Oleh: Mohidin Haji Malek
APABILA membaca sesebuah hasil karya kreatif, sama ada sajak, cerpen, certot, novelet dan seumpamanya, penulis cenderung untuk mengumpamakannya dengan menikmati hidangan aneka juadah yang disajikan dalam pelbagai cara dan kaedah masakan, dan dengan rempah ratusnya yang membangkitkan keenakan hidangan berkenaan. Tidak dapat dinafikan apabila seseorang menjamu selera, perkara utama yang diigini ialah kepuasan yang dirasai. Kepuasan deria rasa menikmati suatu hidangan yang sedap dan enak. Kepuasan yang menaliaruskan tindakan untuk mahu dan mahu lagi memesan hidangan yang serupa. Andai hal yang sebaliknya berlaku, akan bangkit rasa serik, bukan sahaja untuk memesan hidangan berkenaan, akan tetapi turut berasa berat atau tawar hati untuk berkunjung ke kedai makanan yang menyajikan menu berkenaan.
Dalam konteks makalah ini, perbincangan lebih terarah kepada genre sajak. Sajak sememangnya agak sukar untuk diperkatakan atau dikupas secara seimbas lalu atau selayang pandang. Untuk memahami sesebuah sajak memerlukan pembacaan yang berulang-ulang, di samping memerlukan daya taakul serta tafsir yang mendalam. Lantaran hal yang sedemikian itu, tidak mustahil akan timbul kekeliruan serta kakaburan dari segi pemahaman serta pentafsiran naratif atau mesej antara penyajak dan pengulas, mahupun khalayak pembaca. Hakikat yang sedemikian tidak dapat dikesampingkan. Sebagai contoh, sajak “Malam Lebaran” karya Sitor Sitomurang, sehingga ke hari ini masih diperkatakan oleh khalayak dunia sastera.
Sajak, seperti dimaklumi umum, karya kreatif bersifat fiktif. Lantaran, dari sudut keabsahan mahupun realitinya kadang-kadang diabaikan atau diambil sambil lewa. Istilah “fiksyen” menirai akan hakikat realiti yang dikias serta diselitkan dalam sesebuah sajak, malah genre-genre yang lainnya. Kita sering terlupa akan hakikat bahawa apa-apa yang dinukilkan oelh seseorang pengkarya adalah berdasarkan sama ada pengalaman peribadi, mahupun apa-apa yang disaksikan berlaku di persekitarannya. Hal sedemikian ini berupa realiti yang dipaparkan secara kreatif.
Menyantap hidangan sesebuah sajak pula berkait rapat dengan keberkesanannya mencuit deria emosi khalayak pembaca. Komponen yang “dikunyah” ialah bait-bait sajak yang membentuk rangkap-rangkap yang “membangkitkan aroma” naratif, mesej mahupun falsafah yang disampaikan. Komponen-koponen ini pula bergantung pada rempah ratus diksi yang menyerlahkan “keenakan” pada sajian sesebuah sajak. Bagi sesetengah khalayak pembaca, apa-apa yang diperkatakan mungkin tidak selari dengan pandangan masing-masing. Hal yang sedemikian itu lazim dalam apa-apa jua bentuk perbincangan. Setiap daripada kita mempunyai persepsi yang berbeza.
Kembali membicarakan tentang membaca, menghayati, mencerna dan memahami sesebuah sajak, penulis melaraskan fokus perbincangan kepada tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini minggu lalu. Sajak-sajak berkenaan ialah “Hujan di Gurun Kesepian” nukilan Bandang Gelayan, “Sesederhana Ubi Kayu” karya Stefanie Kaso, dan “Monolog Cinta Abadi” ilham cipta Hjh. Norhasimah Dollah. Sajak-sajak berkenaan mengetengahkan persoalan yang berbeza, iaitu alam sekitar, kehidupan dan cinta.
