Oleh: Abang Median Abang Said
SEJAK kebelakangan ini, pendekatan sejarah sangat dominan dan dianggap antara cabang penting dalam kritikan sastera tatkala berdepan dengan karya-karya beraliran romantisisme dan realisme. Aspek sejarah menjadi latar yang mendukung sebuah teks untuk menjadikan elemen yang tumbuh dan mekar dalam karya berkenaan. Menurut Charles E. Bressler (1999), cerita yang memapar tentang sejarah hendaklah merupakan sesuatu yang tepat dan memberikan gambaran sebenar.
Cuma menerusi cerpen “Pak Su (Pejuang yang Tidak Didendang)” karya Abang Zainoren Jes, biarpun latar cerpen berkenaan memaparkan tentang sejarah penting yang berlaku di Sarawak sehingga membangkitkan semangat patriotisme, fokus pengarang tidak kepada wira yang sudah diketahui oleh masyarakat, iaitu Rosli Dhobi. Pengarang melihat kepada watak lain yang juga perlu diketahui oleh masyarakat umum kerana pengorbanan dan perjuangannya juga sangat bernilai terutama kepada generasi kini. Itulah watak Pak Su yang menjadi watak utama yang menggerakkan cerpen ini daripada awal hinggalah ke peleraiannya.
Pengarang dalam cerpen ini bukan hanya bercerita tetapi juga menjadi perakam latar yang menulis semula tentang sejarah yang mengaitkannya dengan realiti yang berkait rapat dengan aspek masa, peristiwa, kepentingan sejarah kepada manusia, tokoh-tokoh dan sumbangannya. Perkara itulah yang cuba dirungkaikan apabila meneliti cerpen ini selain dinilai juga tentang aspek strukturalnya.
Menerusi cerpen “Pak Su (Pejuang yang Tidak Didendang)”, pengarang memaparkan tentang watak Pak Su yang mengimbau kembali sejarah perjuangannya menentang Inggeris bersama-sama rakan yang lain sehingga tragedi pembunuhan Gabenor Duncan Steward di Sibu pada tahun 1947. Peristiwa tersebut sentiasa bermain-main di bibir Pak Su. Peristiwa bersejarah itulah yang menjadi asas dan landasan dalam penghasilan cerpen ini. Kematian dan pembunuhan Duncan Steward dikaitkan dengan semangat dan nilai persahabatan dalam kalangan watak dalam cerpen berkenaan. Pengarang juga cuba mengaitkan tentang mentaliti generasi muda dengan melontarkan kritikan sosial tatkala membuang waktu dan leka dengan hiburan sehingga mengabaikan semangat juang untuk kehidupan sendiri. Perkara ini tentunya sangat berbeza dengan perjuangan Rosli Dhobi, termasuk watak Pak Su sendiri yang berjuang pada usia mereka yang masih belasan tahun lagi. Nilai dan pengajaran ini sangat dititikberatkan oleh pengarang yang menjadi warna teras yang melatari rentetan peristiwa dalam cerpen ini.
Pak Su merupakan seorang anak seni yang pernah mengarah beberapa siri bangsawan seperti Bangsawan Dandan Setia. Pengarang cuba mengaitkan tentang nilai seni dan budaya yang menjadi keutamaan kepada masyarakat dahulu. Tentunya sebagai pembaca, kita akan mengaitkan dengan jiwa seni yang turut dimiliki oleh watak Rosli Dhobi yang telah menulis sajak menggunakan nama samaran Lidros bertajuk Panggilan Mu yang Suchi. Karya ini diterbitkan di Utusan Sarawak pada 28 Februari 1948. Penggunaan nama samaran adalah untuk mengaburi pihak berkuasa kolonial British yang memantau gerakan nasionalis. Rosli Dhobi menyertai Rukun 13 pada Ogos 1948. Menerusi cerpen ini, Pak Su juga merupakan seorang tukang kayu; namun pengarang tidak menjadikan kerja sebagai tukang kayu itu sebagai simbol tentang pembinaan negara bangsa. Tentunya penggunaan simbol itu akan menjadi lebih menarik untuk dimasukkan sebagai falsafah perjuangan Pak Su.
