MENJELANG enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Ogos nanti, terdapat kecenderungan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) menggunakan PRN ini untuk menunjukkan bahawa PN sebenarnya masih kuat dan mampu membawa gelombang hijau mereka bukan sahaja mampu mengekalkan Kelantan, Kedah dan Terengganu, akan tetapi mempunyai cita-cita untuk menawan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Sudah tentu impian ini sukar dilaksanakan dalam konteks pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Pertama, gelombang PN tidak lagi sekuat seperti PRU-15 dahulu kerana PN bukanlah kerajaan pemerintah di Putrajaya.
Sebelum PRU-15, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjadi anggota Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kedua-dua pemimpin ini diketahui umum sebagai pro Bersatu dan PAS.
Kelompok ini juga meminggirkan kelompok hieraki yang terdapat dalam parti khususnya kelompok Presiden dan Timbalan Presiden yang dilihat terpinggir dalam era Muhiyiddin dan Ismail Sabri.
Malah dalam beberapa perkara, beberapa perkara berlaku tanpa pengetahuan kepemimpinan tertinggi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) seperti perjanjian sulit yang mahu meletakkan Muhiyiddin sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU-15, melengah-lengahkan PRU-15 yang sepatutnya diadakan selepas kemenangan PRN Johor.
Begitu juga usaha untuk membuat pemilihan dalam UMNO sebelum PRU-15, namun berjaya ditangani oleh kepemimpinan tertinggi UMNO.
Sentimen selepas PRU
Selepas PRU-15, terutama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, landskap politik nasional berubah.
Tidak ada lagi istilah kelompok yang menentang kepemimpinan tertinggi parti termasuk watak politik Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Annuar Musa, Khairy Jamaluddin berada dalam barisan Kabinet mahu pun dalam parti.
Dalam pemilihan parti UMNO misalnya, Zahid Hamidi berjaya menguasai parti dan melakukan pembersihan dalaman parti dan hanya tinggal segelintir sahaja saki baki yang dilihat kurang mesra dengan kepemimpinan tertinggi parti.
Di peringkat Persekutuan pula, apabila Bersatu dan PAS tidak bersama Kerajaan Perpaduan, maka mereka tidak mempunyai jentera yang kukuh untuk berdepan PRN.
Lebih-lebih lagi selepas dana parti sudah dibeku dan dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Maka, PN kehilangan sumber punca kewangan yang besar.
Pada PRU-15, PRN menggunakan banyak banyak wang sehingga Rafizi Ramli pernah mendakwa PN menggunakan figura TikTok sebagai modal kempen politik dan kos bagi seorang pempengaruh TikTok boleh mencecah antara RM20,000 hingga RM50,000.
Ketika PRU-15, sumber dana PN dilihat mewah dan sebab itu mampu menggerakkan kempen di seluruh negara termasuk papan iklan, bendera besar dan kempen di media sosial.
Sekarang kemampuan tersebut sudah terjejas akibat dana dirampas oleh SPRM bagi tujuan siasatan kes. Tambahan pula, imej bersih dan stabil PN terjejas teruk apabila kepemimpinan tertinggi sedang dalam kes mahkamah, kes rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Maknanya, penggunaan imej bersih tidak lagi relevan.
Begitu juga penggunaan aspek etnik dan agama yang banyak diekspolitasi oleh PN pada PRU-15 lalu, kini diberikan perhatian oleh pihak kerajaan kerana dilihat cuba menimbulkan ketakutan, ancaman dan fitnah seperti tuduhan kristianisasi oleh PH jika menang PRU dan tuduhan Anwar sebagai ahli politik liberal dan pro Lesbian Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Kesemua taktik ini juga kini kurang menjadi kerana terdapat pengundi sudah sedar akan manipulasi oleh kempen PN.
Kekuatan Kerajaan Perpaduan
Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar merujuk kepada satu kerajaan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau pemimpin utama.
Dalam konteks ini, Anwar telah mendapat sokongan dan undi percaya secara majoriti di dalam Parlimen untuk membentuk kerajaan dan mengambil alih kepemimpinan negara.
Pengalaman dan kepemimpinan Anwar sukar untuk dipertikaikan kerana beliau merupakan seorang pemimpin veteran dalam politik Malaysia, dengan pengalaman yang luas dalam kerajaan dan politik.
Beliau telah memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan, termasuk sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.
Keupayaan beliau untuk memimpin negara dengan kepemimpinan dan kebijaksanaan yang dimiliki dapat menjadi kekuatan penting bagi Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Sokongan rakyat dan kepercayaan politik kalangan rakyat Malaysia membolehkan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.
Beliau telah memainkan peranan utama dalam pergerakan reformasi politik dan telah mengembangkan wibawa dan reputasi sebagai seorang pemimpin yang berprinsip.
Apabila beliau memimpin sebuah kerajaan, sokongan rakyat yang besar dapat memberikan kekuatan politik yang signifikan dan legitimasi kepada kerajaan tersebut.
Sumber kekuatan
Gabungan kuasa politik berjaya menghimpunkan kekuatan dan sumber kekuasaan politik Anwar.
Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar terdiri daripada gabungan parti politik yang melintasi spektrum politik Malaysia termasuk sumber kuasa politik Sabah dan Sarawak seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.
Gabungan kuasa politik yang melibatkan parti-parti yang berbeza dapat memberikan kerajaan kepelbagaian pandangan dan idea, serta menarik sokongan daripada pelbagai segmen masyarakat.
Situasi ini dapat menghasilkan kestabilan politik yang lebih tinggi dan kemampuan untuk memenuhi keperluan dan harapan pelbagai lapisan masyarakat.
Sepanjang tujuh bulan pemerintahan Kerajaan Perpaduan, aspek rangsangan ekonomi dan pembangunan, telah dikemukakan bagi pelan ekonomi dan pembangunan yang progresif dan berfokus pada pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Konsep Malaysia Madani dijadikan asas bagi menekankan pentingnya meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengurangkan jurang ekonomi dan melaksanakan dasar-dasar yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi lestari.
Namun ini memerlukan tempoh masa bagi pelaksanaan pelan ini dengan berkesan, agar dapat menjadi kekuatan penting dalam memperkuat ekonomi negara.
Cabaran masa kini ialah pembangkang menggunakan pelbagai cara untuk menafikan usaha dilakukan oleh kerajaan.
Segala usaha ekonomi selalu diberikan imej negatif sedangkan Perdana Menteri cuba menstrukturkan semula ekonomi negara dengan memastikan golongan bersasar mendapatkan pembelaaan sewajarnya seperti memperkenalkan kadar tarif elektrik baharu bagi memastikan golongan berpendapatan tinggi tidak mendapat subsidi yang sama seperti golongan bersasar.
Begitu juga perjanjian dicapai bersama Indonesia apabila lawatan Presiden Joko Widodo yang cuba dieksploitasi oleh pembangkang yang menuduh melibatkan isu Ambalat dan Pulau Sebatik serta wilayah sempadan Johor luar iaitu tiga batu nautika dari sempadan Johor.
Di sinilah dapat dilihat betapa usaha kerajaan yang banyak membawa perubahan positif namun diberikan sisi negatif, malah dimanipulasikan untuk dijadikan modal politik PRN yang akan berlangsung Ogos nanti.
Sesungguhnya tindakan melakukan fitnah walaupun memohon maaf selepas itu, bukanlah langkah bijaksana kerana boleh menjejaskan ketidakstabilan politik negara dan boleh menyebabkan pelabur lari.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)