KUCHING: Kerajaan Sarawak bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus komited dalam menambahbaik persekitaran perniagaan.
Antara salah satu inisiatif yang giat dijalankan ialah Garis Panduan Pelesenan Malaysia atau MyGP bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpilih.
MyGP yang diterajui oleh MPC menyokong pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di bawah Inisiatif 2.1.6 iaitu membentuk mekanisme yang kukuh dan efektif dalam proses pengeluaran permit dan lesen.
Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Dr Mazlina Shafi’i dalam ucapan aluannya, mengharapkan agar segala garis panduan yang ditambah baik semasa bengkel akan diterbitkan secara dalam talian supaya dapat dijadikan sebagai rujukan pemohon lesen.
“Saya turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang diberikan dan berharap usaha penambahbaikan persekitaran perniagaan dapat diteruskan secara konsisten,” katanya.
Bengkel penambahbaikan garis panduan pelesenan perniagaan telah diadakan pada 1 dan 2 Ogos ini bersama pegawai-pegawai PBT daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Majlis Daerah Lundu (MDL).
Turut hadir dalam bengkel adalah pegawai-pegawai daripada Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPLG) dan Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) yang merupakan rakan strategik MPC dalam program-program berkaitan penambahbaikan peraturan.
Bengkel tersebut merupakan bengkel susulan kepada bengkel pemetaan pelesenan perniagaan yang telah diadakan pada 25 Mei.
Objektif bengkel tersebut adalah untuk membangunkan inventori pelesenan perniagaan yang dikawal selia oleh PBT Sarawak dan meningkatkan ketelusan peraturan perniagaan PBT Sarawak.
Selain itu, ia juga bertindak sebagai pembangunan kapasiti kepada pegawai PBT supaya lebih banyak garis panduan pelesenan perniagaan yang berkualiti dapat dihasilkan pada masa akan datang.