Oleh: Roslan Jomel
“Maka, tidak dapat tidak hendaklah kita menerima hakikat bahawa kebebasan mutlak yang tidak terkawal tiada tempat dalam kehidupan kemanusiaan. Ia juga tiada tempat dalam kehidupan bermasyarakat. Bahkan, ia juga tidak mempunyai tempat walau di langit mahupun di lautan, kerana di sana juga terdapatnya had, sekatan, peraturan, undang-undang dan juga piagam.” – Sheikh Dr. Ahmad al-Raisuni, dipetik dari buku Kebebasan dan Pembebasan, Perbahasan dalam Konteks Maqasid Shari’ah, terbitan Institut Darul Ehsan, cetakan 2016.
Naskhah “Hikmah Koma Sebelum Noktah Tiba”, ditulis oleh Khairina Nazihah untuk merakam penyesalan seorang insan bernama Ram (namanya hanya sekali disebut dalam naskhah itu). Seorang lelaki moden. Mantan pekerja dalam aktiviti pembalakan secara haram. Gaya hidupnya mewah, berhibur ala kebaratan dan malahan mempunyai hubungan yang istimewa dengan teman lelakinya, bernama Solhi. Teman lelakinya itulah yang ingin dicarinya nanti. Maka, setelah tujuh hari watak utama tersedar dari keajaiban (koma), segala persoalan, monolog dalaman dan pencarian makna kehidupan pun mula mengambil tempat dalam kalbu narator. Dan naskhah yang bermula dari keresahan dalaman jiwa watak utama berkembang dari satu perenggan (bak kepingan puzzle) ke satu enigma yang menjadi topik penyesalan batinnya. Narator bersendirian dalam liku-liku pengembaraan batinnya di sepanjang naskhah.
Dalam sastera, ia dinamakan sudut pandangan orang pertama. Sudut pandangan orang pertama memperlihatkan keterlibatan narator secara dominan dalam perkembangan sesebuah naskhah. Cerita yang berteraskan sudut pandangan orang pertama (tunggal), melibatkan narator berperanan sebagai salah satu watak penting dalam perjalanan dan fokus naskhah. Dari awal hingga akhir, narator mengemudi laluan dan arah cerita dengan sepenuhnya. Oleh sebab kata ganti aku atau saya digunakan, seseorang pembaca tentu berasa diri mereka turut terlibat dalam kandungan cerita. Naskhah berhubungan secara intim dengan pembaca. Kesannya secara tidak langsung (harapnya begitu), sesebuah naskhah yang sedang dihayati itu mewujudkan kesan khusus yang menusuk ke dalam jiwa mereka dengan organik.
Terlebih dahulu, apakah maksud hikmah? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hikmah membawa maksud – kebijaksanaan daripada Allah, kecerdikan, dan maksud keduanya ialah – rahsia, kelebihan atau tujuan sebenar di sebalik sesuatu perkara (kejadian, hal dan sebagainya). Berpandukan tajuk naskhah dipilih pengarang, (agak langsung dan representatif), pembaca segera mudah menangkap kandungan ceritanya yang pasti mengundang mesej dan pengajaran moral. Tajuk sedemikian, agak kurang unsur seninya. Namun lebih sesuai untuk tajuk makalah ilmiah bertema keagamaan dan refleksi diri. Pengarang boleh mencari tajuk yang lebih subtle atau sedikit halus nadanya untuk memberikan nilai artistiknya. Hal ini kerana, cerita yang dipersembahkan mendedahkan pengakuan peribadi seorang insan yang kemudiannya sedar kesalahan-kesalahan yang dilakukannya sebelum tersedar daripada koma yang panjang. Rohaninya perlu dipulihkan dengan didikan agama.
Naskhah” Hikmah Koma Sebelum Noktah Tiba” menyorot seratus peratus tentang karakter Ram dan benang cerita dibawa oleh watak utama dengan simpang-siur fikirannya. Ram terlibat dalam suatu kemalangan selepas keluar berhibur dari sebuah kelab malam. Dia terlantar di hospital dari tahun 2022 sehingga ke tahun 2042. Namun apabila terjaga semula, (tiada istilah dihidupkan semula), ada sesuatu yang mengganggu jiwa nuraninya dan perasaan itu terasa membebankan psikologinya. Apakah yang menjadi kesalannya setelah pulih daripada koma selama dua puluh tahun? Dan alangkah bersyukurnya, Ram masih memiliki ruang dan masa untuk memohon keampunan daripada Tuhan atas dosa-dosa yang dilakukan ketika khayal dengan nikmat duniawi dan terlalu mengikut hawa nafsunya sebelum ini.
Sebagai seorang lelaki yang berduit, sudah menjadi lumrah alam, pasti ramai yang mengerumuni Ram. Bujang dan ada segala-galanya sebagai tarikan. Barangkali disebabkan kelebihan itu, Solhi merapati Ram dan menjadi teman baiknya. Mereka berdua menari bersama-sama dalam sebuah kelab malam. Menari bersama-sama? Bukan perbuatan itu nampak pelik dan bertentangan dengan fitrah seorang lelaki normal? Mengenangkan betapa Ram begitu memikirkan keberadaan Solhi yang tiada di sisinya ketika terbangun daripada koma di hospital, sudah tentu Solhi amat penting pada Ram. Jika tidak, mengapa Ram perlu bersusah-payah mencari Solhi. Kononnya, ada banyak perkara yang berlaku antara mereka berdua. Semuanya dikongsi bersama-sama. Jelas, ada sesuatu yang abnormal berlaku dalam perhubungan dua orang lelaki itu.
Solhi merupakan watak misteri yang amat penting dalam hidup Ram sebagaimana dirakamkan oleh narator dari awal penceritaan. Siapakah Solhi sesungguhnya dalam kehidupan Ram? Dan hubungan (sengaja dicondongkan) apakah yang menjadi motif persahabatan mereka berdua sehingga Solhi terlalu mustahak bagi Ram setelah bangkit daripada tidur yang panjang? Sebagai pembaca, saya mengesyaki ada sesuatu yang janggal dalam perhubungan mereka berdua. Antara Ram dan Solhi, Ram lebih beruntung. Namun, takdir Solhi agak menyedihkan. Apakah pengarang muda ini menulis tentang hubungan songsang antara dua orang lelaki? Adakah kisah itu adalah suatu tempias daripada sumber pengetahuan yang diperoleh melalui pembacaan tentang pergerakan LGBT? Atau diraih melalui pengalaman sebenar yang diceritakan oleh rakan terdekat? Apa-apa pun, hubungan sedemikian memang berlaku di dunia nyata.
Baru-baru ini kecoh tentang demonstrasi dan penentangan masyarakat terhadap golongan yang menyimpang daripada syariat agama itu. Perbuatan menyukai sesama jenis (dalam naskhah itu – homoseksual), bukan isu baharu. Malahan telah berlaku pada zaman kehidupan Nabi Luth lagi. Dalam al-Quran, surah al-A’raf, ayat 80-84, Allah SWT telah berfirman tentang kebinasaan kaum Luth untuk dijadikan pengajaran kepada umat manusia. Dan kini, hubungan terkutuk itu cuba untuk diluluskan oleh beberapa buah negara, kononnya ia dianggap sebagai hak kebebasan individu. Natijahnya, pengiktirafan perkahwinan sejenis merupakan salah satu agenda golongan LGBT yang paling utama. Walaupun hampir semua agama tidak mengesahkan perkahwinan sejenis, namun, perlahan-lahan beberapa buah negara kemudiannya mula mengiktiraf perkahwinan yang menjijikkan itu. Malaysia tidak terkecuali, masih ingat lagi tuntutan COMANGO yang menggegarkan negara kita dahulu?
Hubungan kemesraan antara Ram dan Solhi bukan lagi rahsia. Ia bukan ikatan persahabatan biasa. Malahan menjalar jauh ke dalam naluri paling dalam. Lihat pengakuan yang didedahkan oleh naratornya sendiri (Ram), “Aku ingin berjumpa dengannya semula (Solhi). Terlalu banyak perubahan yang berlaku pada penampilannya setelah dua puluh tiga tahun berlalu. Adakah tubuhnya masih sasa seperti dahulu? Adakah ketampanan wajahnya tidak hilang? Semua itu berputar-putar dalam mindaku. Yang pasti, perasaanku terhadapnya tidak seperti dahulu.”
Dua perkataan, “sasa” dan “tampan”, memiliki makna sensual yang tertentu bagi golongan homoseksual. Pendedahan itu sudah cukup menggerunkan untuk menggambarkan jenis perhubungan antara kedua-dua lelaki itu. Mujurlah Ram segera insaf selepas bangun daripada koma selama dua puluh tahun. Tempoh itu sungguh lama dan sudah tentu cara pandang (keperibadian) dan sikapnya (orientasi seks) akan turut berubah.
Di atas katil yang menjadi tempat tubuhnya berbaring sekian lama, Ram mula didatangi seribu macam persoalan tentang kompas kehidupannya sebagai seorang lelaki Muslim. Ram mengikuti perkembangan dunia dan senario yang berlaku dalam perebutan kekuasaan antara negara besar. Dari dahulu lagi, situasinya memang tidak pernah berubah. Sekarang, masyarakat dunia mula berhadapan dengan krisis makanan, tekanan ekonomi, perubahan iklim yang ekstrem, lapisan ozon menipis dan gejala penyakit (misalnya virus COVID-19) yang tidak pernah dijangka mengancam keselamatan warga manusia. Ram mengakui, bahawa segala punca musibah yang melanda dunia dan penghuninya ialah disebabkan oleh tangan-tangan mereka sendiri. Pemikiran Ram itu betul. Manusialah yang menghancurkan ekosistem di dunia tanpa rasa bersalah, dari tahun ke tahun. Bahkan Ram menyalahkan diri sendiri kerana kerakusan mereka dalam aktiviti pembalakan haram. Bertambah memedihkan jiwa, hal paling menakutkan, iaitu hubungan terlarang bersama-sama dengan Solhi.
Sebagai lelaki, Ram memiliki apa yang dicemburui oleh pemuda-pemuda lain yang tidak beruntung seperti dirinya. Ram memiliki kereta Ferrari (mungkin juga tinggal di kediaman elit). Dan dengan menghulurkan segenggam wang untuk melakukan rasuah, syarikat tempat Ram berkhidmat, mudah untuk mendapatkan permit aktiviti pembalakan. Hidup Ram berlandaskan materialisme. Perkara tersorok demikian sudah biasa dilakukan oleh sebahagian masyarakat moden sekarang. Dia terapung-apung di dunia dengan segala keindahan memabukkan tanpa menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Namun peliknya, tarikannya bukan kepada wanita. Tetapi sebaliknya, lebih cenderung berhubungan dengan kaum sejenis. Pada bahagian akhir naskhah itu, Ram menuju ke kondominium kediaman Solhi. Maknanya, Ram pernah berkunjung ke dalam rumah Solhi. Nantinya kita maklum, bahawa Solhi terkorban semasa berlaku keruntuhan kondominium yang didiaminya, kira-kira dua puluh tahun lalu. Ia bersamaan dengan waktu insiden kemalangan yang menimpa Ram.
Naskhah “Hikmah Koma Sebelum Noktah Tiba” karangan Khairina Nazihah mengangkat tema yang berat dan relevan dengan situasi masa kini. Ia sebuah naskhah kontemporari tentang gelagat kehidupan manusia yang hidup bertunjangkan keseronokan dan keuntungan materialisme semata-mata. Sebahagian masyarakat yang dihanyutkan oleh keghairahan kepada dunia, lambat-laun akan disibukkan oleh urusan dunia. Bagi mereka, urusan di alam akhirat, sangat tidak masuk akal dan tidak praktikal untuk dijadikan jalan hidup yang realistik. Tanpa didikan agama dan kesedaran tentang dosa dan seksaan neraka, manusia yang sekadar memegang kad pengenalan beragama Islam itu, umpama hidup tanpa pedoman. Mengabaikan yang haq dan batil. Tetapi, apabila berlaku suatu kejadian malapetaka, timbul perasaan halus yang membisikkan ke dalam jiwa mereka tentang erti sebenar kehidupan.
Naskhah “Hikmah Koma Sebelum Noktah Tiba”, belum lagi mencapai sebuah penulisan yang mantap. Penceritaannya masih sederhana dan tidak menimbulkan kesan simpati yang diharapkan. Memang pengarang berusaha untuk merakam pergelutan jiwa yang ditanggung oleh Ram. Ingatan masa lalu, dalam tempoh dua puluh tahun, terasa seperti baru berlaku semalam. Jiwa Ram terganggu dan pandangannya masih samar-samar tentang apa yang berlaku ke atas dirinya. Ram dalam keadaan koma dari 2022 hingga ke tahun 2042. Terasa bagaikan sebuah fiksyen. Benarkah dia hidup pada ketika itu? Benar, ia sebuah keajaiban. Tuhan masih memberi kesempatan untuk Ram bertaubat. Dan sungguh pun didampingi oleh ibunya di tepi katil, Ram tetap masih ingin mengetahui ke mana menghilangnya Solhi. Mengapakah Solhi tidak menemaninya pada detik itu? Adakah teman baiknya itu, Solhi, sudah berubah dan, siapa tahu, melupakannya? Tentu Solhi amat bermakna dalam kehidupan Ram, sementelahan dia bau sahaja bangkit daripada tidur yang panjang. Jiwa Ram benar-benar bercelaru.
Sebuah karya sastera yang baik, selalunya ditulis dengan lengkap dan utuh (terutama) dalam urusan pembinaan karakter pada watak-wataknya. Namun, aspek itu, kadang-kadang dibiarkan lompong oleh kebanyakan pengarang yang terlalu mementingkan objektif cerita. Maka, kesan naskhahnya terasa kosong dan kurang berjiwa. Tanpa latar belakang dan penjelasan terperinci karakter Ram, naskhah itu ditulis hanya atas permukaan sahaja. Monolog Ram bermula dan disudahkan dengan berita yang mengejutkannya. Hampir bergerak dengan lurus tanpa rangkaian konflik. Siapakah keluarga Ram? Apakah yang mendorong Ram mencari keseronokan dengan cara demikian? Siapakah Solhi yang menjadi sahabat intimnya itu? Pengarang perlu menyedari bahawa dengan kaedah penulisan yang lompong sebegitu, akan mengurangkan kepentingan tema yang hendak diangkatnya.
Citra Ram dan Solhi bagai bayang-bayang. Pembaca dibiarkan meraba-raba mencari identiti kedua-dua lelaki itu. Berapa usia mereka berdua? Apakah Solhi sememangnya pisau cukur dan memiliki ramai kawan lelaki yang sealiran dengan kecenderungan seksual mereka? Tetapi Solhi dan Ram yang dirakam dalam naskhah itu, tidak mempunyai kompleksiti dalam penampilan mereka. Hal itulah yang menyebabkan banyak naskhah yang dihasilkan menjadi kurang ampuh dan tidak meyakinkan.
Pada akhir naskhah, Solhi menemui ajalnya semasa insiden keruntuhan kondominium. Digambarkan bahawa kondominium (dijadikan tempat untuk melakukan hubungan sejenis) itu telah ditelan bumi, persis diceritakan dalam al-Quran. Sempatkah Solhi, (jika dia seorang Muslim) bertaubat? Ram lebih bertuah. Sebaik sahaja bangkit daripada koma, Ram menyedari bahawa ada rahsia dan hikmah yang mengiringi dirinya. Menyedari hikmah itulah yang menyebabkan Ram menangis dengan penuh keinsafan. Terlalu besar maknanya menjadi khalifah di atas muka bumi.
Naskhah karangan Khairina Nazihah ini bercirikan kehidupan masa kini. Kisah tentang perhubungan songsang antara sesama gender, satu pembongkaran yang sesungguhnya mencabar kepekaan masyarakat tentang situasi kehidupan mutakhir. Kebanyakan orang awam tidak suka untuk membicarakan isu itu secara terbuka. Tetapi hal itu sememangnya berlaku. Bagaimanakah kita sepatutnya cakna dengan aktiviti yang bakal merosakkan institusi kekeluargaan itu? Salah satu caranya ialah (selain bimbingan agama), menulis kisah itu dalam wadah karya sastera. Sebagai karya sastera, sudah tentu ada beberapa bahagian yang tidak dibenarkan untuk dituliskan sebagai menjunjung budaya murni pembaca tempatan. Namun, memadailah apa yang cuba dilakukan oleh pengarang lewat naskhah yang menceritakan kekesalan Ram. Ia wajar dipuji kerana keberaniannya menyorot isu yang agak membimbangkan itu. Itulah sepatutnya fungsi seorang pengarang berdedikasi dan berani melawan kebiasaan. Bukannya menjauhi diri daripada fenomena manusia di sekeliling mereka. Syabas.