Oleh: Awang Alfizan
“SELAMAT tinggal ibu. Ibu jangan menangis. Lepas ni Izman nak pergi jauh,” ujarku sambil menatap wajah bidadari syurgaku itu, ibu.
Ibu hanya mampu menggelengkan kepalanya kendatipun jauh dalam pelusuk atma terasa perit melihat anak sulungnya itu pergi. Mata ibu mula berkaca yang membuktikan bahawa ibu tidak mampu menipu kepiluaannya. Tambahan lagi, ini ialah kali pertama kami sekeluarga berpisah ketika bulan Ramadan menjelma. Tatkala kakiku hendak melangkah pergi, kepalaku sempat menoleh memandang ibu.
“Ibu, nanti sahur Izman nak makan apa?” ujarku dengan nada yang bergetar menahan sebak. Aku memalingkan semula wajahku agar tiada sesiapa yang menyedari kesedihanku.
Akhirnya, sebutir mutiara mata seorang ibu pun jatuh menitis ke atas bajunya. Ibu seakan-akan tidak terdaya untuk menjawab persoalanku. Namun, ibu sentiasa kelihatan kuat agar aku bisa menjadi lebih berdikari.
‘Maafkan Izman ibu, Izman tak berniat nak buat ibu menangis. Tapi, Izman tak kuat tanpa ibu,’ luahan hati kecilku.
Aku pun lantas melangkah masuk ke dalam sebuah teksi yang bakal menghantarku ke Lapangan Terbang Limbang. Aku hanya mampu melambaikan tanganku ke arah ibu yang sedang berdiri di beranda menatapku.
Ibu cuba menguatkan dirinya dengan melontarkan senyuman manis kepadaku. Senyuman yang akan sentiasa terbayang dalam lensa pemikiranku saat aku merinduinya nanti.
Hari ini merupakan hari pertamaku menyambung pelajaran di Universiti Malaysia Sabah setelah musim cuti semester berlalu. Jarak perjalanan rumahku dengan universiti tidaklah jauh jika menggunakan pengangkutan darat kerana Bumi Kenyalang hanya bersebelahan dengan Negeri di Bawah Bayu. Namun, semenjak pandemik COVID-19 yang melanda seantero dunia, laluan untuk memasuki Brunei Darussalam ditutup dan sebarang kenderaan dari Malaysia tidak boleh melintas negara tersebut. Hal inilah yang mengakibatkan rakyat terpaksa menaiki pengangkutan udara untuk ke Sabah kerana Brunei terletak di antara Sarawak dan Sabah.
Jika diikutkan kemahuan hati, aku mahu ibu menghantarku ke universiti seperti teman-temanku yang lain tetapi aku sedar dengan kondisi ekonomi keluargaku. Aku bukan berasal dari keluarga yang senang dan aku hanyalah seorang anak yatim yang tabah meneruskan kehidupan bersama ibu dan adik-beradik yang lain. Ibu merupakan seorang tukang masak di sebuah warung. Hasil titik keringat ibu inilah yang digunakan untuk membeli tiket penerbanganku pulang. Bagi kami sekeluarga, untuk membeli sehelai tiket pun sudah terlalu mahal dan ibu perlu bekerja lebih masa supaya mendapat upah tambahan. Sungguh besar pengorbanan seorang ibu untuk melihat anaknya dapat menyambung pelajaran ke menara gading walaupun ibu yang terpaksa membanting tulang mencari wang.
“Assalamualaikum mak cik, di sini ada kerja kosong tak? Kalau ada, saya nak kerja di sini,” soalku kepada pemilik warung nasi kukus itu.
Kekadang hidup ini kita tidak boleh terlampau bergantung dengan orang lain. Jadilah seperti seekor ulat yang hidup berdikari sejak lahir lagi dan akhirnya mampu terbang ke udara menjadi seekor kupu-kupu yang indah. Bersempena dengan bulan puasa ini, aku berniat untuk bekerja separuh waktu di warung nasi kukus itu. Aku ingin mengumpul wang untuk membeli pakaian baharu untuk adik-adikku supaya mereka mempunyai baju yang cantik pada pagi Hari Raya nanti. Tambahan lagi, aku berazam untuk menghadiahkan sebuah beg tangan kepada ibu. Selama ini, ibu hanya menggunakan sebuah beg tangan hitam lusuh yang sudah dipakainya selama bertahun-tahun kerana ibu enggan membeli beg tangan baharu demi memenuhi keperluan anak-anaknya. Sungguh bernilai jasa seorang ibu, sanggup menahan keinginan dan kemewahan demi membesarkan anak-anaknya.
Pada suatu pagi, pihak penyelia kolej kediaman menghubungiku kerana aku mempunyai sebuah bungkusan yang dikirimkan oleh seseorang. Aku kemudian bergegas menuju ke pejabat untuk mengambil bungkusan itu. Benarlah tekaanku. Ibulah yang mengirimkannya untukku. Setibanya di dalam kamar, aku membuka bungkusan kotak yang kelihatan besar itu. Alangkah gembiranya hati ini melihat pelbagai makanan kampung yang ibu kirimkan kepadaku. Ada kerepek pisang, keropok udang dan banyak lagi! Ibu seakan-akan tahu yang aku sudah lama mengidam untuk menjamah kudapan kampung ini.
Keterujaanku terhenti ketika menyedari bahawa terdapat sebuah bekas kecil yang berada di dalam kotak itu telah pecah. Setelah diperiksa, rupa-rupanya ibu juga mengirimkan sambal tahai kegemaranku. Namun, aku tidak sempat untuk merasainya kerana semua sambal itu sudah tertumpah semasa proses penghantaran bungkusan.
Terimbau memori pada setiap kali sahur, ibu akan menghidangkan kami adik-beradik dengan nasi hangat berlaukkan sambal tahai. Meskipun menu hidangan kami tidak semewah keluarga yang lain, tetapi itulah makanan yang paling aku gemari. Aku pun membersihkan sisa sambal tahai yang tertumpah itu dengan menggunakan sehelai kain perca. Hidungku mula menjadi kemerahan dan aku menangis teresak-esak kerana perasaan bersalah mula menghantui diriku. Ibu sanggup bersusah payah memasak sambal tahai ini dan menghantarnya untukku, tetapi akhirnya aku terpaksa membuangnya. Maafkan Izman, ibu. Maafkan aku.
Seperti kebiasaannya, tengah hari itu aku mengatur langkah pergi ke warung nasi kukus untuk melaksanakan pekerjaan separuh waktuku di sana sebagai seorang pelayan. Suasana warung pada hari ini sangat ramai pelanggan kerana waktu berbuka puasa hampir tiba. Aku melayan karenah setiap pengunjung dengan baik walaupun kesedihanku pada pagi tadi masih tersisa. Aku mengambil menu setiap pelanggan, mengangkat hidangan ke meja dan mencuci perkakas yang kotor. Kedengaran azan berkumandangan yang mencelah ruang udara pada senja itu. Para pelanggan mula menikmati hidangan kerana waktu berbuka sudah tiba. Aku pun meneguk segelas air kosong dan menjamah sebiji buah kurma setelah selesai membaca doa berbuka puasa sebentar tadi. Tiba-tiba, Mak Kiah, pemilik warung ini menghampiriku lalu menghulurkan sebungkus nasi kukus kepadaku sebagai makanan untuk aku berbuka.
“Alhamdulilah. Terima kasih Mak Kiah,” kataku dengan riak wajah yang penuh bersyukur.
Aku menikmati nasi kukus itu dengan sungguh berselera sehingga menjilat jari. Namun, seleraku terhenti tatkala terbayangkan jika aku menjamah nasi kukus ini bersama sambal tahai ibu, sudah tentu rasanya lebih sedap. Terdiam kerana dikunci dengan perasaan yang berkecamuk seribu rasa.
“Kenapa kamu senyap dari tadi Izman? Tak sedapkah nasi kukus tu?” soal Mak Kiah yang mula risau melihat keadaanku yang tidak ceria seperti selalu.
“Taklah Mak Kiah. Nasi kukus Mak Kiah ialah nasi yang paling sedap yang pernah saya rasa di Sabah ini. Saya cuma teringatkan masakan ibu saya di kampung. Ibu selalu masakkan kami sekeluarga sambal tahai. Rindu nak merasanya lagi,” balasku sambil melepaskan renungan kosong.
