Oleh: Khairina Nazihah
PERSIS beruang yang mengalami hibernasi dalam perjalanan tidur yang panjang dalam musim sejuk, tatkala aku membuka kelopak mata setelah koma selama dua puluh tahun, aku terkebil-kebil bangun dalam keadaan yang serba keliru apabila diberitahu bahawa aku sudah berada pada tahun 2042. Benarkah? Badan terasa sangat lemah. Daya fikirku begitu tumpul untuk mengingati kenangan lalu. Semuanya dalam serpihan yang berterabur dan kabur sehingga sukar untuk himpunkan dalam kesatuan fikiran. Aku menggosok-gosokkan mata yang tidak gatal. Muka masih terasa sebal – bantal seperti masih melekat di muka.
Insan di hadapanku ialah seorang lelaki berkot putih dengan mata terbuntang luas memandangku. Bibirnya sedikit bergerak-gerak. Dia seakan-akan takjub dengan kurniaan Ilahi. Semuanya di luar kerasionalan persis mencipta sebuah sentuhan magis.
“Mesin bantuan oksigen sepatutnya dimatikan pada hari ini. Dengan kekuasaan Ilahi, dia membukakan matanya setelah dua puluh tahun. Setelah doktor yang merawatnya bertukar ganti.”
Seorang wanita tua menangis di tepi katilku. Aku memicing mata sambil memerah daya ingatan. Bahunya tersengguk dengan mata terpejam. Tentu dia adalah ibuku. Tangisan kegembiraan seorang ibu yang jauh benar perubahan fizikalnya. Dia kian kurus dengan rambut yang memutih dan wajah yang cengkung dipagut usia. Kedutan di bawah pelupuk mata begitu jelas lipatannya. Raut mukanya jelas memperlihatkan keletihan dengan tulang pipi dan rahangnya yang jelas menonjol. Kulitnya seperti sarung tangan getah yang nipis yang tidak mampu menyembunyikan bentuk tulang. Kain batik melilit di pinggangnya secara tidak teratur. Baju kurung dan kerudung kelabu menggambarkan wajahnya yang sebu.
Kini sudah tujuh hari aku tersedar dari keajaiban. Masa berlalu dengan begitu perlahan sehingga aku tersandar dalam kebosanan. Aku sudah boleh bangun dari katil biarpun kaki masih terasa lemah. Tatkala aku membuka tingkap, angin panas berhembus menyapa wajah. Angin yang acak-acak bertiup; membelai ranting-ranting rapuh dan dedaun kepam. Cuaca sangat panas – termometer digital di bilik menunjukkan angka 47 darjah Celsius. Kipas siling tidak mampu menjalankan peranan dan fungsinya.
Argh, semuanya telah berubah! Situasi sudah jauh berubah – tidak seperti pada tahun 2022 – memori yang kian pudar untuk diimbas ingat. Fikiranku masih lemah dan keliru. Pandanganku liar ke kiri ke kanan melihat kawasan sekeliling. Aku berada di dalam sebuah bilik sederhana besar. Ini pastinya bukan bilikku. Ruang bilik itu pengap; ruang yang tidak menebarkan aroma keceriaan. Pintu dan jendelanya ditutupi tirai berwarna coklat muram berjuntai. Warna bilik yang dicat dengan warna kelabu juga telah menambahkan lagi kesuramannya. Kepalaku terasa berat. Leher terasa tegang dengan pelbagai perkara yang mengocak ketenangan. Dahiku berkerut seribu. Perasaan buntu tadi diganti dengan emosi panik. Fikiran bertukar dan menjadi semakin kusut hingga melontarkan aku dalam ketidaktentuan rasa yang bertempur dalam dada. Hunjaman soalan tanpa jawapan satu-persatu mengisi cepu kepala. Terlalu kuat melekat di dinding benak.
