SEMPENA Hari Pahlawan baru-baru ini, wacana ini akan mengibau semula peranan unit tentera di Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak Rangers.
Pasukan ini menjadi tulang belakang penting dalam menjaga keselamatan Sarawak pada era pemerintahan Brooke.
Sebelum itu, Kerajaan Brooke terutama zaman Raja James Brooke tidak mempunyai unit tentera seumpama itu.
Raja James Brooke bergantung kepada pengikut-pengikut para Datu Melayu dan pemimpin tradisional Iban.
Selain itu, beliau juga mendapat sokongan daripada tentera British untuk memerangi musuhnya yang beliau gelarkan sebagai ‘lanun’.
Namun, sokongan tentera British berakhir selepas tamatnya Pertempuran Beting Maru pada 1849.
Ketiadaan sokongan daripada tentera British ini tidak melemahkan Kerajaan Brooke untuk melawan musuhnya.
Beliau tetap mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan pada satu ketika iaitu semasa menyerang kubu Rentap, tentera Brooke bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu dan Iban tetapi juga datang dari sekumpulan orang Afrika yang dikenali sebagai Sidi Boys.
Kemunculan Sarawak Rangers
Selepas kejayaan menumpaskan Rentap di Bukit Sadok, maka usaha telah digerakkan untuk menubuh sebuah unit tentera teratur di Sarawak.
Unit tentera yang lebih teratur diwujudkan oleh Kerajaan Brooke hanya muncul pada 1862.
Pada awalnya unit ini hanya dikenali sebagai Sarawak Fortmen yang menjaga kubu-kubu yang didirikan oleh pihak kerajaan di Sarawak.
Pada peringkat awalnya unit keselamatan ini hanya mempunyai 32 anggota.
Kemudian, unit ini dijenamakan semula dengan nama Sarawak Rangers pada 1872.
Unit tentera ini bermula sebagai unit polis tetapi mula dibangunkan oleh Major W. H. Rodway dengan kekuatan 120 orang.
Pada 1870, Sarawak Rangers ini diketuai oleh Major F. A. Walter.
Walter adalah pegawai besara dari tentera berjalan kaki unit 97. Namun, Walter tidak menjalankan tugas dengan baik.
Oleh kerana beliau mempunyai kes kesalahan perdagangan, maka beliau diganti oleh G. H. Bacchus.
Bacchus pula datang dari 7th Dragon Guard.
Dari segi jumlah anggota Sarawak Rangers ini pula bertambah dari tahun ke tahun.
Pada 1897 jumlahnya adalah 371 orang.
Pengambilan anggota
Dari segi pengambilan anggota Sarawak Rangers ini, tidak terhad kepada orang tempatan di Sarawak.
Rangers ini terbuka kepada mana-mana orang termasuk dari luar Sarawak.
Atas sebab itu, maka keahliannya juga dibawa datang dalam kalangan orang India dan Jawa.
Namun, anggota Sarawak Rangers ini lebih banyak datang daripada orang Iban.
Sementara dari segi latihan pula, Sarawak Rangers ini tidak mempunyai satu peraturan latihan yang tetap.
Setiap komandannya akan menggunakan peraturan dan garis panduan tersendiri.
Oleh itu tidak ada keseragaman dalam latihan tersebut, manakala pakaian seragam anggota Sarawak Rangers ini adalah berwarna putih.
Ibu pejabat Sarawak Rangers ini adalah di Kuching.
Beberapa kumpulan kecil Sarawak Rangers akan ditempatkan di beberapa tempat di Sarawak seperti Miri, Limbang, Kapit dan Trusan.
Apabila keadaan Sarawak semakin aman, anggota Sarawak Rangers ini dihantar pulang ke Kuching seperti di Limbang dan Trusan.
Kebiasanya anggota rangers ini dibekalkan dengan senapang snider. Kadang kala mereka diberi juga senapang lebih canggih seperti karbin dan M. L. Guns.
Namun, senapang snider lebih sesuai digunakan di Sarawak ketika itu.
Tugas
Dari segi tugas pula, pasukan ini ditubuhkan untuk menjaga keselamatan dan keamanan di Sarawak.
Mereka ditempatkan di beberapa kubu untuk mempertahankan Sarawak dan juga menjalankan tugas menjamin keselamatan di kawasan yang diawasi oleh mereka.
Mereka juga ditugaskan untuk menyelesaikan masalah kekacauan di Sarawak.
Peristiwa kekacauan di Batang Lupar khususnya Ulu Ai pada 1908 membawa kepada usaha menghantar Sarawak Rangers menangani masalah di kawasan tersebut.
Selain itu mereka juga memantau organisasi yang dianggap menganggu ketenteraman awam seperti Kongsi Gelap.
Dalam hal ini pada 1889, Sarawak Rangers telah bertindak membantu Residen F. O. Maxwell bersama-sama Daubeny dan Kaptain Peck menangkap ahli-ahli kongsi gelap China cabang Ghee Hin Hoey di S’kobang.
Tambahan daripada itu, Sarawak Rangers ini juga ditugaskan dalam menjalankan hukuman bunuh.
Tugas ini pernah dijalankan oleh 20 anggota Sarawak Rangers pada 1889 dibawah pimpinan Major Day.
Peranan Sarawak Rangers ini diperluaskan lagi dengan pelbagai tugas berbentuk istiadat.
Ini kerana Sarawak Rangers juga mempunyai kumpulan muziknya sendiri.
Kewujudan kumpulan ini biasa akan dijemput bagi meraikan tetamu-tetamu kehormat yang datang ke Sarawak.
Pada 1900 misalnya lawatan Laksamana Armada Sir H.Keppel dan pegawai-pegawai H.M.S. Linnet ke
Sarawak telah diserikan dengan persembahan yang dibuat oleh kumpulan muzik Sarawak Rangers.
Sarawak Rangers juga terlibat dalam upacara negeri seperti hari kelahiran raja.
Hal ini diatur rapi oleh pihak rangers seperti berlaku pada 1908.
Kumpulan rangers ini telah mengadakan perarakan dipimpin oleh Komanden Kaptain Stuart Cunynghame.
Kegiatan riadah
Sarawak Rangers ini juga tidak ketinggalan dalam bidang kesukanan terutama bola sepak.
Mereka pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelasi kapal H.M.S. Linnet pada 1900.
Pada 1930 jumlah anggota Sarawak Rangers ini bertambah kepada 539 orang.
Namun, ia berkurangan kepada 464 orang pada 1931.
Pada 1932, Sarawak Rangers telah dibubarkan. Pembubaran unit keselamatan ini membawa kepada penyerapan anggotanya dalam Sarawak Constabulary.
Penerusan khidmat
Apabila Jepun menyerang Sarawak, unit Sarawak Rangers ini telah cuba diwujudkan semula.
Namun, kekuatan tentera Jepun gagal ditangani oleh rangers ini dan akhirnya anggota rangers ini berundur ke pedalaman untuk mengelak serangan tentera Jepun.
Ramai daripada mereka telah kembali kepada kehidupan biasa sebagai penghuni rumah panjang di pedalaman.
Apabila Jepun diambang kekalahan, bekas anggota Sarawak Rangers ini membantu tentera Australia untuk menumbangkan tentera Jepun.
Kerjasama antara bekas anggota Sarawak Rangers ini dengan tentera Australia mendatangkan kejayaan.
Selepas perang, bekas anggota Sarawak Rangers ini kembali ke rumah panjang.
Tamatnya perang tidak menamatkan peranan Sarawak Rangers.
Pihak British telah mengembalikan khidmat mereka untuk membantu memerangi pihak komunis di Tanah Melayu.
- Dr Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.