Mak Kiah lantas meluru ke dapur lalu keluar membawa sebuah bekas makanan yang berwarna merah jambu. Bekas tersebut kemudiannya dihulurkan kepadaku. Aku yang masih terpinga-pinga dengan tindakan Mak Kiah terus membuka bekas itu. Tanpa terzahir apa-apa kata, aku pun menjerit kegirangan tatkala melihat sambal tahai dalam bekas tersebut. Aromanya sungguh lazat sehingga meresap ke setiap rongga hidung.
“Ini sambal tahai yang Mak Kiah sempat buat waktu sahur pagi tadi. Maaflah kalau rasa sambal tahai Mak Kiah ini tak seenak masakan ibu kamu, tapi sekurang-kurangnya dapatlah mengurangkan rasa mengidam kamu tu,” kata Mak Kiah sambil tersenyum melihat aku gembira.
Aku pun berterima kasih dengan Mak Kiah. Aku tidak menyangka ada juga insan yang prihatin terhadapku di sini. Sambal tahai Mak Kiah sangat lazat meskipun sambal tahai ibu sedikit berbeza rasanya. Namun, sekurang-kurangnya sambal tahai Mak Kiah ini dapat mengubati kerinduaanku. Kata Mak Kiah, membuat sambal tahai ini tidaklah sukar seperti yang dibicarakan oleh orang lain. Bahan yang diperlukan hanya tahai, beberapa ulas bawang merah dan bawang putih, cili kisar, perahan air asam jawa dan yang paling penting ialah ketulusan dalam memasak. Tanpa kasih sayang yang sebati dalam masakan, sambal tahai itu tidak akan seenak ini.
Ketika dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman, ibu menghubungiku. Ibu bertanya tentang bungkusan yang dia kirimkannya kepadaku. Aku berpura-pura mengatakan bahawa semua makanan di dalam bungkusan tersebut sampai dengan selamat. Aku pun berterima kasih kepada ibu dan memuji sambal tahainya meskipun kebenarannya aku tidak sempat untuk merasanya. Ampunkan Izman, ibu. Aku tiada niat untuk membohongi ibu tetapi dalam masa yang sama aku juga tidak ingin mengecewakan perasaan ibu apabila dia mengetahui kebenarannya.
Setelah usai solat terawih berjemaah di masjid yang berdekataan, aku terus pulang ke kamar kerana malam ini tubuhku berasa kurang sihat. Aku pun merebahkan tubuhku di atas tilam yang bercadar ungu itu lalu melelapkan mata tidak lama kemudian. Malam itu, tidurku tidak selesa seperti kebiasaannya. Kepalaku seakan-akan dicucuk dengan jarum yang membuatkan kepalaku berdenyut kesakitan. Tekakku juga terasa gatal dan kering. Jasadku terkulai lemah dan hanya Allah sahaja yang tahu betapa perihnya aku menanggung kesakitan ini.
Keesokkan paginya, aku pun mencuba kit ujian COVID sebagai langkah berjaga-jaga kerana wabak ini telah mula merebak di sekitar daerah ini. Aku mencampurkan air liurku bersama sejenis cecair lalu aku titiskannya ke atas sebuah alat yang akan mengesan kehadiran virus ini dalam tubuhku. Selesai menunggu keputusan untuk beberapa minit kemudian, bicaraku terkunci dan mataku terbuntang. Pada saat itu juga aku disahkan sebagai seorang penghidap penyakit COVID-19. Aku seakan-akan tidak percaya dengan takdir ini kerana selama ini aku sudah menjaga jarak dan kebersihan diriku dengan sebaiknya. Namun, mengapa aku masih bisa terdedah dengan bahaya ini?
