Oleh: Benjamin Asin
APABILA kami berbicara mengenai rumah, dia mula menginspirasikan pendapatnya kepadaku. Katanya dengan suara tenang, “Aku mahu sebuah rumah sebesar banglo mewah. Rumah yang indah. Rumah itu bukan sebarang jenis rumah, tetapi rumah yang kuat, kukuh dan dibuat daripada batu-bata konkrit. Di sekeliling rumah itu, akan kuwujudkan sebuah taman bunga. Taman bunga yang akan dihiasi dengan pokok buah-buahan, kolam mandi dan kolam air pancut. Kolam air pancut akan menempatkan pelbagai anak ikan. Kemudian di tepi rumah, aku akan sediakan sebuah garaj. Kereta mewahku akan diletakkan di dalam garaj itu.”
Kelihatan dia begitu seronok menceritakan keadaan bentuk rumah mewah dan keindahan taman yang menghiasi di luar rumah yang sangat diimpikannya. Selang beberapa ketika, dia mula menagih pendapatku. Dia bertanya kepadaku, sama ada rumah yang aku inginkan sama seperti rumah yang diimpikannya.
“Aku menginginkan sebuah rumah yang mampu memberikan ketenangan jiwa dan boleh memberikan kebahagiaan kekal. Aku mahu menghiasi rumah itu dengan cinta kasih yang berkekalan. Intinya ialah ilmu dan iman.”
Dia begitu terkejut dengan jawapanku. Gerak mukanya berkerut. Lantas, dirinya menidakkan jawapanku. Itu bukan definisi sebuah rumah.
“Begitulah pandanganku mengenai definisi sebuah rumah. Definisi yang lahir dari sudut hati kecilku dan persepsi yang lahir dari sudut mindaku.” Kataku, meluahkan pendapat yang sungguh berkeyakinan.
Dia menyoalku kembali.
“Kalau begitu, bagaimanakah sebenarnya bentuk rumahmu itu?”
Aku tahu, dia cuba menuntut jawapan yang pasti daripadaku yang boleh meyakinkannya.
“Bentuk rumahku dibatasi oleh ruang masa. Dindingnya bukan dibina daripada kayu, juga bukan dibina oleh konkrit. Dindingnya terbentuk oleh unsur semula jadi yang tercipta daripada kemunculan Adam, dan kemudian berkembang dengan wujudnya Hawa. Dan rumah itu diwarisi sehingga kini!”
Wajahnya berubah, semakin berkerut. Mungkin pada masa yang sama, mindanya semakin kusut. Kata-kataku sungguh mengelirukan.
“Bentuk rumahmu sungguh aneh. Selama ini, aku tidak pernah mendengar bentuk rumahmu sebegitu rupa.”
Aku tersenyum. Aku yakin bahawa dia bercakap dengan jujur, walaupun dia tidak menyelami dasar makna untuk meyakini bentuk rumahku.
“Aku teringin sangat untuk melihat rumahmu yang aneh itu. Aku mahu melihat rumahmu yang lain dari yang lain dan bukan seperti rumahku atau rumah orang lain. Aku tidak dapat menggambarkan rumahmu itu seperti bentuk sebuah rumah. Di manakah rumahmu itu?”
“Rumahku, ada di sini.”
Jawapanku sungguh mengejutkan. Dahinya berkerut lagi.
“Di mana rumahmu itu?”
Dia cuba menyoalku kembali, situasi agak tegang, kekasihku mencari keyakinan dan jawapan yang pasti.
“Di sini.” Aku ulangi jawapanku. Aku menuding hujung jari telunjukku ke arah kepalaku.
“Ah, itu bukan rumah!” Dia menyanggah jawapanku. Gerak-gerinya, suaranya memprotes.
“Ya, di sinilah rumahku.” Aku tekankan jawapanku sekali lagi. “Kepala inilah rumahku. Di dalam kepala inilah terbentuk mindaku. Mindaku inilah yang menjadi arkitek yang membentuk rumahku. Jika aku mahu sebuah rumah yang besar dan cantik, arkitek ini yang akan membentuk keinginanku untuk mewujudkan sebuah rumah yang besar dan cantik untukku.”
“Sama sekali aku tak percaya kepalamu itu adalah rumahmu. Aku tak percaya, mindamu itu adalah arkitek rumahmu.”
“Adakah kamu tahu akan maksud rumah?”
Seketika, dia tidak lagi ligat menjawab pertanyaanku. Dia hanya mendiamkan diri, seakan sedang berfikir panjang. Dia menggaru-garu kepalanya yang kelihatan tidak gatal. Lantas, dirinya terus mencari kamus Dewan Bahasa yang tersergam indah di rak bukunya.