Antara peristiwa bersejarah lain yang dimasukkan oleh pengarang untuk mengembangkan watak Pak Su sebagai pejuang yang tidak didendang ialah dari aspek perjuangan Pak Su melalui Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPM ) dan juga kumpulan Rukun 13. Dalam cerpen ini dimasukkan fakta sejarah tentang PPM yang telah diharamkan pada tahun 1950 oleh kerajaan British. Pak Su yang bergiat aktif dalam pertubuhan tersebut telah memperjuangkan penyatuan Melayu Sibu untuk membawa Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka. Pertubuhan itu berpusat di sebuah rumah kepunyaan datuk ‘aku’ (pencerita dalam cerpen ini) yang terletak di simpang empat Kampung Datu. Watak ‘aku’ merupakan anak saudara kepada Pak Su. Watak inilah yang menjadi ‘mata’ atau ‘perakam’ kepada perjuangan Pak Su yang disampaikan kepadanya melalui penceritaan daripada bapa saudaranya itu. Perkara ini dijelaskan secara langsung oleh pengarang dalam cerpen ini :
Apa yang paling aku ingat ialah ketika usiaku dalam linkungan 16 atau 17 tahun, Pak Su ku sering bercerita akan kisah perjuangannya ketika kami duduk bersantai di rumah selepas menikmati makan tengahari atau malam. Sebaik sahaja selesai sahaja solat Isya’ pada sebelah malamnya, kami akan terus duduk bersantai dengan Pak Su sambil mendongak muka Pak Su yang tengah menyedut asap rokoknya dalam-dalam dan menghembuskannya keluar berkepul-kepul pula. Maka akan bermulalah episod penceritaannya tentang perjuangannya yang tidak pernah padam dari memori ingatannya waktu itu.
Antara persoalan dan kritikan yang cuba dilontarkan oleh pengarang melalui watak Pak Su dalam cerpen berkenaan ialah tentang kewajaran Rosli Dhobi menerima hukuman gantung sedangkan pada waktu itu, beliau masih lagi berusia belasan tahun. Watak Pak Su dalam cerpen berkenaan juga meragui cara kematian Duncan Steward sama ada dibunuh dengan badik milik Rosli Dhobi atau gabenor tersebut terbunuh oleh pisau bedah ketika berada di sebuah hospital di Singapura. Pihak British meletakkan semua kesalahan tersebut kepada Rosli Dhobi.
Jonathan Morse dalam artikelnya berjudul History in the Text menganggap bahawa teks itu sendiri ialah sejarah yang tidak hanya sebagai dokumen tentang proses sosialisasi tetapi sebagai satu bahasa yang telah mencipta sejarahnya yang tersendiri. Maknanya, cerpen “Pak Su (Pejuang yang Tidak Didendang)” telah menjadi sebahagian daripada sejarah tersebut tatkala meletakkan watak Pak Su sebagai protagonis yang perlu dikenang juga jasa-jasanya. Dalam cerpen tersebut diceritakan tentang watak Rosli Dhobi telah bertandang ke rumah Pak Su untuk meminjam baju dan badik. Adakah pembunuhan itu tidak akan berlaku jikalau Pak Su tidak meminjamkan badik tersebut? Tentu sejarah tentang pembunuhan Duncan Steward akan bertukar jikalau perkara tersebut berlaku. Di sini menunjukkan betapa besarnya peranan Pak Su dalam sejarah tersebut di samping penglibatannya dalam Rukun 13 yang telah dibentuk secara sulit bersama-sama beberapa orang anggota PPM yang turut menubuhkan kumpulan Gagak Hitam. Gerakan yang dibuat secara senyap ini turut menyokong gerakan Rukun 13 yakni kumpulan yang tidak dapat beroperasi secara terang-terangan berikutan kekangan yang sering dihadapi dalam menentukan hala tuju perjuangan PPM pada ketika itu.
Ada sedikit kelemahan pada pemilihan sudut pandang pada bahagian-bahagian tertentu dalam cerpen ini. Watak Pak Su merupakan individu yang diceritakan oleh watak ‘aku’ (anak saudara Pak Su). Namun dalam situasi tatkala Rosli Dhobi meminjam badik daripada Pak Su, watak ‘aku’ itu merujuk kepada Pak Su. Kecelaruan dan campur aduk dalam pemilihan sudut pandang ini telah menjejaskan serba sedikit cerpen ini.
Biarpun watak Pak Su merupakan pejuang yang tidak didendang, tetapi cerpen ini tidak dapat pula dikategorikan sebagai Historisisme Baru yang bergerak dan bernafas dalam gelombang pascamoden yang mewarnai dunia baharu dengan segala ketidaktentuan (skeptikalisme). Cerita Pak Su masih berdiri atas landasan sejarah, cuma watak Pak Su tidak ditulis oleh pencatat sejarah sehingga tidak dikenali oleh masyarakat. Pengarang cuba kembali kepada sejarah (bukan untuk mencari kebenaran sejarah) tetapi lebih menekankan tentang nilai termasuk pengiktirafan atas perjuangan yang tidak diketahui umum. Namun perkara ini masih tetap selari dengan pandangan Montrose bahawa sejarah ialah satu rekonstruksi tekstual tentang masa lalu, maka secara materialnya tidak mempunyai apa-apa autoriti.
Pengarang dalam cerpen ini sengaja memasukkan elemen sejarah sebagai tatapan pembaca. Biarpun memaparkan tentang sejarah, namun watak-watak dalam teks sejarah itu tetap hidup tatkala dimasukkan tentang elemen kejiwaan. Watak-watak Rosli Dhobi bukan hanya sebagai tempelan tetapi bergerak selari dengan watak Pak Su yang menjadi fokus utama dalam persoalan yang dilontarkan. Pengarang ternyata berjaya memainkan peranannya sebagai pencerita – bukan hanya melapor kejadian sejarah. Dalam cerpen ini, Pak Su sebenarnya maklum tentang perancangan sahabatnya, Rosli, tetapi dia berpura-pura tidak mengetahuinya.
Sebagai salah seorang anggota Rukun 13, Pak Su masih ingat bahawa ahli mesyuarat telah menetapkan Nor Tahir untuk menjalankan tugas untuk membunuh Duncan Steward ketika lawatannya ke Sibu. Namun perancangan itu berubah. Rosli Dhobi yang turut mendengar perbincangan anggota Rukun 13 telah menawarkan diri. Terdapat penentangan terhadap hasrat Rosli Dhobi itu kerana usianya pada masa itu masih terlalu muda.
Antara keistimewaan yang dimiliki oleh pengarang ialah keupayaannya menjadi pencerita yang baik. Kisah sejarah yang dipilih bergerak lancar dalam gerakan plot cerpen berkenaan. Hal ini termasuklah peristiwa pada tahun 1963 tatkala Pak Su telah dibawa ke balai polis sehingga ketiga-tiga adik beradik emak cuba menghalang tindakan tersebut. Pengarang berjaya menimbulkan suasana cemas yang hidup dalam pemikiran pembaca.
Menurut Foucault, sejarah tidak mendatar sifatnya. Oleh itu tiada permulaan, pertengahan dan pengakhiran yang pasti baginya. Manusia berbicara tentang dunia mereka sendiri dan interaksi yang berlaku ini ditentukan oleh asas-asas dan corak masyarakat yang terjalin utuh di dalamnya. Foucault menyebut hal ini sebagai episteme. Pengkarya yang berkarya bukan sahaja dilingkungi oleh epistemenya, malah turut dipengaruhi dan dibentuk oleh epistemenya sendiri. Dalam cerpen ini, Pak Su telah disiasat untuk mengenal pasti tentang keterlibatannya dengan gerakan yang boleh menghalang kewujudan negara Malaysia. Pada tahun 1961, Pak Su antara wakil yang dipilih untuk mewakili Sarawak dalam acara pertemuan dengan Tunku Abd. Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu di Kuala Lumpur selepas kunjungan Tunku Abd. Rahman ke Sarawak sebelum itu.
Aspek sejarah lain yang dimasukkan oleh pengarang dalam cerpen ini yang menjadi elemen penting dalam pembinaan plot cerpen berkenaan ialah peranan Pak Su dan rakan-rakannya yang dipilih mewakili Sarawak ketika mengemukakan memorandum menyokong gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku. Perjuangan yang dilakukan oleh watak utama cerpen ini begitu besar untuk disatukan dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka walaupun Brunei menolak gagasan tersebut.
