan Kalang selaku seorang yang berfikiran positif melalui kebijakannya menggunakan peluang yang kerajaan sajikan untuk membina perusahaan penternakan ikan tilapia di samping kebaikan hati watak yang tidak terbatas dalam memberikan kemaafan tidak bersyarat ke atas Bulin yang meracuni ikan-ikan tilapia miliknya.
Penulis boleh mempersoalkan kembali perspektif sedia ada ini dengan naratif berikut:
a) Bulin boleh sahaja digambarkan selaku pesaing sihat ke atas perusahaan ikan tilapia Kalang. Tiada kedengkian, tetapi persaingan sengit. Lantas menciptakan kekelabuan antara nilai hitam putih yang pekat dalam penceritaan. Di samping itu, persaingan sengit ini juga boleh membangkitkan pertanyaan terhadap batasan persaingan – Bagaimanakah batasan persaingan yang dibenarkan dan masih dianggapi akur pada etika?
b) Wakil kerajaan yang memberikan bantuan kepada Kalang dalam penternakan ikan tilapia boleh sahaja dibinakan seolah-olah memiliki motif untuk melaga-lagakan Kalang dan juga Bulin, sekali gus beroleh keuntungan daripada perseteruan dua orang itu demi meraih hasil yang lebih lumayan daripada persaingan antara kedua-dua orang penternak ikan tilapia tersebut.
Apa yang saya senaraikan itu hanyalah beberapa contoh bagaimana cerpen ini boleh diperbaharui dan diberi bentuk yang lebih segar. Setelah menelusuri pilihan-pilihan yang boleh difikirkan dalam menyampaikan perspektif tuntas penceritaan, penulis bolehlah menukang sebuah cerpen yang lebih luas cakupan kreativitinya.
Saya teruskan pula dengan persoalan seterusnya, iaitu apakah alternatif sisi pandang watak yang boleh digunapakai untuk menceritakan naratif ini?
Rina, sebagai contohnya, boleh menjadi alternatif penceritaan tersebut. Barangkali, kita boleh diperlihatkan sisi pandang Rina yang pastinya berat sebelah dalam menilai keadilan dan tragedi yang menimpa Bulin dan juga Kalang. Selaku isteri kepada Bulin, pastilah dia lebih memahami asas kepada kebencian suaminya itu terhadap Kalang. Dan tidak mustahil juga suatu perkaitan di antara Rina dan Kalang itu ada, demi menambah rencah penceritaan.
Bagaimana pula dengan sudut pandang Laing? Atau sudut pandang Alim yang dimunculkan seketika di awalan cerpen demi membantu pembinaan karakter Bulin dan Kalang?
Saya sentiasa berpendapat sebuah cerpen yang bijak tidak semestinya harus menyuap sebegitu sahaja nilai-nilai yang ingin penulis ketengahkan melalui landasan penceritaan yang menaik kemas begini. Saya beranggapan cerpen “Tilapia” ini harus juga mendaki kesusahan penyampaian nilai-nilai positif ini melalui ketidaksempurnaan watak-wataknya demi memberikan sudut pendebatan untuk pembaca.
Sebagai contoh, apabila sebuah cerpen digerakkan oleh subjek/objek khusus, ia boleh diwarnakan dengan motif-motif berbeza setiap watak ke atas subjek/objek tersebut. Dalam cerpen ini, kita lihat “tilapia” adalah subjek/objek tersebut. Dan watak-watak yang terlihat punya keterkaitan terhadap tilapia ini secara langsung adalah Bulin dan juga Kalang. Rina pula bergantung pada Bulin yang jelas sekali membinakan kelangsungan hidupnya melalui penternakan ikan tilapia. Manakala keterkaitan Laing dan juga Alim terhadap tilapia pula begitu kabur dan barangkali tidak terkesan sama sekali dengan kewujudan tilapia yang diternak Kalang dan juga Bulin itu.
Keterkaitan inilah yang penulis boleh tekuni sama ada boleh ditambah baik untuk menonjolkan lagi impak yang subjek/objek, iaitu ikan tilapia dalam cerpen ini ke atas watak-watak yang digagaskan dalam cerita.
Andai kata tilapia dijadikan narator cerita, tidakkah ia sesuatu yang di luar kelaziman?
Setelah menelusuri contoh demi contoh yang saya kemukakan di atas, saya ingin membicarakan perihal bentuk penyampaian cerpen pula. Sejujurnya, cerpen realisme seperti ini memang sesuai menggunakan naratif konvensional sebegini kerana ia lebih berkesan dan mudah menyoroti emosi dan psikologi watak-wataknya ke atas pembaca. Namun, penulis juga boleh meneroka bentuk-bentuk lain seperti tulisan garda depan (avant-garde) yang menggunakan eksperimen ke atas teks dalam menyampaikan ceritanya.
Saya membayangkan sebuah cerpen yang ditaip dengan teks-teksnya disusun agar kelihatan seperti bentuk seekor ikan tilapia. Ataupun sebuah cerpen yang dibina dengan teks-teks ringkas bernombor yang mengaburkan hubungan teks-teks itu sekali gus membinakan pendebatan sama ada cerpen itu wajar ditanggapi selaku cerpen atau tidak.
Secara kesimpulannya, tiada bersalahan sama sekali apa yang penulis cuba sampaikan dalam cerpen “tilapia” ini. Ia sempurna naratifnya, ada konflik jelas, gaya bahasanya juga baik. Ada watak-watak yang dominan dan juga jelas sekali karakter masing-masing. Dan juga ada nilai dan pemikiran diterapkan dalam penyampaian teks yang sarat moral. Namun, setelah penulis berhasil menulis cerpen kemas seumpama ini, wajarlah pula penulis melihat potensinya untuk menulis cerpen yang lebih mencabar bentuk dan pemikiran pembacanya.
Saya melihat Stephanie Juanita Ahlee memiliki kemampuan untuk menggarap sebuah naratif yang beremosi dan juga semaian nilai-nilai manusiawi dengan baik tanpa perlu bersyarah atau berleter dalam cerpennya. Oleh demikian, langkah seterusnya ialah penulis harus menyoal kembali, apakah langkah seterusnya yang harus dia lakukan terhadap masa depan cerpen-cerpen yang hendak dikarangnya kelak?