PUTRAJAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) ternyata kecewa dengan prestasi keseluruhan skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun, baru-baru ini.
Namun Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin berkata kekecewaan itu sedikit terubat dengan pencapaian membanggakan penerjun muda Bertrand Rhodict Lises, yang muncul atlet pertama negara layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
“Walaupun agak kecewa, namun harus diingat kita dapat permata baharu yang mana Bertrand berjaya buktikan selepas raih pingat (perak) di Sukan SEA 2023, sekarang layak ke Sukan Olimpik pula.
“Itu satu pencapaian bagus untuk atlet berusia 18 tahun yang baharu sahaja habis mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)…generasi baharu inilah yang perlu kita beri tumpuan untuk ke Sukan Asia 2026 dan seterusnya Sukan Olimpik 2028,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Jumaat lepas, Bertrand menamatkan saingan separuh akhir acara 10 meter (m) platform lelaki dengan 420.70 mata, untuk berada pada kedudukan ke-10 daripada 18 peserta dan mara ke final selaku 12 penerjun terbaik, sekali gus mengesahkan slot ke Paris 2024.
Jefri juga mengakui, beliau agak terkejut dengan prestasi atlet kelahiran Sarawak itu apatah lagi berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 penerjun terbaik, di separuh akhir dan final.
Bagi meningkatkan kembali prestasi skuad terjun negara, MSN dan Persekutuan Renang Malaysia (MS) bersetuju untuk melantik pengarah teknikal, pengurus prestasi tinggi dan ketua jurulatih dalam masa terdekat.
Jefri berkata, mereka telah mempunyai beberapa calon termasuk dari luar negara, bagi mengisi jawatan tersebut.
“Pengarah teknikal akan meneliti kesemua program dari atas ke bawah, pengurus prestasi tinggi pula lebih kepada pembangunan, manakala ketua jurulatih berperanan melatih skuad elit,” katanya sambil menambah, MS turut bersetuju melantik pengarah teknikal bagi kem renang negara.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat MS Andy Low memberitahu Bernama bahawa mereka akan mengadakan post mortem seawalnya pada Khamis (27 Julai) bagi mengenal pasti isu yang menyebabkan prestasi atlet terjun yang mengecewakan di Fukuoka.
Bagaimanapun, Andy percaya penerjun negara akan kembali kepada prestasi terbaik mereka dan menduduki podium di Sukan Asia di Hangzhou, China dari 23 September ke 8 Oktober.
“Mereka akan kembali lebih baik, itu sudah tentunya. Kami juga akan dapatkan maklumat mengenai apa yang mereka perlukan untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya. – Bernama