SALAH satu polemik yang berulang kali diperkatakan adalah sambutan tarikh 31 Ogos. Persoalan yang timbul ialah sama ada tarikh kemerdekaan Tanah Melayu itu sebagai Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan. Ini kerana terdapat beberapa pendapat dari Sarawak mahupun Sabah lebih melihat 16 September sebagai tarikh patut diraikan kerana tarikh itu sebagai tarikh pembentukan Malaysia.
Sarawak pula mempunyai keistimewaan apabila mempunyai tarikh 22 Julai sebagai tarikh yang mana Stephen Kalong Ningkan sebagai anak Sarawak pertama mengalas tugas sebagai Ketua Menteri Sarawak. Ketiga-tiga tarikh ini menjadi polemik berterusan dari tahun ke tahun.
Namun demikian, wacana hari ini tidak membicarakan tentang polemik itu tetapi akan menyentuh tentang sambutan perayaan 31 Ogos di Sarawak. Jika diikuti rentetan sejarahnya, sambutan pada tarikh tersebut disambut setiap tahun di Sarawak sejak pembentukan Malaysia.
Merdeka tertunda
Jika dilihat dokumen-dokumen sejarah, jelas menunjukkan bahawa 31 Ogos dipilih sebagai tarikh pembentukan Malaysia. Malah, Kalong Ningkan mahukan agar tarikh itu menjadi tarikh pembentukan dan mengenepikan bantahan dari Indonesia dan Filipina.
Sehubungan dengan Persetujuan Manila (Manila Accord), beliau akur untuk membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Misi Malaysia melakukan tinjauan di Sarawak, namun beliau masih percaya bahawa kemerdekaan Sarawak dan pembentukan Malaysia akan dicapai pada 31 Ogos 1963.
Senada dengan beliau ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Perikatan Sarawak, Abdul Rahman Ya’akub yang percaya bahawa UNMM mampu untuk menamatkan tugas mereka sebelum 31 Ogos 1963.
Hasrat pemimpin Sarawak ini tidak tercapai apabila misi UNMM masih lagi meneruskan tinjauan mereka di Sarawak dan Sabah pada tarikh 31 Ogos. Akhirnya pemimpin Sarawak akur bahawa tarikh pembentukan Malaysia ditunda kepada 16 September 1963.
Tarikh tersebut menjadi tarikh kemerdekaan Sarawak, manakala tarikh 31 Ogos 1963 pula dilambangkan sebagai tarikh yang mana Sarawak diberi taraf pemerintahan sendiri. Bagi menandakan kepentingan tarikh tersebut iaitu pada ambang tarikh itu, sebanyak 21 das tembakan meriam dilakukan dari Fort Margherita.
Oleh kerana Malaysia belum dibentuk pada tarikh 31 Ogos 1963, maka perayaan menyambut kemerdekaan Sarawak ditunda pada 16 September 1963. Sambutan perayaan itu mempunyai makna besar kerana Sarawak mula bebas daripada penjajahan kuasa asing.
Ulang tahun pertama
Pada 1964, perayaan Hari Kebangsaan pertama kali diadakan di Padang Merdeka. Ketika itu Hari Kebangsaan ini dikenali sebagai Hari Malaysia. Acara yang diadakan dalam perayaan ini ialah satu perhimpunan kanak-kanak dan pertunjukan senaman pelajar sekolah.
Perayaan ini dihadiri oleh Gabenor Sarawak, Dato Abang Openg dan isteri. Beliau juga membaca titah Yang di-Pertuan Agong. Di samping itu, Datuk Kalong Ningkan juga hadir pada majlis perayaan tersebut.
Sementara itu, sambutan Hari Malaysia kali kedua diselubungi dengan masalah konfrontasi Indonesia yang masih lagi belum tamat. Gabenor Sarawak, Dato Abang Openg memberi ucapan pada hari ulang tahun tersebut dengan kebimbangan tentang keselamatan negeri Sarawak. Hari Malaysia ini diadakan juga di peringkat daerah, bandar dan juga kampung.
Pelbagai acara diadakan sempena sambutan hari tersebut. Pada 1966 selain ucapan Gabenor Sarawak, satu pertandingan lumba berganti-ganti diadakan untuk anggota Tentera Udara Diraja Malaysia yang dianjur oleh Persatuan Olahraga Amatur Sarawak.
Sementara itu pada 1967 pula, perayaan Hari Malaysia yang diadakan di Sibu terpaksa dibatalkan kerana hujan lebat. Sebaliknya di Mukah, perayaan Hari Malaysia diserikan dengan acara perlumbaan olahraga kanak-kanak yang dihadiri oleh Menteri Tanah dan Perlombongan, Abdul Rahman Ya’akub di Padang Mukah. Beliau sempat memberi ucapan kepada kanak-kanak agar tidak berasa rendah diri dengan saudara mereka di Semenanjung Malaysia.
Pada 1970, berlaku pertukaran nama sambutan 31 Ogos dari Hari Malaysia kepada Hari Kebangsaan. Selepas itu, sambutan 31 Ogos dinamakan sebagai Hari Kebangsaan. Pada 1970, sambutan 31 Ogos diadakan selama tiga hari, manakala pada 1971 pula beberapa acara diadakan seperti melepaskan balon dan pertunjukan fizikal kanak-kanak sekolah serta perarakan.
Tuan rumah
Sambutan Hari Kebangsaan pada 1993 mempunyai keistimewaannya di Sarawak. Pada tahun itu, Sarawak menyambut ulang tahun ke-30 merdeka dalam Persekutuan Malaysia, manakala ulangtahun Hari Kebangsaan pula adalah 36 tahun.
Apa yang menariknya pada ulang tahun ke-30 ini adalah Sarawak diberi peluang pertama kali untuk menganjurkan ulang tahun hari kebesaran tersebut di peringkat kebangsaan. Sebelum itu, 31 Ogos diraikan di peringkat kebangsaan yang hanya diadakan di Kuala Lumpur, manakala Sarawak diberi peluang menganjur hari kebangsaan ini buat kali pertama di peringkat kebangsaan selepas Melaka dan Johor.
Perdana Menteri ketika itu Datuk Patinggi Dr Mahathir Mohamad memuji Sarawak kerana telah berjaya menganjur Hari Kebangsaan tersebut dengan baik. Perayaan ini bermula dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Bainun.
Perayaan yang diadakan di Padang Merdeka, Kuching itu juga dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta semua ahli Kabinet Persekutuan dan negeri.
Acara diadakan termasuklah pemeriksaan kawalan kehormat selepas itu disusuli dengan bacaan ikrar, deklamasi puisi, pertunjukan pasukan pancaragam dan aerobatik pelajar sekolah. Pada Hari Kebangsaan ini buat pertama kali versi baharu lagu kebangsaan ‘NegaraKu’ berkumandang di Padang Merdeka. Majlis ini diserikan lagi dengan lintasan hormat pesawat F5E dan A4 Skyhawk dari Tentera Udara Diraja.
Walaupun terdapat polemik mengenai sambutan 31 Ogos tetapi sejarah menunjukkan bahawa Sarawak merayakan 31 Ogos bersama-sama dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Semangat ini menunjukkan kesatuan kuat Sarawak untuk meningkatkan integrasi nasional. Akhir sekali Selamat Hari Kebangsaan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.