“Ikut kamus, rumah adalah sebuah bangunan. Digunakan sebagai tempat tinggal.” Dia mula mendefinisikan sebuah rumah mengikut olahan pendapatnya sendiri.
“Rumahku ini merupakan sebuah bangunan. Strukturnya terbina daripada sebuah rangka yang tidak dapat disentuh, tetapi dapat dirasakan melalui emosi dan perasaan. Sangat sensitif. Perabot yang menghiasi di dalam rumahku terdiri daripada perabot yang tidak dapat diproses dan diwujudkan di kilang-kilang. Kewujudannya sangat semulajadi, tetapi ia sentiasa dipelihara dengan baik, agar kualitinya tidak terjejas.”
“Mengapakah perabotmu sungguh aneh? Adakah perabot itu wujud juga di dalam mindamu?” Dia mula melayari keinginannya yang terlakar daripada minat untuk membicarakan komponen rumahku.
“Tepat sekali. Perabot itu wujud di dalam mindaku yang menghiasi setiap ruangan di dalam rumahku. Perabot itu wujud dalam bentuk persepsi, interpretasi, gambaran yang bersifat khayalan dan imaginasi. Perabot itu akan mendatangkan pantulan yang bersifat reaksi, bergantung bagaimana kita menyusun atur kedudukan perabot itu.”
“Boleh engkau berikan gambaran bagaimana perabot rumahmu itu bertindak balas jika engkau meletakkannya di tempat yang kau inginkan?”
Aku tersenyum mendengar pertanyaannya. Aku dapat merasakan teori rumahku telah mula memikat hatinya. Sungguh berkesan caraku memikat hatinya.
“Apabila aku meletakkan perabot itu pada kedudukan yang betul, ia akan memberikan tindak balas pantulan yang memberangsangkan.” Jelasku kepadanya.
“Perabot pertama yang bernaung di rumahku adalah persepsi.” Jelasku kepadanya. “Misalnya, jika kita membuat persepsi, mengimaginasikan sesuatu secara positif, maka keputusan akhirnya juga positif. Misalnya, persepsi visi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Visi ini memberikan dorongan kuat untuk kita sama-sama bersemangat untuk membentuk sebuah keluarga di Malaysia yang utuh dengan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Tiada yang mustahil jika direalisasikan andai kata persepsi kita menuju ke arah itu.”
“Bagaimana pula jika kita merealisasikan persepsi yang didorong oleh visi Keluarga Malaysia?” terusnya mencela untuk minta penjelasan lanjut daripadaku.
“Buktinya, sudah banyak. Hasilnya sudah menjadi lakaran sejarah yang mengangkat kejayaan tanah air. Misalnya, kejayaan enam orang pelajar Malaysia yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang sarjana muda di Universiti Harvard bagi sesi 2026 merupakan rekod tertinggi bagi kemasukan anak Malaysia ke universiti berprestij dunia itu. Persepsi Keluarga Malaysia juga telah dibuktikan kejayaan Citrawarna Keluarga Malaysia yang bertemakan Temasya Kepelbagaian Budaya di Sarawak anjuran MOTAC dan aktiviti ini pertama kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia. Pada suatu hari nanti, akan lahir beberapa orang anak Malaysia yang mampu mengangkat nama Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa selagi persepsi kita terarah kepada visi Keluarga Malaysia.
“Bagaimana pula dengan perabot lain yang menghiasi minda kita, rumah kita di kepala kita?” terus dia melompat kepada pertanyaan lain. Perabot pertama berkenaan dengan persepsi tidak berlegar pada pemikirannya. Mungkin fikirannya masih kabur.
“Perabot kedua yang menghuni minda kita adalah interpretasi,” kataku.
“Bagaimana caranya engkau menjelaskan perkara ini?” katanya terus menyampukku dengan perasaan ingin tahu.
“Jawapannya mudah. Ia berkaitan dengan pentafsiran kita terhadap sesuatu. Misalnya, jika kita mentafsirkan visi Keluarga Malaysia, ia merupakan suatu anjakan paradigma yang boleh memulihkan negara ke landasan yang betul dikala negara mengalami kedukaan semasa musim pandemik Covid-19. Maka, interpretasi kita kepada visi itu bersifat global. Pemikiran kita tidak akan berada di bawah tempurung kelapa lagi. Kita akan bersama-sama memandang masa depan bagi membawa negara cemerlang, gemilang dan terbilang. Kita pendukung bersama visi itu. Kita adalah keluarga Malaysia.”
