SALAH satu peristiwa penting dalam sejarah Sarawak pada Julai adalah penyerahan Sarawak. Penyerahan Sarawak atau lebih dikenali sebagai ‘cession’ berlaku selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Penyerahan ini berkait dengan usaha memindah kedaulatan Sarawak dari pemerintahan Brooke kepada pihak koloni British.
Usaha pemindahan kedaulatan ini bukannya baharu, dan ia telah disuarakan sejak sebelum perang lagi. Ia semakin dimantapkan apabila berlangsungnya perang. Raja Vyner Brooke pula tidak lagi berminat meneruskan pentadbiran di Sarawak dengan memberi alasan kesan perang menyukarkan Sarawak dibangunkan. Beliau juga tidak mahu menyerahkan takhta kerajaan kepada anak buahnya iaitu Anthony Brooke.
UTUSAN RAJA
Bagi menjayakan usaha penyerahan ini, maka pada awal Januari 1946, Mac Bryan dihantar oleh Raja Vyner Brooke untuk berjumpa dengan pembesar Melayu dalam Majlis Tertinggi. Mac Bryan membawa wang dan surat untuk ditandatangani oleh pembesar-pembesar Melayu ini. Kesemua pemimpin Melayu dalam majlis itu, bersetuju menandatangani surat berkenaan kecuali Datu Patinggi Abang Abdillah.
Datu Patinggi Abang Abdillah mengesyaki Mac Bryan cuba menyogok beliau dan pembesar Melayu lain dengan wang yang dibawanya. Sebaliknya Mac Bryan menyatakan bahawa wang itu sebagai hadiah kepada Datu Patinggi Abdillah dan pembesar Melayu lain semasa kesusahan zaman perang. Namun demikian Datu Patinggi Abdillah menyerah semula wang itu kepada Pasukan Pentadbir Hal Ehwal Awam British Borneo dan menganggap ia sebagai sogokan.
Datu Patinggi Abang Abdillah telah menghantar surat pada 4 Januari 1946 kepada Lt. Kol. C. A. Gascoigne dari Pasukan Hal Ehwal Awam British Borneo di Kuching tentang kedatangan Mac Bryan. Beliau menyatakan surat dibawa oleh Mac Bryan adalah meragui walaupun surat itu ditandatangani oleh Raja Vyner Brooke. Kandungan dalam surat itu juga tidak jelas menyebabkan beliau tidak menandatangi surat terbabit. Mac Bryan juga memesan kepada beliau supaya merahsiakan hal ini daripada pengetahuan pegawai barat yang lain.
PUJUKAN
Namun demikian Datu Patinggi Abang Abdillah terpaksa menandatangi surat tersebut setelah Datu Amar dan Datu Menteri berjumpa dengan beliau. Ini kerana Datu Patinggi Abang Abdillah risau akan keselamatan diri jika tidak menandatanganinya. Tambahan daripada itu, Mac Bryan menyatakan bahawa jika Datu Patinggi Abang Abdillah tidak menandatangani surat ini, maka Raja Vyner Brooke tidak akan kembali ke Sarawak.
Pada 6 Februari 1946, Raja Vyner Brooke mengumumkan tentang penyerahan Sarawak kepada penduduk Sarawak. Dalam pengumuman ini, beliau menyatakan bahawa rakyat Sarawak akan menjadi rakyat Raja England. Tujuan penyerahan ini adalah untuk kepentingan rakyat Sarawak.
Pengumuman Raja Vyner Brooke ini mengejutkan Datu Patinggi Abang Abdillah. Beliau juga amat kecewa apabila utusan Raja Vyner Brooke yang datang sebelum ini menyatakan bahawa semua ahli Majlis Tertinggi bersetuju dengan penyerahan berdasarkan surat ditandatangani.
PENJELASAN
Apabila Raja Vyner Brooke dan Rani Sylvia kembali ke Sarawak pada April 1946, beliau disambut meriah oleh penduduk Sarawak. Berita mengenai penyerahan berlegar di Sarawak. Oleh itu apabila beliau melawat kampung-kampung Melayu di Kuching, beliau terkejut dengan poster dan sepanduk membantah penyerahan. Poster dan sepanduk ini mahukan pemerintahan Brooke disambung. Hal ini mengundang kemarahan Rani Sylvia.
Hal ini cuba dibetulkan oleh Raja Vyner Brooke dengan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi pada 24 April 1946. Beliau memberi beberapa alasan dan kebaikan mengapakah penyerahan ini penting dilakukan. Pertama bagi beliau adalah penyerahan ini tidak akan menganggu adat-adat penduduk Bumiputera. Kedua beliau akan melawat Sarawak seperti biasa selepas penyerahan. Ketiga, pemerintahan British akan membantu kemajuan Sarawak. Terakhir pula beliau tidak percaya kepada Anthony Brooke untuk memimpin Sarawak.
Alasan diberi oleh Raja Vyner Brooke ini tidak memberi kesan kepada bantahan penyerahan dalam kalangan penduduk yang anti-penyerahan. Golongan anti-penyerahan terus memainkan peranan mereka untuk menentang penyerahan termasuk menolak penyerahan dalam pengundian Council Negeri yang berlangsung Mei 1946. Walaupun mereka gagal dalam pengundian Council Negeri itu, tetapi undi menolak penyerahan lebih banyak dalam kalangan ahli Bumiputera.
BANTAHAN
Bantahan terhadap penyerahan ini tidak tamat dalam Council Negeri, tetapi berterusan kepada hari penyerahan. Datu Patinggi Abang Abdillah dan perwakilan orang Dayak memulau hari penyerahan pada Julai 1946. Datu Patinggi Abang Abdillah juga menolak untuk berjumpa dengan wakil British iaitu Pesuruhjaya Khas British ke Asia Tenggara, Malcom MacDonald.
Selepas upacara penyerahan tamat, Malcom MacDonald melakukan lawatan ke kampung-kampung Melayu di Kuching. Malangnya lawatan beliau ini tidak mendapat sambutan. Penduduk kampung tidak mengadakan sebarang acara sambutan dengan pintu dan tingkap rumah ditutup, dan keadaan menjadi suram dan senyap sepi.
Sementara itu pemangku Gabenor, C.W. Dawson mendesak Datu Patinggi Abang Abdillah untuk mengangkat sumpah taat setia kepada kerajaan baharu. Datu Patinggi Abang Abdillah menolak desakan ini walaupun Dawson menggugut untuk menarik keahlian beliau dalam Majlis Tertinggi dan Council Negeri.
Datu Patinggi Abang Abdillah tidak keseorangan dalam perjuangan menentang penyerahan. Beliau mendapat sokongan kuat daripada Persatuan Melayu Sarawak (PMS). Presiden PMS iaitu Abang Zaini meminta ahli-ahli persatuan itu untuk tidak menaikkan dan mengibar bendera Union Jack dalam sebarang upacara terutama di sekolah-sekolah. Tindakan beliau ini menimbulkan kemarahan Dawson tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.
Sebelum penyerahan, PMS telah menghantar surat bantahan kepada Setiausaha Koloni British George Hall tentang hal penyerahan. Mereka menyatakan bahawa penduduk tempatan tidak dimaklumkan mengenai penyerahan ini. PMS berharap hubungan antara Sarawak dan British dikekalkan seperti dalam perjanjian 1888. Dalam hal ini juga PMS menekankan tentang perlu perlembagaan 1941 dilaksanakan untuk memindah kuasa kepada badan eksekutif dan perundangan di Sarawak.
Semangat menentang penyerahan mula kelihatan di Sibu apabila Gabenor baharu Sarawak, Charles Noble Arden-Clarke melakukan lawatan ke bandar itu pada penghujung 1946. Lawatan beliau ke Sibu disambut dengan poster-poster anti-penyerahan. Oleh sebab itu pihak polis merampas dan mengoyak poster anti-penyerahan termasuk poster berbunyi “We Want Anthony Brooke as Raja Sarawak”.
REAKSI LUAR SARAWAK
Penduduk Sarawak di luar Sarawak juga menunjukkan simpati atas perjuangan pihak anti-penyerahan. Malah penduduk Sarawak di Tanah Melayu menyatakan bantahan ke atas usaha mengubah status Sarawak sebagai tanah jajahan British. Mereka meminta diadakan pungutan suara untuk menentukan penyerahan itu. Mereka juga terkejut dengan tindakan negara demokrasi seperti British menawan sebuah negara yang telah merdeka.
Bekas Setiausaha Sarawak iaitu F. F. Boult memaklumkan Parlimen British bahawa penyerahan Sarawak ini perlu diteliti semula sama ada diterima oleh penduduk Bumiputera atau sebaliknya. Ini kerana menurut beliau kebanyakan yang menentang penyerahan dalam pengundian dalam Council negeri adalah dalam kalangan ahli Bumiputera.
Sultan Ahmad Tajuddin dari Brunei pula melahirkan rasa simpati baginda dengan nasib penduduk Sarawak menentang penyerahan. Baginda merasakan bahawa penyerahan Sarawak perlu juga dirujuk kepada baginda kerana Sarawak sebelum ini sebahagian dari Brunei. Beliau menambah bahawa pemerintahan terdahulu perlu diteruskan kerana Brunei telah melantik Raja Brooke sebagai pemerintah Sarawak ketika itu.
Secara keseluruhannya bahawa penyerahan Sarawak kepada British merupakan episod yang membawa kepada kebangkitan kesedaran penduduk Sarawak tentang kedaulatan Sarawak ketika itu. Malah usaha mereka mendapat simpati penduduk luar Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).