GERAKAN anti-penyerahan berterusan walaupun mendapat tekanan kuat daripada pihak kerajaan British yang memerintah Sarawak. Gabenor pertama Sarawak, Charles Arden-Clarke dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, C. W. Dawson berusaha untuk menamatkan penentangan ini.
Mereka disokong pula oleh Gabenor General, Malcomn McDonald yang mula meremehkan pergerakan ini dan mula memainkan isu perkauman.
Tekanan yang diberi oleh pihak British terhadap pihak yang menentang penyerahan, tidak melunturkan semangat pergerakan anti-penyerahan.
Mereka meneruskan perjuangan dengan pelbagai cara yang bersifat keamanan dan berpelembagaan.
DEMONTRASI
Demontrasi merupakan satu langkah yang mereka ambil dan dilakukan semasa pelantikan Gabenor pertama Sarawak, Charles Arden-Clarke.
Tindakan mengadakan demontrasi ini menimbulkan rasa kurang senang Charles Arden-Clarke.
Beliau juga menerima surat tidak mengalu-alukannya sebagai Gabenor Sarawak daripada Persatuan Melayu Sarawak (PMS).
Sebaliknya PMS mengadakan demontrasi sokongan kuat kepada Anthony Brooke pada hari kelahiran beliau pada 10 Disember 1947.
Dalam demontrasi menyokong Anthony Brooke ini beratus-ratus poster dan sepanduk telah dinaikkan dengan kata-kata seperti “Kami Mahu Larangan Anthony Brooke Ke Sarawak di tarik balik”, “Meminta Raja England Membatalkan Penyerahan” dan “Kami Mahu Kemerdekaan Sarawak dikembalikan”.
Selain demontrasi, satu mesyuarat besar diadakan di laman rumah Datu Patinggi Abang Abdillah di Darul Kurnia.
Dalam mesyuarat itu mereka memutuskan satu usul bantahan kepada Perdana Menteri Britain atas pengharaman Anthony Brooke ke Sarawak.
Dalam hal ini juga mereka menyatakan ikrar untuk terus menentang penyerahan serta mengembalikan kemerdekaan Sarawak.
Tambahan daripada itu, mereka menegaskan bukan anti-British tetapi hanya anti-penyerahan.
Pada masa sama, Pergerakan Kaum Ibu PMS juga mengeluarkan kenyataan bahawa pihak British tidak seharusnya menutup mata dan memekak telinga terhadap tuntutan mereka.
Mereka juga menyatakan bahawa kerajaan British tidak harus mengamalkan dasar totalitarian ke atas negara mereka.
Demontrasi juga diadakan semasa lawatan Menteri Negara untuk Hal Ehwal Koloni British, Lord Listowel ke Sarawak pada Mac 1948.
Pihak menentang penyerahan mengadakan satu demontrasi besar-besaran.
Beribu-ribu orang mengadakan demontrasi dengan membawa beribu poster dan sepanduk dengan kata-kata seperti “Kolonialisme Tidak diterima di Sarawak”, ”Kami meminta Raja untuk membatalkan penyerahann”, “Penyerahan Adalah Haram” dan “Kami Mahu Kemerdekaan dibawah Pemerintahan Brooke dikembalikan” telah menyambut kehadiran Lord Listowel.
PENURUNAN BENDERA SARAWAK
Sementara itu British mengambil masa lama untuk menurunkan bendera Sarawak bagi mengantikan dengan Union Jack. Upacara menurun bendera Sarawak diadakan pada 25 April 1947 telah membawa kepada bantahan daripada PMS.
Surat bantahan daripada PMS telah dihantar dengan menyatakan kesedihan kepada apa yang berlaku di Sarawak tetapi mereka akan terus berjuang.
Mereka menambah bahawa malang bagi masyarakat kecil dan tidak berdaya kehilangan kedaulatan yang diambil oleh sebuah masyarakat lebih besar dan berkuasa.
Di akhir kenyataan, PMS pula mempersoalkan mengapa upacara penurunan bendera Sarawak mengambil masa yang lama bukannya pada 1 Julai 1946? Persoalan ini menimbulkan presepsi bahawa British tidak pasti akan kesahan mereka untuk mentadbir Sarawak.
Ini mungkin persoalan yang boleh dikaji dan dihuraikan lebih mendalam.
PERJUMPAAN
Pada Jun 1947, kumpulan kakitangan awam Sarawak yang meletak jawatan kerana Circular 9 pula telah menunjukkan kesatuan apabila mereka pergi ke Singapura untuk berjumpa dengan Anthony Brooke.
Mereka ke Singapura untuk memaklumkan tentang perkembangan aktiviti penentangan penyerahan di Sarawak.
Jurucakap mereka iaitu Mohammed Jais menyatakan bahawa rakyat Sarawak tidak menyokong penyerahan dan akan berjuang menentang penyerahan menerusi perlembagaan.
Dalam hal ini beliau menekankan lagi bahawa mereka tidak mempunyai masalah bernaung dengan British tetapi mereka tidak mahu pemerintahan langsung daripada pemerintah British.
Mengenai peletakan jawatan, Mohammed Jais berkata bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai hasrat meletak jawatan tetapi Circular No.9 memaksa mereka untuk menutup mulut daripada mempersoalkan tentang penyerahan.
Salah seorang ahli PMS yang aktif dan juga turut meletak jawatan iaitu Mohamed Noor Hassan menyatakan bahawa pihak kerajaan British seolah-olah tidak mendengar tuntutan mengenai kemerdekaan Sarawak.
Beliau berkata British menggunakan taktik menakut-nakutkan orang ramai.
Semasa kunjungan seterusnya ke Singapura untuk berjumpa dengan Anthony Brooke, Mohamed Noor menyatakan 99 peratus penduduk Bumiputera mahukan Anthony Brooke sebagai Raja.
Dalam hal ini sekali lagi beliau tegaskan golongan anti-penyerahan tidak anti-British tetapi British yang anti-Melayu dan anti-Brooke.
SURAT BANTAHAN
Dalam usaha PMS dan Sarawak Dayak Assiociation (SDA) menentang penyerahan, mereka mendapat makluman menerusi surat tentang penolakan Raja England untuk terlibat dalam keputusan penyerahan tersebut.
Penolakan ini satu lagi cabaran yang dihadapi oleh pihak menentang penyerahan.
Persatuan-persatuan ini juga dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri C. W. Dawson bahawa Betram Brooke dikatakan menerima penyerahan, manakala Raja England menyatakan pendirian beliau untuk menjaga kebajikan penduduk Sarawak dan berharap agar mendapat sokongan penduduk dalam memajukan Sarawak.
Walaupun pihak menentang penyerahan gagal mendapat sokongan Raja England, namun hal ini tidak mematikan semangat mereka.
Pada ulang tahun kedua penyerahan pada 1948 sekali lagi PMS dan SDA menghantar surat kepada Perdana Menteri Britian, Clement Atlee.
Penghantaran surat ini hasil daripada Persidangan Kebangsaan yang berlangsung pada 1 Julai 1948.
Dalam persidangan tersebut antara lain menyatakan bahawa penyerahan itu adalah bertentangan dengan kehendak dan semangat kaum Bumiputera.
Dalam hal ini menyatakan mengapa penyerahan itu tidak diterima kerana pertama mereka adalah pemilik kepada Sarawak, dan kedua pula penyerahan melanggar pendirian mereka serta masih lagi dipertikaikan.
Oleh itu mereka memohon kerajaan British membatalkan dasar imperialisme dan mengembalikan kemerdekaan Sarawak dibawah Raja Brooke.
USNA
Perjuangan penentangan terhadap penyerahan ini juga mendapat sokongan kuat daripada sebuah persatuan orang Sarawak di Singapura iaitu United Sarawak Nasional Association (USNA).
Presiden USNA, Sirat Ibrahim dalam hal ini menyatakan pendirian USNA adalah meminta agar kerajaan British membatalkan penyerahan.
Beliau menambah bahawa kemerdekaan Sarawak perlu dikembalikan dalam Komanwel British dibawah pemerintahan berpelembagaan Brooke.
Tekanan dilakukan oleh pihak British tidak mematikan penentangan terhadap penyerahan. Malahan sokongan gerakan anti-penyerahan melebar bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di luar Sarawak.
- Dr Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.