Aku terduduk sejenak di tepi katil sambil membayangkan wajah ibu dan adik-adik di rumah. Bagaimana aku ingin mengatakan hal ini kepada mereka? Sudah tentu ibulah orang yang paling risau dengan kondisiku. Aku tidak mahu membebaninya lagi. Sebuah pandangan sepi aku lepaskan ke arah jendela lalu memandang alam ciptaan Ilahi. Dalam kotak pemikiranku, aku mengetahui bahawa wabak ini sangatlah berbahaya dan telah meragut ribuan nyawa insan yang tidak berdosa. Ramai manusia yang kehilangan orang yang mereka cintai akibat wabak durjana ini. Adakah aku akan menjadi salah satu mangsanya? Mati kerana dibunuh oleh virus yang bermaharajalela. Masihkah ada peluang untukku pulang bertemu dengan keluargaku? Sejuta tanda tanya mula berlegar dalam gawang ingatanku.
‘Hamba yang kuat ialah hamba yang mampu menerima takdir dan Allah memberi kita dugaan ini untuk menguji tahap keimanan hambanya.’ Pesanan ibu yang menjadi azimat hidupku selama ini.
Berkat nasihat ibu selama ini, aku memberanikan diri untuk menghubungi ibu. Aku menceritakan segala sakitku kepadanya. Pada mulanya, ibu sangat khuatir dan cemas dengan keadaan kesihatanku tetapi akhirnya ibu tetap beraksi tenang agar aku tidak terlalu memikirkan sesuatu hal yang buruk. Aku berasa lega setelah memberitahukan perkara ini kepada ibu dan dia berpesan supaya aku segera memaklumkan penyakitku kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan segera. Aku pun membuat panggilan ke pusat rawatan warga yang terletak berhampiran dengan kolej kediamanku.
Pada hari itu juga aku dihantar menggunakan ambulans ke pusat kuarantin yang berada tidak jauh dari sini. Di sana, terdapat beberapa orang pesakit COVID-19 seperti aku sedang dirawat. Aku diletakkan di dalam sebuah kamar bersendirian kerana di pusat kuarantin ini mempunyai banyak bilik. Oleh sebab itu, setiap pesakit akan mendapat satu kamar. Doktor turut memeriksa tekanan darah dan tahap kesihatanku. Beliau juga memberikan beberapa ubat serta berpesan agar memakan ubat mengikut waktu yang ditetapkan. Petang itu, aku terus baring di atas katil untuk merehatkan tubuh meskipun sukar untuk melelapkan mata kerana simptom penyakit yang masih menyiksa diriku.
“Izman apa khabar? Bagaimana keadaan kesihatan Izman?” soal ibu melalui panggilan telefon.
“Syukur alhamdulilah, keadaan Izman dah beransur pulih dan doktor pun ada membuat pemeriksaan kesihatan setiap hari di sini. Tapi, Izman rindu nak makan sambal tahai ibu,” jawabku sambil cuba menahan batukku agar ibu tidak berasa risau.
“Takpa, waktu Izman pulang cuti Hari Raya nanti ibu masakan untuk Izman,” ujar ibu dengan nada yang sendu. Kedengaran sedikit tangisan ibu ketika mendengar luahanku.
Aku hanya mampu berharap agar aku bisa pulang ke kampung sebelum bulan Syawal menjelang tiba. Aku ingin membelikan baju raya untuk adik-adikku dan dapat menghadiahkan sebuah beg tangan untuk ibuku ketika aku pulang nanti. Duit tabunganku sudah mencukupi. Namun, kondisi kesihatanku yang menjadi penghalang. Kini, aku hidup bergantung dengan alat bantuan pernafasan kerana kadar pernafasanku kian merosot semejak beberapa hari yang lalu. Doktor pun kerap kali memantau kesihatanku dan memeriksa tekanan darahku yang tinggi ini. Aku hanya boleh berharap sebuah keajaiban akan berlaku. Keajaiban yang mampu membuatku bertemu dengan ibu. Ya Allah, Tuhan Penguasa Semesta, bantulah hambamu ini.
Purnama bersilih mentari, kelam berganti sinar. Dua minggu sudah berlalu dan keadaan kesihatanku sudah beransur pulih. Pihak hospital telah membenarkan aku pulang. Aku bergegas mengemas pakaianku lalu memasukkannya ke dalam bagasi. Petang ini juga aku akan menaiki pesawat penerbangan untuk pulang ke Limbang kerana keesokan harinya bakal menjelang Hari Raya Aidilfitri. Aku tidak lupa untuk membawa baju raya adik-adikku dan beg tangan untuk ibuku sebagai buah tangan daripadaku. Setelah sekian lama aku bekerja separuh waktu di warung nasi kukus, akhirnya duit simpananku sudah mencukupi untuk membeli hadiah untuk keluargaku di kampung. Ibu, sekejap lagi Izman nak balik!
