SEORANG rakan yang sudah merantau 30 tahun di Semenanjung Malaysia kerana tugas, terkejut apabila balik ke kampung di Sarawak kerana tidak mengenali sebahagian penduduk termasuk yang sama bersekolah dengannya dahulu.
“Bila saya tanya, di mana si anu, saya diberitahu sudah tiada. Bila saya tanya lagi, di mana orang bernama si anu bin si anu, dengan baik hati seorang budak bantu bawa saya ke rumah orang itu.
“Sampai di rumah, kawan saya itu tengah baring, sebab sakit. Rupanya budak itu, cucunya. Hampir seketika kami tidak mengenali wajah masing-masing, jauh berubah ketika sama-sama sekolah dulu,” kata rakan itu yang kini sudah berusia 60-an.
Itulah situasi bak lagu kumpulan D’Lloyd – ‘Semalam Di Malaysia’ yang liriknya antara lain berbunyi:
“Aku pulang, dari rantau
Bertahun-tahun di negeri orang
Oh Malaysia
Oh dimana, kawan dulu
Kawan dulu yang sama berjuang
Oh kawanku”.
Itulah hakikatnya, usia kita semua semakin hari semakin tua. “Dulu-dulu bila balik kampung, ramai juga orang tua, kini bila balik… kitalah jadi orang tua,” kata seorang lagi warga emas.
Mengikut ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), individu yang berusia 60 tahun dan ke atas dikategorikan sebagai warga tua. Keputusan yang dibuat di Vienna, Austria pada 1982 itu turut diterima pakai oleh semua negara Asean, termasuk Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia akan merasai penuaan penduduknya menjelang 2030, lebih cepat berbanding negara maju, apabila dijangka 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara berusia 60 tahun dan ke atas, berdasarkan unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ini bermakna populasi warga emas ketika itu akan menjangkau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah penduduk negara.
Sarawak pula lebih cepat berbanding peringkat nasional, apabila jangkaan mencapai status negeri tua menjelang 2028 dengan 16 peratus daripada penduduknya terdiri daripada mereka berumur 60 tahun ke atas.
Negara yang peratusan penduduk warga tuanya mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya, dianggap telah mencapai status negara tua.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya sedang menjalankan kajian menyeluruh sebagai persedian untuk Sarawak menghadapi status negeri tua menjelang 2028.
Antaranya cadangan penubuhan jawatankuasa Kabinet khusus untuk persediaan hari tua yang terdiri daripada pelbagai kementerian, untuk dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet pada 14 September depan.
Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh jawatankuasa Kabinet itu nanti ialah membuat bancian di setiap 46 daerah di seluruh negeri mengenai anggaran jumlah penduduk berusia 60 tahun dan ke atas menjelang 2028 iaitu mereka yang berusia 55 tahun sekarang.
Jawatankuasa itu juga perlu dibentuk di peringkat bahagian diketuai Residen dan dianggotai semua pegawai daerah di setiap bahagian. Data ini penting bagi membolehkan kerajaan negeri merangka dasar, menyasarkan bantuan untuk warga emas dan kemungkinan untuk memberi bantuan yang sewajarnya termasuk menyediakan pusat kesihatan khas andai di sesuatu daerah itu ramai warga emas.
Isu penuaan ini perlu dipandang serius agar tidak menjadi bebanan kepada keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Tumpuan dasar kerajaan juga perlu menitikberatkan isu kesihatan dan program galakan senaman beramai-ramai.
Kini keadaan lebih cenderung bagi warga emas untuk duduk di bandar, bukan lagi di kampung kerana dibawa oleh anak mereka yang bekerja di bandar, terutama bagi menjaga kebajikan termasuk kemudahan mendapatkan rawatan hospital.
Jadi, adalah penting bagi warga emas kekal aktif dan produktif seiring dengan peningkatan usia mereka.
Bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia juga memberikan tumpuan terhadap isu penuaan ini dalam pelbagai platform di peringkat persidangan antarabangsa.
Satu laporan kajian kemudahan dan perkhidmatan bagi menepati keperluan warga emas di Malaysia yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), merumuskan 95 peratus warga emas masih mampu menyertai pekerjaan dengan ada dasar program sesuai dalam persekitaran mesra usia, berbanding lima peratus warga emas yang sebenarnya memerlukan pendekatan kebajikan.
Jawatankuasa Kabinet khusus untuk persediaan hari tua seperti dinyatakan Fatimah perlu melihat kepada skop yang lebih meluas, termasuk merangka program perumahan, kompleks beli-belah dan riadah yang mesra warga emas seperti menyediakan laluan yang boleh dilalui kerusi roda.
Setiap bank, jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Dewan Bandaraya dan majlis tempatan perlu membuka kaunter khas untuk warga emas. Kerajaan perlu merangka dasar untuk mewajibkan setiap pasar raya besar mempunyai laluan khas warga emas di kaunter pembayaran.
Setiap Dewan Bandaraya dan majlis perbandaran juga perlu mewujudkan elemen mesra usia terutama bagi memudahkan pergerakan warga emas.
Sudah tentu undang-undang berkaitan perlu dinamik dan sekiranya ada penggubalan baharu atau penambahbaikan dibuat kepada undang-undang sedia ada, maka penguatkuasaannya diharap dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.
Bagaimana pula dengan wang simpanan individu warga emas?
Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Tengku Aizan Hamid berkata, kajian dalam kalangan warga tua mendapati ramai mereka yang kehabisan wang simpanan hari tua kerana memberikan wang berkenaan kepada anak sebaik saja mengeluarkan caruman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Katanya, keadaan itu amat menyedihkan kerana ramai warga emas hidup melarat, sedangkan wang yang sepatutnya menjadi bekalan di masa tua sudah dihabiskan dengan memberinya kepada anak.
“Ibu bapa perlu memikirkan diri sendiri terutama untuk masa tua. Tidak dinafikan, sebagai ibu bapa tentu tidak mahu menghampakan permintaan anak yang mahukan wang tetapi jangan sampai mengabaikan keperluan sendiri kerana anak mampu berusaha berikutan masih muda dan bertenaga,” katanya seperti dilaporkan media sebelum ini.
Oleh itu, kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh sebagai persediaan negeri tua termasuk asork kebajikan, kesihatan dan sosioekonomi. Kita tidak mahu warga emas terus sunyi pada detik pengakhiran hidup mereka apatah lagi untuk bersendirian tanpa teman seperjuangan.
Berikut adalah sambungan lirik lagu ‘Semalam Di Malaysia’.
“Inilah kisahku
semalam di Malaysia
Kini rasa sunyi
Aduhai nasib, apalah daya
Aku hanya seorang pengembara
yang hina
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak