MUNGKINKAH dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, tiada lagi kempen pilihan raya secara bersemuka di tempat terbuka? Apakah nanti, kempen cuma dilakukan menerusi siaran langsung (live) dalam media sosial?
Perkara ini tidak mustahil akan berlaku terutama di kawasan yang ada liputan internet termasuk di luar bandar dan pedalaman. Mungkin 10 tahun akan datang, liputan internet semakin baik dan menyeluruh.
Bayangkan, dalam kempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung Malaysia sekarang, ceramah yang disiarkan dalam talian seperti Facebook (FB), YouTube dan aplikasi TikTok digunakan secara meluas oleh semua parti yang bertanding.
Ini tidak termasuk individu, ‘TikTokers’ dan pempengaruh atau influencer media sosial yang ada pengikut masing-masing, turut membuat liputan sama ada secara ‘live’ atau tidak.
Malah ada pemimpin parti politik termasuk calon dikatakan sanggup mengupah pekerja untuk buat ‘live’ atau ‘post’ apa sahaja aktiviti kempen bagi menjangkau seramai mungkin pengundi terutama pengundi baharu dan muda yang buat kali pertama mengundi serta lebih gemar mengikuti ceramah dalam talian.
Kebanyakan calon bertanding menunjukkan kreativiti masing-masing dengan memuat naik video yang mengandungi aktiviti kempen mereka kepada pengundi menggunakan platform seperti Facebook, WhatsApp dan TikTok.
Keadaan serupa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, apabila sebilangan calon tidak lagi mencetak risalah manisfesto mereka secara fizikal untuk tatapan masyarakat sebaliknya meletakkan kod ‘QR’ atau kod tindak balas pantas dan poster elektronik untuk dikongsi secara besar-besaran menerusi aplikasi WhatsApps serta Facebook.
Keadaan kini amat jauh berubah berbanding situasi semasa PRU-15 dan PRU-14, meskipun hakikatnya penggunaan media sosial sudah mula digunakan dalam kempen sejak berbelas tahun lalu, tetapi penerimaan orang ramai belum menyeluruh ketika itu, serta menjurus kepada segmen tertentu dalam masyarakat.
Perubahan ketara penggunaan media sosial ialah pada tiga pilihan negeri iaitu di Melaka pada 20 November 2021, Sarawak pada Disember 2021 dan Johor pada 12 Mac 2022, kerana digalak menggunakannya disebabkan Covid-19 sehingga larangan kempen di tempat terbuka.
Sebelum itu diadakan PRN Sabah, pada 26 September 2020.
Contohnya pada PRN Sarawak Disember 2021, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri secara terbuka mengumumkan supaya calon atau parti yang bertanding digalak menggunakan media sosial untuk berkempen, bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara ketika itu.
PN AGRESIF
Pada PRU-14 2018, parti pembangkang ketika itu, Pakatan Harapan (PH) begitu agresif menggunakan media sosial, tetapi keadaan sebaliknya berlaku ketika PRRN di enam negeri sekarang apabila pembangkang, Perikatan Nasional (PN) pula agresif menggunakan media sosial termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Mungkin kerana sukar mendapat liputan di saluran televisyen yang dikawal oleh kerajaan, menyebabkan pihak pembangkang beralih secara agresif menggunakan platform media sosial.
Bila diimbas kembali sejarah pilihan raya umum sebelum ini, saluran televisyen menjadi platform popular digunakan untuk menyalur maklumat tetapi kini, semuanya bagai tenggelam dek kerana media sosial.
Kini sudah zaman TikTok dan belum lagi kehadiran teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dijangka digunakan secara lebih meluas untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Malah, ada pemimpin politik membuat perakuan terbuka bahawa pengunjung ke ceramah PH di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang baru-baru ini yang rendah, bukan disebabkan kurang sokongan terhadap PH sebaliknya orang ramai memilih menonton ceramah itu secara dalam talian.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata ceramah turut disiarkan secara dalam talian dalam media sosial seperti Facebook parti itu.
“Sekarang ni norma baharu, jadi mereka tukar kaedah mendengar ceramah dengan tengok di dalam talian… kita ada Facebook live, mungkin reach di situ (FB) lebih besar daripada fizikal,” katanya.
Malah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mengakui dengan perkembangan teknologi sekarang termasuk penggunaan TikTok, seseorang tidak boleh bercakap sembarangan atau berbohong kerana semua boleh mengikuti ucapan secara ‘online’.
Ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-5 Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching, malam kelmarin, beliau mendedahkan angka penggunaan media sosial.
“Satu kajian dibuat oleh syarikat global, Meltwater menunjukkan seramai 33.03 juta rakyat Malaysia menggunakan Internet. Antara sebab mereka melayari internet untuk mencari maklumat umum (76.2 peratus), mencari bahan berita (65.8 peratus) dan 64.2 peratus untuk berhubung dengan sanak saudara dan kawan-kawan.
“Daripada 33.03 juta itu, pengguna Facebook adalah 20.25 juta. YouTube 23.9 juta, instagram 13.59 juta, Tiktok 19.3 juta dan Twitter 5.5 juta.
SEIMBANG
“Kalau inilah angkanya, bayangkanlah kalau kita mengguna Internet dan juga digital komunikasi. UKAS sudah mula sejak pertubuhannya menggunakan apikasi ini,” katanya.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpendapat penggunaan media sosial parti dalam kerajaan dan pembangkang terutama sempena PRN di enam negeri sekarang, adalah seimbang.
Bagaimanapun, katanya, dari segi kandungan dan pendekatan, ia lebih memihak kepada PN, gabungan disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Gerakan.
Katanya, ia berbeza jika sesebuah parti itu menjadi kerajaan kerana perlu mengeluarkan fakta dan data kepada orang ramai.
“Kadang-kadang mereka terpaksa buat sebuah kandungan yang tak bersesuaian, panjang dan terlampau sarat. Apabila ia terlampau panjang, terlampau sarat, mungkin ini yang diambil peluang oleh pembangkang memanipulasi dan datang dengan idea-idea yang lebih bagus untuk menyerang atau melakukan serangan balas terhadap fakta yang dikeluarkan itu,” katanya.
Sebelum ini, PN banyak menggunakan dan memanfaatkan media sosial dalam kempen politik seperti TikTok, Youtube dan Facebook. Bagaimanapun, selepas Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh PH dan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan, mereka turut memanfaatkan media sosial.
“Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan PH dan BN dalam memanfaatkan media sosial kerana mereka merupakan kerajaan masa kini sedangkan PN adalah pembangkang.
“Dari segi kelebihan, PN hilang taring kekuatan mereka apabila akaun parti Bersatu bukan sahaja dibekukan, malah dirampas. Ini menyebabkan jentera kempen mereka mulai lemah,” kata seorang lagi penganalisis politik.
Namun, semua ini menenggelamkan peranan media tradisional seperti media cetak dan saluran televisyen, sekali gus turun menurunkan perbelanjaan ikan (adex) akhbar yang dahulunya pada 2013, 48 peratus, kini telah turun kepada hanya tujuh peratus.
Sudah tentu ini bukan berita baik kepada industri akhbar cetak yang perlu menggerakkan berita online sebagai platform alternatif untuk meraih pendapatan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.