Dalam pembacaan ini, beberapa aspek penting perlu diberi pertimbangan, iaitu peniruan (simulacra) semula atau fotokopi sejarah silam, nostalgia, dan idealistik. Ketiga-tiga aspek ini menurut Mana Sikana (2000) merupakan fokus pembacaan yang penting terhadap sesuatu teks. Menerusi karya ini, pengarang telah menonjolkan hero baharu yang tidak didendang kerana peranannya dibayangi oleh Rosli Dhobi, Awang Ramli Amit, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek yang akhirnya mati di tali gantung. Daripada watak seperti Pak Su jugalah sejarah dan jalan peristiwa tersebut dapat dirincikan seperti detik-detik pembunuhan Duncan Steward apabila ada dalam kalangan mereka yang berpura-pura mengambil gambar lawatan gabenor, ada yang mengambil kesempatan bersalam untuk memastikan perancangan mereka berjaya. Cerpen ini diakhiri dengan kematian Pak Su pada tahun 2019 akibat sakit tua.
Disebabkan watak Pak Su bukan merupakan tokoh ternama tatkala perjuangan dan pengorbanannya tidak diketahui oleh khalayak, maka cerpen ini kurang relevan jikalau dinilai dari aspek biografinya. Umumnya, biografi menampilkan tokoh-tokoh terkenal, orang yang berjaya atau orang yang berperanan besar dalam suatu hal yang menyangkuti kehidupan orang lain. Cuma saya lebih suka memperkatakan cerpen karya Abang Zainoren Jes ini dari aspek sejarah kerana sebahagian besar cerpen ini memaparkan tentang sejarah.
Dari aspek penulisan cerpen yang mementingkan kekreatifan pengarang, cerpen ini tidak mengecewakan. Pengarang dapat memasukkan elemen perasaan pada watak dan pembaca juga ingin mengetahui rentetan peristiwa yang ditulis. Pembaca ingin mengetahui tentang peranan Pak Su dalam tragedi yang mengejutkan bukan hanya penduduk tempatan malahan mencalar ego pihak Inggeris tatkala gabenor mereka dibunuh oleh seorang remaja.
Binaan plot dan gaya penceritaan pengarang juga diolah dengan lancar. Cerita Pak Su pada masa dahulu dengan situasi yang dialaminya pada masa sekarang seolah-olah teradun dengan sangat baik. Cuma peranan ‘aku’ sebagai pencerita menjadikan karya ini tidak menampilkan sebarang pembaharuan tatkala mengekalkan gaya konvensional.
Cuma terdapat beberapa kesilapan tatabahasa yang perlu diambil perhatian oleh pengarang untuk meletakkan karya menjadi lebih berkualiti. Antara kesilapan yang dikesan dalam cerpen berkenaan :
- “Pak Su ku seorang, anak seni yang pernah mengarah beberapa siri bangsawan”.
‘Ku’ yang merupakan sinkof tidak boleh berdiri sendiri dan perlu bergabung sama ada dengan perkataan sebelum atau selepasnya. Jikalau pengarangan menulis ‘Pak Suku’ tentu pembaca akan beranggapan bahawa itu merujuk kepada nama iaitu ‘Suku’. Jadi dicadangkan pengarang menulisnya begini: Pak Su aku seorang anak seni yang pernah mengarah beberapa siri bangsawan.
- “trajidi”
Ejaan yang sebetulnya ialah “tragedi”.
- Kesilapan penggunaan imbuhan bagi perkataan “memperolehi” yang sepatutnya ditulis “memperoleh”.
- Kesilapan tanda bacaan apabila pengarang meletakkan dua tanda baca sekali gus. Contohnya: “Turut tinggal bersama kami ialah emak saudara ku bersama empat orang anaknya.,”
Sepatutnya hanya diletakkan tanda noktah (.) atau koma (,) berdasarkan kesesuaian ayat.
- Kesilapan kata ganda yang tidak diletakkan tanda sempang. Contohnya : “tulang temulang”.
Biarpun kesalahan-kesalahan itu nampak kecil tetapi tetap memberi impak yang cukup besar kepada pembaca dan kebakuan bahasa itu sendiri. Sebagai pengarang yang baik, kesilapan-kesilapan tatabahasa ini perlu diminimumkan atau langsung tidak mempunyai sebarang kesalahan.
Secara keseluruhannya, cerpen “Pak Su (Pejuang yang Tidak Didendang)” merupakan sebuah cerpen yang baik. Tahniah diucapkan. Mungkin pada masa akan datang pengarang boleh melihat aspek Historisime Baru yang akan menggagaskan rekonstruksi sejarah dan menawarkan idea tentang konsep sejarah terkini (present history). Dalam konteks pemahaman makna sejarah terkini, konsep baru berkenaan “Rosli Dhobi” boleh diolah semula oleh pengarang.
Teruskan berkarya.