MESKIPUN Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di Semenanjung Malaysia yang berakhir Sabtu lalu, sebahagian rakyat Sarawak turut memerhati PRN itu dengan penuh minat.
Ini kerana banyak pengajaran boleh dipelajari yang mungkin boleh dijadi panduan berguna apabila Sarawak mengadakan pilihan raya nanti.
- Pertama, kempen yang dibawa oleh pemimpin nasional dan pasukan gerak kerja mereka terlalu memberi tumpuan kepada isu nasional hingga isu setempat dipinggir menyebabkan pengundi seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah menolak sepenuhnya calon mewakili Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, gerak kerja dan calon Perikatan Nasional (PN) menarik perhatian pengundi setempat apabila banyak menyentuh dan menangani isu ‘depan rumah’ pengundi sendiri.
- Kedua, corak kempen keterlaluan yang menjurus kepada ‘character assassination’ memberi impak negatif hingga menagih keadaan simpati kepada individu atau tokoh yang menjadi sasaran.
- Ketiga, pengumuman projek-projek besar mungkin sudah tidak relevan lagi untuk mempengaruhi pengundi yang dilihat sesetengah pihak sebagai sogokan untuk mendapat undi.
- Keempat, elak menabur janji yang sukar dilaksanakan pada waktu pilihan raya kerana sejarah lalu membuktikan sebahagian besar cuma janji manis yang mudah dilupakan, tidak dipenuhi dan ada juga sengaja ditiadakan apabila calon mereka kalah.
- Keenam, elak bercakap pasal rasuah jika masih ada ‘orang rasuah’ dalam parti sendiri atau parti komponen.
GUNA TIKTOK
- Ketujuh, jangan perkecilkan penggunaan media sosial termasuk TikTok kerana ia mempunyai liputan meluas berbanding saluran televisyen tradisional. Pihak pemerintah sudah tidak mempunyai kelebihan menggunakan media tradisional semata-mata.
- Kelapan, calon perlu elak bersikap angkuh dan sombong bila berdepan dengan pengundi. Jangan terlebih tunjuk baik, rajin, sikap peduli semasa pilihan raya saja. Tiba musim pilihan raya, sudah pandai bantu cat rumah, pandai tolak kerusi roda termasuk pada hari mengundi. Itu lakonan.
- Kesembilan, bila masuk ke negeri orang, jangan cuba ‘ajar’ orang kampung dengan pelbagai cara kempen.
- Kesepuluh, berucap pakai fakta bukan cuma sedap didengar tapi penuh auta.
- Kesebelas, elak memfitnah lawan dan tuduhan yang tidak berasas.
Itu ringkasan antara kesimpulan PRN yang menyaksikan keputusan ‘status quo’ iaitu PH terus kuasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala PN kekal di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun, amat ketara sokongan orang Melayu terhadap Perikatan Nasional semakin meningkat di Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.
Kenaikan sokongan yang begitu kuat terhadap PN di Negeri Sembilan sebanyak 37.1 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebanyak 21.7 peratus dengan jumlah peningkatan 15.4 peratus.
HERO MALAYA
Di Kedah pula, (sokongan terhadap PN) naik daripada 54.3 peratus kepada 68.9 peratus, kenaikan sebanyak 14.6 peratus. Begitu juga di Selangor daripada 27.3 peratus kepada 37 peratus.
PN menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, selain menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah dan 43 daripada 45 DUN di Kelantan.
Daripada pandangan kasar, PH terutama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ditolak sama sekali di Terengganu, Kedah dan Kelantan dan menembusi kawasan Melayu di Selangor.
UMNO yang mendakwa mempunyai 3 juta ahli, amat jelas ahli parti ini sendiri tidak menyokong calon PH-BN di Selangor, Kedah, Terengganu dan Kelantan kerana banyak juga kerusi tradisi kubu kuat UMNO kecundang.
Daripada enam negeri yang terlibat dalam PRN itu, hanya Negeri Sembilan memperlihatkan sokongan rakyat kepada UMNO masih kuat apabila memenangi 14 kerusi DUN daripada 17 calon yang bertanding.
Bayangkan UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi iaitu kalah 82 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi. PN buat ‘major inroads’ apabila menang 22 kerusi di Selangor berbanding hanya 5 disandang PN sebelum ini, sekali gus menafikan majoriti dua pertiga PH-BN.
Apakah kerana UMNO bekerjasama dengan DAP dalam PH menjadi punca penolakan orang Melayu?
Apa yang paling menarik pada PRN kali ini ialah kemunculan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah yang dianggap oleh penyokong tegarnya sebagai ‘Hero Malaya’.
Kerana Sanusi, tumpuan tenggelam terhadap pemimpin lain dalam PN. Kerana Sanusi, Kedah bagaikan satu-satunya negeri mengadakan pilihan raya. Kerana Sanusi, satu platun Kabinet Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkampung di Kedah.
“Kepalak bapa hang.” Itu antara kata-kata biasa terkeluar daripada mulut Sanusi sepanjang kempen yang boleh ditonton menerusi TikTok. Bagi orang luar Kedah, ungkapan Sanusi itu agak kasar tetapi perkara biasa dalam dialek orang Kedah.
Bagi sesetengah orang, Sanusi adalah seorang penglipur lara, penghibur yang amat jarang ada pada ahli politik lain. Cara Sanusi mematah hujah lawan juga bersahaja dengan dialek Kedah serta meyakinkan. Dia berjaya mencipta fenomena ‘angkat tangan’ lawan Anwar.
Itulah politik yang tidak pernah sunyi di muka bumi Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Selepas ini, ia akan kembali berdentum untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor pada 9 September depan.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.
Carilah lidi buatkan penyapu,
Pergi mencari ke Kuala Mukah,
Politik fitnah politik merapu,
Setelah menang, lupakan hujah
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak