KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Universiti Curtin Malaysia menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan mengubah MBKS menjadi sebuah bandar mesra usia.
Majlis MoU ini disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian di Ibu Pejabat MBKS, hari ini.
Menurut Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, sudah tiba masanya untuk MBKS melaksanakan usaha murni ini.
“Hal ini kerana kita membayangkan bandar raya Kuching Selatan menjadi contoh Rangka Kerja Bandar Mesra Usia Pertubuhan Kesihatan Sedunia dengan kerjasama Universiti Curtin Malaysia, sebuah institusi pengajian tinggi swasta berprestij yang terkenal dengan kecemerlangannya dalam penyelidikan dan
pendidikan,” katanya pada majlis itu.
Bandar Kuching Selatan adalah rumah kepada 174,625 penduduk, 10.4 peratus daripadanya berumur 65 tahun ke atas pada 2020 dan berada di ambang menjadi masyarakat yang semakin tua.
“Menjangkakan Sarawak akan menjadi masyarakat yang semakin tua menjelang 2028, dua tahun lebih awal daripada purata nasional, kami didorong oleh visi MBKS iaitu mempertingkatkan kehidupan
rakyat Kuching Selatan.
“Misi kami ialah mentransformasikan bandar Kuching Selatan menjadi tempat yang sesuai untuk didiami
melalui pelaksanaan dasar yang berkesan, penyampaian perkhidmatan, dan penglibatan masyarakat,” katanya.
Jelasnya, MBKS beraspirasikan untuk memupuk persekitaran dan komuniti yang memenuhi keperluan warga tua dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua.
“Dengan mengubah bandar Kuching Selatan menjadi pusat bandar
mesra umur, kami berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup
semua penduduknya kerana kesihatan.
“Penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti berkembang maju dalam persekitaran yang
menyemai keyakinan dan keselesaan,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman