SALAH satu keistimewaan bulan ini adalah tarikh 22 Julai 1963 yang mempunyai makna besar dalam perjalanan sejarah Sarawak.
Namun, ia bukan tarikh merdeka tetapi tarikh yang mana anak Sarawak diberi kuasa memerintah.
Sebelum ini, sejarah Sarawak banyak diwarnakan dengan era penjajahan daripada Pemerintahan Brooke sehingga Sarawak menjadi tanah jajahan British.
Sarawak ketika era penjajahan digambarkan tidak mampu berdiri sendiri terpaksa dibimbing oleh orang asing semasa era Brooke.
Pendudukan Jepun pula membawa cerita duka dan susah payah penduduk Sarawak.
Era ini berlaku kekurangan makanan dan keperluan asas, buruh paksa dan masalah zat makanan serta ketakutan akibat daripada pengawasan tentera Jepun.
Era selepas perang pula, penduduk Sarawak dipandu kuasa koloni British yang cuba membangunkan penduduk Sarawak.
Namun usaha British dalam pembangunan Sarawak belum memadai untuk memajukan penduduk Sarawak.
Kadar buta huruf yang masih tinggi, kemudahan pendidikan masih lagi belum sempurna, jalan darat masih lagi pada tahap mundur, pembangunan ekonomi masih lagi terhad dan kemudahan kesihatan hanya tertumpu di bandar serta peluang pekerja sektor rendah menghiasi zaman pentadbiran British.
Perjuangan Kemerdekaan
Berikutan masalah ini, timbulnya jurang pembangunan jelas antara kaum dan kawasan bandar dan luar bandar.
Justeru, usaha dilakukan oleh anak Sarawak untuk membangunkan Sarawak dengan cara menuntut kemerdekaan.
Walaupun tuntutan kemerdekaan bukan seperti negara lain, tetapi pemimpin Sarawak mahu kemerdekaan cara aman.
Cadangan kemerdekaan Sarawak menerusi pembentukan Malaysia yang diutarakan oleh Tuanku Abdul Rahman pada Mei 1961 menjadi asas penting untuk Sarawak mencapai kemerdekaan.
Hal inilah membawa kepada kemunculan tarikh 22 Julai 1963 apabila anak Sarawak diberi kepercayaan pertama kali sebagai peneraju negeri mereka sendiri tetapi kedaulatan masih dipegang oleh British.
Babak kemerdekaan ini menunjukkan pepaduan rakyat Sarawak untuk menjayakan usaha mengembalikan kedaulatan mereka.
Oleh itu, tanpa mengira garis kaum dan agama, 22 Julai 1963 memaparkan kerjasama kaum iaitu era untuk merdeka.
Kabinet awal Sarawak dibawah Stephen Kalong Ningkan (Tan Sri) berjaya mengatasi usaha-usaha menghalang kemerdekaan dari luar dan dalam.
Isu keselamatan
Salah satu rintangan dalam usaha kemerdekaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia ialah timbulnya isu keselamatan.
Isu ini bermula dengan pemberontakan di utara Sarawak pada penghujung 1962, diikuti dengan konfrantasi Indonesia ke atas Malaysia.
Era tersebut menyaksikan bagaimana penduduk di sempadan Sarawak mengalami ketakutan akibat pencerobohan tentera luar ke Sarawak.
Era ini berterusan sehingga pembentukan Malaysia.
Ini merupakan ujian besar bagi penduduk Sarawak untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan mereka.
Tamatnya konfrantasi pada 1966 belum lagi membawa keamanan di Sarawak. Masalah keselamatan ini berterusan dengan ancaman Komunis di Sarawak.
Pelbagai operasi ketenteraan dilakukan oleh pihak kerajaan untuk membenteras masalah Komunis ini.
Daripada kepemimpinan awal Sarawak selepas merdeka sehingga kepada Abdul Rahman Ya’akub (Tun) Sarawak secara beransur-ansur berjaya mengatasi masalah Komunis ini.
Operasi Hammer yang digerakan pada 1965 dapat mengurangkan kegiatan Komunis di Bahagian Pertama (kini Bahagian Kuching).
Penubuhan Markas Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) pada 1972 menyekat pergerakan Komunis di Bahagian Ketiga (kini Sibu), manakala Operasi Sri Aman membawa kepada penyerahan seramai 482 anggota Komunis yang membantut pergerakan Komunis di Bahagian Kedua.
Hasil usaha ini akhirnya menamatkan kegiatan Komunis di Sarawak pada 17 Oktober 1990 dengan Perjanjian Damai antara kerajaan dengan pihak Komunis.
Pengisian Kemerdekaan
Satu lagi lambaran baharu hasil daripada 22 Julai ini ialah usaha pengisian kemerdekaan.
Pengisian kemerdekaan ini bermula dengan usaha pemantapan kakitangan negeri Sarawak dengan melantik anak Sarawak sebagai kakitangan Kerajaan Negeri.
Ini kerana selepas merdeka Sarawak masih lagi mempunyai pegawai dagang British yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam kerajaan negeri Sarawak.
Oleh itu, Stephen Kalong Ningkan dan seterusnya Tawi Sli telah berusaha mewujudkan proses Borneonisasi dalam perkhidmatan awam negeri Sarawak.
Pada Mei 1965 buat pertama kalinya anak Sarawak menjawat beberapa jawatan penting dalam kerajaan.
Antara mereka adalah Gerunsin Lembat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha, Yao Ping Hua sebagai Residen pertama, Peter Tinggom sebagai Residen Kedua dan Arni Lampan sebagai Residen Kelima.
Dalam usaha memperkasakan kemerdekaan Sarawak terutama menjelang 1970-an, Sarawak mula menampakkan kemajuan dalam pelbagai pembangunan infrastruktur walaupun masalah keselamatan masih menjadi isu utama.
Di bawah kepemimpinan Abdul Rahman Ya’akub, beberapa pembangunan infrastruktur dan penubuhan agensi pembangunan dibuat seperti pembinaan jambatan Abdul Rahman Ya’akub yang membawa kepada pembukaan Petra Jaya sebagai bandar baharu, penubuhan Yayasan Sarawak untuk memacu pendidikan anak Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) pula merangsang pembangunan ekonomi Sarawak.
Ketua Menteri Sarawak keempat iaitu Abdul Taib Mahmud (Tun) pula membawa agenda politik pembangunan.
Dalam falsafah ini, beliau menekankan lebih banyak pembangunan daripada politik. Kesannya Keluaran Dalam Negara Kasar Sarawak meningkat daripada tahun ke tahun.
Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) muncul pada 2008 yang memberi peluang besar dalam pembangunan bahagian tengah Sarawak.
Seterusnya pada 2009, muncul Hab Halal Tanjung Manis yang memberi pelaburan besar di Sarawak.
Pembangunan Sarawak diteruskan pula oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang menekankan pembangunan menyeluruh di Sarawak.
Beliau mahu kemudahan asas di Sarawak diperkasakan khususnya di kawasan luar bandar. Pada masa sama, beliau mahukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperkukuhkan dalam usaha meningkat pembangunan Sarawak.
Kecekalan beliau dalam hal ini membawa kepada pembangunan Lebuhraya Pan Borneo yang menjadi lebuhraya menghubungi hampir semua bandar dan pekan di Sarawak.
Usaha mempertahankan dan menuntut hak Sarawak dalam PM63 diteruskan oleh Premier Sarawak hari ini iaitu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau dan pemimpin Sarawak lain berjaya mempertahankan hak ini dan juga berjaya dalam mendapat hak dalam hasil minyak Sarawak.
Dunia digital
Satu lagi lembaran baharu mula melakar dalam sejarah Sarawak ialah pembangunan digital. Usaha ini merupakan idea Abang Johari.
Idea beliau ini membawa kepada kemunculan dunia digital dalam perniagaan Sarawak dengan pengenalan Sarawak Pay.
Era ini juga munculnya usaha memperkasakan pengangkutan awam Sarawak dengan bas hidrogen dan yang terbaharu adalah Transit Aliran Autonomi (ART).
Usaha ini adalah dasar pemodenan Sarawak seiring dengan kemajuan dunia hari ini.
Melihat naratif ringkas ini menunjukkan bahawa tarikh 22 Julai 1963 melakar sejarah baharu di Sarawak. Sejarah ini menunjukkan anak Sarawak berjuang dalam membangunkan negeri mereka dengan cabaran mendatang sehingga menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi pada hari ini.
Oleh itu diharap ada usaha menulis sejarah sejak tarikh tersebut dengan tajaan daripada pihak kerajaan negeri bagi memaparkan usaha-usaha anak Sarawak dalam membangunkan Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.