Lewat sajak “Hujan di Gurun Kesepian”, penyajak jelas meluahkan kekesalan dan rasa gusar akan tindakan rakus manusia yang memusnahkan alam sekitar yang membawa kesan rantaian terhadap kehidupan haiwan, flora dan fauna. Persoalan sedemikian ini bukan perkara baharu tetapi telah lama dibicarakan sama ada secara lisan mahupun tulisan. Namun, sifat gelojoh dan tamak manusia menyebabkan apa-apa juga tindakan yang diambil ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Mungkin hal sedemikian ini yang “menggusarkan” Bandang.
Untuk membicarakan isu ini dalam karya kreatif, khususnya sajak, bukan sahaja memerlukan kanta tafsir dan taakul yang tajam, akan tetapi turut menyangkut aspek emosi atau perasaan yang terkawal. Hal yang sedemikian akan membuka ruang untuk pengkarya menyuarakan keresahan serta kegusaran secara terarah serta berhemah. Hal yang sedemikian juga secara tidak langsung, membangkitkan sensitiviti nubari untuk membentuk bait-bait yang indah daripada pemilihan diksi-diksi yang persis dan gramatis. Andaian penulis, Bandang amat terkesan dengan keadaan yang disaksikan dan dialami sehingga rasa amarah berkenaan diterjemahkan dalam bentu sajak. Hal sedemikian menyebabkan sajak yang dihasilkan tidak terarah dan bercelaru. Begitu juga dalam konteks pemilihan diksi-diksi bagi membentuk bait-bait indah. Sebagai contoh, dipetik beberapa bait yang kurang persis, antaranya termasuklah “layu menguning kering mewarna”, “burung-burung berkicau murung”, “lama sudah tidak terbang, sesat dalam kepulan asap berkarat”. Diimbas kembali sajak berkenaan.
Hujan di Gurun Kesepian
Di hutan jingga
sekawan bunga mengerang gila
layu menguning kering mewarna
sang ulat bertongkat penat
menyusur batu-batuan perangkap jerat
sayap terikat pundak terbelah pucat
terkurung dalam pasungan dunia ke depan.
Di gunung puncaknya rompong
burung-burung berkicau murung
lama sudah tidak terbang
sesat dalam kepulan asap berkarat
tenat hinggap di dahan keringat
mencari pulang riang yang dulu tenang
kini ditemani jentera berlagu memangkas hempas
sebuah kehidupan di gurun kesepian
hujan rintiknya menurunkan panas kekeringan.
Walaupun demikian, masih ada ruang untuk saudara Bandang memurnikan sajak ini. Carilah mentor atau berbincang dengan guru sekiranya anda masih menuntut, untuk mendapatkan pandangan serta panduan bagi memurnikan karya anda.
Lewat sajak “Sesederhana Ubi Kayu”, Stefanie mengimbau kembali keperitan kehidupan yang pernah dilalui. Sajak yang dihasilkan dalam bentuk prosaik ini sedikit sebanyak mampu menggamit naluri khlayak pembaca, khususnya mereka yang pernah melalui kehidupan yang serupa. Kepayahan hidup membuatkan sesetengah masyarakat bergantung harap pada ubi kayu sebagai makanan harian suatu ketika dahulu. Dalam konteks ini, Stefanie berjaya menitip “perasaan” dalam karyanya di samping terkesan keupayaan beliau mendirikan asas yang menjadi tapak bagi meletakkan binaan sajak beliau. Bagaimanapun, Stefanie perlu berhati-hati dalam konteks kepersisan diksi-diksi tertentu dalam struktur bait yang dibina. Dipaparkan kembali sajak berkenaan, sepertti yang berikut:
Sesederhana Ubi Kayu
ubi kayu merenda ingatan kami tentang makanan paling enak pada suatu Disember. daun rimbunnya perca penghapus air mata ketika kenyang menjadi rajuk berpanjangan. pucat isinya mengunyah semangat kami berselut bau tanah dan lumpur. sering kali rasa tawarnya dicecah asin tangis dan manis darah yang mengotori pinggan retak kami. meski direbus, dipanggang, dimakan begitu sahaja rasa belerang bersawang di lelangit.
hari ini sesederhana ubi kayu, kadang-kala masih menjadi makanan enak.
Kesederhanaan penyampaian sajak “Sesederhana Ubi Kayu” membuat sajak ini mudah untuk difahami. Namun, bukan bermaksud Stefanie harus berpuas hati dengan sajak yang ternukil. Sekadar sebagai perkongsian, dalam penulisan sajak, pengkarya masih terikat dengan hukum bahasa, walaupun terdapat sesetengah golongan menjadikan licencia poetica untuk “menghalalkan” bentuk yang sedikit menyimpang, akan tetapi perlu diingatkan bahawa dalam berkarya, elemen pemartabatan bahasa turut terkait.
Sajak “Monolog Cinta Abadi” nukilan Hjh. Norhasimah Dollah berkisar tentang cinta. Cinta sememangnya antara persoalan yang sering dijadikan fokus dalam pelbagai hasil karya kreatif. Hal ini kerana cinta mendominasi kehidupan manusia. Namun, “kriteria” atau “klasifikasi” cinta adalah pelbagai, bergantung pada usia dan ranah kehidupan. Cinta terhadap pasangan hidup, cinta terhadap ayah ibu, cinta terhadap keluarga, cinta terhadap agama dan negara dan seumpamanya. Bagi anak-anak muda, cinta lebih menjurus kepada cinta terhadap teman istimewa, namun bagi yang matang usia, hala tuju tertumpahnya cinta itu berubah, setidak-tidaknya bagi sesetengah daripada mereka. Lewat sajak “Monolog Cinta Abadi”, pengkaryanya melaraskan hala pandang kepada “cinta abadi” yang penulis andaikan sebagai cinta terhadap Tuhan Yang Maha Mencipta. Peralihan tertumpahnya cinta dari aspek duniawi kepada aspek ketuhanan lazimnya terputik oleh sebab timbulnya kesedaran dalam nubari seseorang. Apatah lagi dalam usia yang semakin lanjut, kesedaran itu tidak mustahil akan terbit.
Sajak “Monolog Cinta Abadi” ini amat sederhana dari segi pengolahannya. Sajak yang lebih bersifat peluahan rasa pengkaryanya. Tidak terkesan elemen emosinya yang setidak-tidaknya mampu membangkitkan kesedaran khalayak pembaca, sekiranya hal yang sedemikian itu diinginkan oleh Hjh. Norhasimah. Sajak ini masih punya ruang untuk dimurnikan atau dilakukan penambahbaikan bagi menyuntik elemen emosi yang mampu menggugah perasaan pembaca. Sama-sama kita lihat sajak berkenaan yang dinukilkan seperti yang berikut:
Monolog Cinta Abadi
Masa berjalan melewati waktu
inginkan kebahagian
pasrahkan kerinduan
kecintaan bertali arus.
Keresahan
kegelisahan
kesepian
meruntun sanubari.
Bangkit lelah
mencari dan mencari
titik noktah
sesisip rasa ceritera
ku redah jiwa dan raga.
Mungkin ini kesahku
mungkin ini resahku
mungkin ini relaku
mungkin ini taksubku
mungkin ini janjiku.
Amarah…
cinta…
duniawi…
Terserahlah…
di…
monolog cinta abadi.
Ketiga-tiga buah sajak yang diperkatakan masing-masing mempunyai kekuatan mahupun kekurangan. Namun, kekurangan masih mampu dilengkapi dengan melakukan proses pemurnian dan penambahbaikan. Untuk menghasilkan sebuah karya yang baik agak mustahil mampu dilakukan dengan percubaan pertama. Setiap daripada bakal pengkarya perlu mengisi dada dengan ilmu kepengarangan sama ada daripada individu tertentu, mahupun dengan membuat rujukan daripada bahan-bahan bacaan yang sememangnya banyak terdapat di perpustakaan. Di samping itu, mantapkan ilmu kebahasaan dan jadikan kamus sebagai teman sejati anda. Kepada ketiga-tiga penyajak, Bandang Gelayan, Stefanie Kaso dan Hjh. Norhasimah Dollah, tahniah dan syabas diucapkan. Teruskan usaha berkarya.