Sejujurnya, sukar untuk aku cuba mengingat kembali apa yang mungkin telah berlaku kepadaku. Sesuatu yang berlaku dalam ruang waktu yang terlalu berjarak. Semakin jauh dan kian mengecil dalam fikiran. Memori dipekup kekalutan dan kekeliruan.
Sayup kedengaran lagu Arctic Monkeys berdesing memukul gegendang telinga – memutar kembali peristiwa sebelum kejadian kemalangan ngeri sehingga aku terlantar bertahun-tahun di hospital. Satu jangka masa yang sangat panjang. Pandanganku berpendar-pendar – ada bayangan wajah Solhi yang terkinja-kinja seperti kera. Solhi menari bersama-samaku di kelab malam dalam bilik VIP. Lampu berlari-lari dalam putaran 360 darjah. Lampu melompat-lompat tanpa aturan. Masing-masing dibuai rasa khayal dan kemabukan rasa. Rasa pening dan mual menerbitkan bintang-bintang yang turut menari; bintang-bintang itu mengelilingi kepala membentuk gerakan yang mentertawakan kami. Balik dari kelab malam itulah aku mengalami kemalangan. Aku memandu sendirian. Mata digayuti oleh rasa mengantuk. Aku menguap. Mata berair. Berkali-kali aku menggeleng-gelengkan kepala untuk menyegarkan tubuh. Aku menggerak-gerakkan bahu dan leher. Rasa mengantukku tidak tertahan hingga aku hilang keseimbangan antara fikiran dan fizikal. Kereta Ferariku terbalik tatkala terlanggar pembahagi jalan. Semuanya berlaku dengan pantas.
Kini ingatanku terasa sedikit pulih biarpun masih berat mengingati kesilapan lampau. Ada keinsafan menyusup. Ke mana Solhi sekarang? Mengapa dia tidak melawatku? Adakah dia sudah melupai sahabatnya? Tidak mungkin. Aku tahu, dia tidak seperti itu.
Sudah beberapa hari aku melalui rawatan psikoterapi – cuba memulihkan semangat dan fikiranku yang bercempera ditiup angin waktu. Aku perlu mencantumkan semula cebisan-cebisan tersebut seperti permainan puzzle. Aku ada sesi bersama-sama doktor pakar – ada sesi latihan terapi fizikal, terapi minda, terapi jiwa dan juga sesi bacaan. Aku suka membaca berita dan rencana. Aku ingin mengetahui rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang aku mengalami tidur yang panjang. Itulah kematian sementara yang sangat menginsafkan.
Aku membaca akhbar digital tentang krisis makanan yang dialami disebabkan perubahan iklim yang mencetuskan gelombang haba serta cuaca panas melampau di seluruh dunia. Aku terpempan. Yah, tanaman padi, gandum dan sayur-sayuran serba tidak menjadi! Sampai begitu sekali. Para pesawah di Kemboja dan Vietnam, khabarnya telah menjalankan aktiviti penanaman pada waktu malam kerana tidak mampu bertahan dengan cuaca yang begitu panas. Ada kebimbangan tentang risiko kesihatan yang kronik. Ramai penduduk yang mengalami masalah kanser kulit lebih-lebih lagi dengan lapisan ozon yang kian menipis.
Negara China pula telah berusaha untuk memiliki bulan dan melakukan ujikaji penanaman makanan di sana sehingga mencetuskan pertelagahan dengan Amerika. Hubungan dua hala menjadi semakin tegang. Masing-masing ingin menunjukkan pengaruh dan kekuasaan. Yah, perseteruan yang kian jelas setelah berlaku secara tidak langsung pada tahun 2022 dahulu! Tiada ada perang saraf. Semuanya berlaku secara terang-terangan sekarang. Aku masih seperti bermimpi kerana sudah berada dalam tahun 2042.
