SALAH satu perkembangan teknologi yang membawa satu fenomena global pada dunia sehingga ke hari ini ialah penciptaan televisyen. Idea mengenai penciptaan televisyen telah berlegar seawal abad ke-19.
Menjelang abad ke-20 idea tentang satu sistem yang dapat menangkap pergerakan manusia dalam gambar mula berkembang dengan pelbagai penyelidikan oleh orang perseorangan.
Pada 1928, John Baird berjaya mencipta sebuah peti gambar yang dapat siarkan ke New York dari London.
Selepas itu muncul anak muda bernama Philo Farnsworth yang membaiki sistem peti gambar itu dengan teknologi yang lebih canggih.
Fenomena baharu dunia ini mula mempengaruhi kepenggunaan dalam bidang penyiaran dengan Amerika Syarikat mendahului negara lain dalam pengenalan penyiaran televisyen pada 1940-an.
Pengenalan Awal
Fenomena televisyen ini pula agak lambat mempengaruhi kepenggunaan di Sarawak, tetapi hal ini berbeza di Semenanjung Malaysia.
Pada 28 Disember 1969 siaran televisyen pertama diperkenalkan di Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai Rangkaian Pertama.
Usaha membangunkan sistem penyiaran ini dibantu oleh pakar-pakar dari Kanada. Selepas itu saluran kedua atau Rangkaian Kedua diperkenalkan pada 17 November 1969.
Bila pula fenomena televisyen ini bermula di Sarawak? Penggunaan televisyen sebagai alat penyebaran maklumat dan hiburan di Sarawak bermula pada Ogos 1975.
Pengenalan kepada televisyen di Sarawak adalah antara pembangunan yang rancang dalam Rancangan Malaysia Kedua.
Menerusi rancangan itu beberapa persedian telah dibuat untuk menjayakan rancangan pengenalan televisyen di Sarawak.
Sebanyak RM9.3 juta telah diperuntukkan untuk menjayakan rancangan ini.
Pengenalan siaran televisyen di Sarawak ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-12 kemerdekaan Sarawak kerana ia dilancarkan pada ambang sambutan Hari Merdeka pada 1975.
Pelancarannya telah dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein.
Pengenalan siaran televisyen di Sarawak ini memberi satu perkembangan baharu walaupun Sarawak tidak mempunyai studio televisyennya sendiri ketika itu.
Oleh itu, usaha digerakkan untuk menerbit kandungan tempatan Sarawak sendiri dan kandungan ini telah dihantar ke Sabah untuk diproses.
Rancangan kandungan tempatan yang diterbitkan itu lebih kepada hiburan dan makluman pembangunan Sarawak.
Selain kandungan berita dan hiburan serta maklumat tentang usaha pembangunan, televisyen juga digunakan untuk menyiar rancangan pendididkan di Sarawak.
Penggunaan televisyen dalam usaha pendidikan ini bermula pada 1976.
Rancangan ini adalah dibawah tajaan Bank Dunia.
Pemintaan Tinggi
Kesan daripada pengenalan siaran televisyen di Sarawak membawa kepada peningkatan pembelian set televisyen.
Sehingga awal Oktober 1975, pemintaan dan penjualan set televisyen meningkat kepada lebih 2,000 set.
Apa yang peliknya ketika itu ialah penjualan televisyen berwarna mendapat sambutan yang baik, sedangkan ketika itu siaran televisyen adalah hitam putih.
Penjualan set hitam putih pula dilihat merosot.
Ketika itu set televisyen bersaiz besar dan mempunyai empat kaki.
Menariknya juga skrin televisyen boleh ditutup dan dikuncikan.
Set televisyen ini juga merupakan barangan mewah bagi penduduk Sarawak ketika itu.
Oleh itu ramai yang akan berkunjung ke rumah yang mempunyai set televisyen ini untuk menonton filem atau rancangan hiburan.
Pada peringkat awal siaran televisyen di Sarawak bermula jam 8.30 malam.
Ketika itu hanya rangkaian televisyen pertama sahaja diperkenalkan di Sarawak.
Jam siaran televisyen di Sarawak juga mula berubah mengikut masa, dan ia mula diawalkan lagi kepada 6.00 petang.
Biasanya, siaran televisyen ini bermula dengan siaran lagu negaraku dan diikuti dengan bacaan ayat suci al-Quran sebelum memulakan rancangan lain.
Televisyen Berwarna
Sarawak termasuk seluruh negeri di Malaysia mula mengalami perkembangan baharu dalam dunia televisyen apabila pada 1978 Perdana Menteri ketika itu, Datuk Hussien Onn (Tun) melancarkan televisyen berwarna di Kuala Lumpur.
Pelancaran yang dibuat di Auditorioum Radio Television Malaysia (RTM) itu memberi satu perkembangan baharu di Sarawak dan seluruh Malaysia dengan menonton program televisyen yang berwarna.
Pada 1980-an dan 1990-an perkembangan siaran televisyen mula memasuki era baharu apabila pihak swasta melibatkan diri dalam industri tersebut dengan pengenalan TV3 dan Metro Vision.
Selepas itu, Astro memulakan rancangan mereka sendiri dan berjaya menguasai sebahagian besar siaran televisyen Malaysia sehingga ke hari ini.
TV Sarawak
Bagi Sarawak termasuk Sabah, usaha untuk menghasil rancangan tempatan bagi kedua-dua negeri ini juga mendapat perhatian kerajaan.
Banyak juga siaran mengenai kedua-dua negeri ini dibuat dan disiarkan oleh dua rangkaian milik RTM, iaitu TV1 dan TV2.
RTM terus berusaha memantapkan siaran tempatan Sarawak dan Sabah dengan pengenalan TV Okey.
Siaran TV Okey yang diperkenalkan ini telah dilancarkan pada 21 Mac 2018.
Namun demikian kerajaan Sarawak mempunyai alternatif lain untuk memperkasakan siaran mengenai Sarawak apabila melancarkan siaran televisyen mereka sendiri.
Atas inisiatif kerajaan negeri pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, maka TVS dihasilkan.
Pelancaran TVS ini dilakukan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Rancangan-rancangan yang dibuatkan oleh TVS ini mengandungi pelbagai kandungan mengenai Sarawak dari drama, filem, berita dan hiburan.
Kewujudan TVS ini menunjukkan Sarawak maju selangkah lagi dalam bidang telekomunikasi.
Kemajuan yang dikecapi oleh Sarawak dalam dunia penyiaran ini menunjukkan hasrat dan komitmen tinggi pemimpin dan penduduk Sarawak untuk menjadi sebuah negara maju.
Masa-masa mendatang nanti akan menyaksikan lebih banyak lagi kemajuan yang akan dicapai di Sarawak dalam bidang ini.
- Dr Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.