Tepat jam empat petang, pesawat dari Kota Kinabalu selamat mendarat di Limbang. Aku mengheret bagasiku lalu menaiki sebuah teksi untuk menuju ke rumahku yang terletak tidak berapa jauh dari lapangan terbang. Jiwaku bergejolak kerana ingin melepaskan rinduku terhadap ibu dan tangan ini terasa hendak memeluknya seerat mungkin. Tidak akan pernah aku lepaskan pelukan itu lagi. Dari kejauhan, kelihatan atap zink rumahku yang tersimbah dengan cahaya mentari senja yang menandakan bahawa tidak lama lagi akan masuk waktu berbuka puasa. Tatkala aku menjejakkan kaki di pekarangan rumah, aku seakan-akan merasa sebuah aura yang berbeza. Aura yang membuatkan aku terasa kehilangan sesuatu tetapi aku tidak menyedarinya. Di beranda rumah, aku tidak melihat kelibat sosok ibu yang kebiasaannya akan setia menantiku di sana. Seperti ada sesuatu yang aneh berlaku. Kemungkinan ibu sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur. Aku pun berlari menuju ke dapur sambil membawa beg tangan untuknya. Namun, ibu tidak juga kelihatan. Aku berlegar-legar di sekitar rumah untuk mencari wajah yang aku rindui itu.
“Eh, abang dah balik? Kenapa tak bagitahu adik?” soal adikku yang baru menyedari kepulanganku. Dia pun lantas bersalaman denganku.
“Ibu ke mana? Mesti ibu masih bekerja di warung. Lewat betul ibu pulang ya,” kataku dengan tertanya-tanya.
Raut wajah adikku tiba-tiba sahaja berubah. Wajahnya yang tadi kelihatan teruja melihat kepulanganku terus bertukar menjadi sedih. Dia mula menggengam kedua-dua belah tangannya lalu menepis tangis yang mengalir pada pipinya. Aku berasa curiga dengan reaksinya itu. Aku mendekatinya lalu meminta penjelasan yang sebenar.
“Ibu dah lama tinggalkan kita bang. Sedarlah! Setiap kali abang balik dari universiti mesti abang jadi macam ini. Adik tak sanggup tengok abang bersedih lagi. Biarkan ibu pergi dengan tenang. Kita mesti reda bang,” penjelasan adikku sambil terduduk merintih mengenang pemergian arwah ibu.
Aku rebah terduduk di sisi adikku. Beg tangan yang aku genggam tadi turut terlepas. Aku tidak menyangka bahawa selama ini aku hanya berkhayal akan kehadiran sosok ibu yang sebenarnya telah meninggal beberapa tahun dahulu. Aku seakan-akan masih belum dapat menerima pemergiannya. Terpukul jiwa, memendam sebuah kerinduan. Aku melentokkan kepala ke pundak adikku lalu melepaskan segala kesenduan yang selama ini terbuku dalam diri. Aku menangis sepuas-puasnya.
Ibu, Izman sudah pulang ibu. Ibu di mana?
“Adik ada masak lauk kegemaran abang, sambal tahai,” pelawa adikku ketika kami adik-beradik sedang menikmati hidangan berbuka puasa.
Aku menjamah sambal tahai itu meskipun rasanya sedikit berbeza dengan sambal tahai ibu. Aku dapat membayangkan arwah ibu sedang duduk bersimpuh bersama kami di atas tikar mengkuang ini. Masing-masing kelihatan ceria sambil memuji sambal tahai ibu. Sungguh bermakna momen itu. Namun, alangkah bagus jika memorabilia lama dapat diputarkan kembali. Ketika itu aku sudah mula menerima pemergian arwah ibu dan aku berharap agar aku dapat bertemu dengan ibu di sana. Menikmati sambal tahai ibu lagi.