Biarkan China tidur – kata-kata Napoleon Bonaparte? Aku pernah terbaca tentang artikel tersebut suatu ketika dahulu. Tapi sekarang China telah bangun sehingga banyak negara berasa kesal. Banyak negara berasa resah dan khuatir. Memang ada asas kegusaran tersebut. Kini terbukti kebanaran daripada analisis pemerhati-pemerhati dunia Barat suatu ketika dahulu. Semuanya kian terserlah.
Kini banyak kawasan tanah pamah yang tidak boleh diduduki lagi. Aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat rancangan dokumentari dari bilikku di hospital. Paras air laut rupa-rupanya telah meningkat disebabkan pencairan Kutub Utara dan Kutub Selatan. Aku hanya mampu mengeluh dan mendengus. Dalam fikiran yang masih lagi lemah dan kabur, aku teringat dengan aktiviti pembalakan yang syarikatku kendalikan suatu ketika dahulu. Permit diperoleh dengan cara yang salah. Semuanya dibangunkan dengan wang rasuah. Wang disogok lantas bukit dan hutan dirodok. Tiada keseimbangan antara proses respirasi dan fotosintesis. Semua itu pastinya menjadi punca kenaikan suhu sekarang. Setiap masalah yang berlaku di atas muka bumi ini adalah disebabkan kerakusan manusia itu sendiri. Akulah antara manusia yang rakus itu. Jadi aku perlu menyalahkan diriku sendiri.
Sekelip mata, kejayaanku dalam perniagaan ditarik balik oleh Allah SWT tatkala aku mengalami koma yang panjang. Pasti tidak ada yang percaya bahawa aku akan tersedar semula dari tidur yang panjang itu. Semua itu berlaku disebabkan kekuasaan Ilahi. Aku mula menginsafi akan kesalahanku dahulu bahawa kemewahan tanpa keberkatan tidak akan menjamin kebahagiaan. Apakah ertinya kekayaan jikalau aku tidak merasai nikmatnya setelah semua itu ditarik sekelip mata dengan musibah yang dialami? Kini aku melihat sendiri kemusnahan alam ini. Aku turut merasai sendiri kepanasan suhu sehingga siren amaran dibunyikan di kawasan hospital ini supaya aktiviti di luar bangunan dapat dielakkan.
Situasi itu pastinya menyukarkan aku mencari sahabatku, Solhi. Aku teringin berjumpa dengannya semula. Tentu banyak perubahan yang berlaku pada penampilannya setelah dua puluh tiga tahun berlalu. Adakah tubuhnya masih sasa seperti dahulu? Adakah ketampanan wajahnya tidak hilang? Semua itu berputar-putar dalam mindaku. Yang pasti, perasaanku terhadapnya tidak seperti dahulu. Kematian sementara menyebabkan aku sangat menginsafi dosa-dosa lalu. Dosa yang dilakukan bersama-sama. Aku bersyukur diberikan peluang kedua persis mayat yang dihidupkan semula. Tidak semua diberikan peluang tersebut. Aku menundukkan kepala dan ada air mata yang menitis. Aku ingin air mat aitu membersihkan jiwaku dengan penyesalan.
Suatu ketika dahulu, aku memang lelaki yang berwang. Itu antara tarikan yang ada padaku. Adakah Solhi juga melihat tarikan itu? Adakah dia rapat denganku disebabkan oleh kemewahan tersebut? Akulah lelaki berwang akhirnya menjadi seperti beruang yang mengalami hibernasi setelah mengalami koma yang panjang. Cuma aku tidak gemuk setelah mengalami hibernasi. Aku nampak sangat kurus berbanding dulu yang aku bandingkan tatkala melihat gambarku yang dibingkaikan di tepi katil.
Masa berlalu dengan pantas. Sepantas pergerakan tahun dalam perjalanan komaku yang panjang. Beruang melakukan hibernasi untuk persediaan selepas mengalami musim sejuk. Aku pula tersedar dari koma untuk persediaan mengalami noktah kehidupan. Itulah kematian.
Aku sudah melalui pelbagai terapi. Hampir setiap minggu aku melalui proses yang menguji tahap kesabaranku. Aku melalui terapi minda; otakku diimbas dengan peralatan canggih untuk mengesan sebarang simptom sama ada secara patologi atau psikologi. Tidak seperti mesin terdahulu yang agak kabur disebabkan cara memproses keputusan daripada filem CT Scan, peralatan terkini akan memeta imej secara jelas dengan resolusi grafik yang tinggi. Kualiti gambar sangat baik.
Selepas hampir dua bulan, aku disahkan sembuh sepenuhnya sehingga dibenarkan keluar dari hospital. Kemusykilan sentiasa bertandang dalam jiwa – mengapa Solhi tidak menziarahiku? Soalan yang tidak kutemui jawapannya. Setiap kali aku ajukan pertanyaan itu kepada ibu, wajahnya berubah. Ibu akan memalingkan wajah; persis cuba untuk menyembunyikan sesuatu. Mungkin ibu beranggapan aku yang tidak mahu berubah. Sikap berahsia ibu menyebabkan kepalaku seperti dihentak-hentak dengan bebanan yang berat. Pandangan mataku akan berpinar setiap kali memikirkan perkara tersebut.
Biarpun sudah disahkan pulih, aku masih berasa trauma untuk memandu kenderaan. Ketakutan itu masih menghantuiku. Kebimbangan sentiasa mengejarku. Pagi itu, aku menyuruh Pakcik Ijat – pemandu yang bekerja dengan ibu untuk menemaniku. Aku mahu mencari Solhi. Panas mentari terasa mencakar kulit sehingga terasa mengelupaskan kenangan. Kenangan yang sudah lama berlalu. Tetapi bagiku, semua itu terasa masih baru. Aku bersandar di tempat duduk belakang – melayangkan fikiran pada memori. Ada banyak perkara yang berlaku antara kami. Semuanya dikongsikan bersama-sama.
“Encik Ram hendak pergi ke mana?”
“Saya mahu pergi ke Kondominium Azelea yang terletak di Damansara.”
Pakcik Ijat tergamam. Dia membuntangkan mata memandang wajahku. Wajahnya serba salah. Dia mengemam bibirnya yang sedikit terketar. Dalam fikiran, ada sesuatu yang berlegar. Kebenaran itu selalunya sukar.
“Kondominum itu telah runtuh dan ditelan oleh bumi kira-kira dua puluh tahun yang lalu.”
Aku tersentak. Aku tidak berupaya memberikan sebarang reaksi. Hanya dahiku yang berkerut. Aku hanya menanti penerangan lanjut daripada Pakcik Ijat. Fikiranku masih lemah untuk membuat kesimpulan.
“Seperti nasib umat Nabi Luth … penduduk kondominium tersebut telah ditelan bumi. Dengarnya … kondominium tersebut dijadikan tempat penularan hubungan sejenis suatu ketika dahulu. Pembalasan Tuhan, tidak memilih sesiapa.”
Sungguh aku terkesima. Nafasku terasa sesak. Kesedihan menyentak. Perut tiba-tiba terasa senak. Mungkinkah Solhi juga telah ditelan bumi? Kesedaran, kesedihan dan penyesalan bertempur dalam diri membentuk keinsafan. Ada air mata yang bergenang, akhirnya tak tertahan dan terus berlinang. Aku menangis teresak-esak.
“Dengarnya, semua penghuni di kondominium tersebut meninggal dunia. Tidak ada yang terselamat. Setiap bala itu adalah sebagai peringatan daripada Allah SWT termasuk daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia.”
Air mata yang hanya berlinang bertukar menjadi esakan. Ya, esakan keinsafan. Aku hadiahkan al-Fatihah kepada Solhi.
Benarlah, setiap musibah itu ada hikmah. Kemalangan yang aku alami adalah hikmah. Koma yang aku lalui juga merupakan satu hikmah sebelum noktah tiba.
Ya, kematian yang memisahkan segalanya …