KUCHING: Kemuncak sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada 22 Julai ini akan menjadi satu peristiwa ‘megah’ yang memperkukuhkan identiti serta kebanggaan warga negeri ini menjadi anak Sarawak yang cemerlang dan berjaya.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’, sambutan secara besar-besaran itu nanti akan dimeriahkan dengan perarakan istimewa berkonsepkan perjalanan pembinaan Sarawak sepanjang enam dekad merdeka.
Katanya, selain mengimbau kembali peranan dan perjuangan anak Sarawak, sambutan itu juga menjadi satu momentum penting untuk merenung sejarah, menilai pencapaian dan memahami kepentingan kepelbagaian etnik yang menjadi kekuatan dan keindahan negeri ini.
“Satu perkara yang kita tidak pandang dengan serius ialah perjalanan warga negeri daripada pelbagai kaum dan agama berjaya mengekalkan dan mengukuhkan lagi keakraban dan perpaduan kita di Sarawak ini.
“Itulah keunikan yang ingin kita serlahkan sehingga Kuching diiktiraf sebagai bandar raya perpaduan, dan istilah ‘segulai sejalai’ diiktiraf sebagai slogan perpaduan peringkat kebangsaan.
“Kita ingin membawa warga negeri ke satu tahap dimana kita bangga menjadi anak Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian menerusi temubual di stesen radio CatsFM di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Abdullah berkata, sehari sebelum acara kemuncak tersebut iaitu pada 21 Julai, akan diadakan majlis Kesyukuran Perdana melibatkan semua rakyat pelbagai kaum mengikut agama masing-masing.
Selain itu katanya, pada malam kemuncak nanti akan diadakan jamuan negeri dan pada masa sama turut berlangsung konsert rakyat yang menampilkan beberapa artis jemputan dan pertunjukan bunga api.
Oleh Nickelyson Lakun