“Ooo..begitu.” Dia mengangguk-anggukan kepalanya. Barangkali bersetuju dengan konsep rumah yang diimpikanku.
“Apakah lagi perabot lain yang menghiasi minda kita?” Pertanyaannya diteruskan dengan menggali pengetahuanku mengenai rumah mindaku ini.
“Imaginasi.” jelasku bersahaja.
“Bagaimana imaginasi menghiasi dan menjadi perabot di dalam minda kita?” tanyanya menuntut agar aku menjelaskannya dengan lebih terperinci.
“Mudah sahaja.” jawabku.
“Apakah terdapat contoh yang mudah difahami?”
“Bukankah engkau telah menerangkan kepadaku sebentar tadi,” jelasku kepadanya.
“Aneh sekali. Apakah yang telah aku jelaskan kepadamu?” Keliru menguasai dirinya.
Aku ketawa kecil. “Bukan tadi awak telah menjelaskan bentuk rumah impianmu kepadaku?”
“Adakah ia berkenaan ciri-ciri rumah mewah yang aku ingin miliki tadi?”
“Ya.” Aku mengangguk kepalaku. “Sebenarnya, idea rumah yang awak impikan itu dilakarkan dari mana?”
“Dari mindaku.” jawabnya perlahan.
“Bukankah ia tercetus daripada imaginasi yang bertakhta di mindamu?” soalku bersahaja.
Dia terdiam seketika. Kemudian mengganggukkan kepalanya.
“Ya, betul juga.” katanya dengan reaksi bersahaja.
“Kita telah menyentuh mengenai tiga buah perabot yang menghiasi minda kita. Adakah lagi terdapat perabot lain yang berada di minda kita?” katanya memohon pendapatku sekali lagi.
“Banyak. Salah satu perabot yang paling digemari dan bersifat dominan dalam kepala kita dalam minda kita ialah kreativiti.”
“Ya, itu aku tahu.” jawabnya lantang. Barangkali dia malu meminta aku mengulas panjang mengenai hal ini, dugaku.
“Sebenarnya, minda kita adalah sebuah rumah besar. Ia berfungsi sebagai rumah ilmu. Segala jenis ilmu diproses di dalam minda kita. Definisinya sama seperti sebuah kilang yang memproses dan mengeluarkan pelbagai jenis produk. Produk tersebut adalah ilmu. Sama ada ilmu itu berkualiti atau memberikan manfaat yang besar, ia bergantung kepada bagaimana bentuk bahan yang diterima dan diproses dalam minda kita,” jelasku mengakhiri perbualanku tentang minda yang aku anggap sebagai rumah.
“Ooo..begitu rupanya. Sekarang aku sudah memahami istilah rumah di dalam mindaku,” Dia mengangguk faham.
Selepas kami berbual panjang dan bersiap sedia untuk ke majlis perasmian Makan Malam Keluarga Malaysia di kawasan perumahan tersebut, baru aku tersedar bahawa kami asyik berbual sahaja. Walaupun kami baru berkenalan selama lima hari, namun isi hatinya masih mencari-cari siapakah aku di hatinya. Lalu, aku memperkenalkan diriku kepadanya.
“Ini kadku,” kataku kepadanya. Dia melihat pada permukaan kad kecil itu dan melihat namaku tertulis. Di bawah kadku tertulis pekerjaanku sebagai seorang arkitek rumah.
“Itulah namaku dan pekerjaanku,” kataku kepadanya.
“Ooo..namamu Encik Mohammad Arkheetek dan pekerjaanmu arkitek rumah.”
Gilirannya pula memperkenalkan dirinya.
“Namaku Asmawati. Aku seorang graduan universiti yang mengambil jurusan seni reka grafik.” Kelihatan wajahnya sungguh ceria.
“Aku amat bertuah kerana dapat berkongsi ilmu yang banyak dengan Encik Mohammad Arkheetek mengenai rumah.” katanya sambil tersenyum.
“Sebenarnya, mengenai perkara yang kita bualkan tadi, ia merupakan kupasan serba-sedikit ilmu mengenai rumah. Jika kita berkelapangan lagi, mungkin kita boleh berjumpa lagi mengenai topik yang lain pula.” Kataku kepadanya. Hatiku sudah berbunga dan namanya sudah tersemat sebagai kekasih hatiku.
“Ya. Aku pula suka berbual dengan orang yang berilmu. Aku hanya mahu mengisi rumahku yang kosong ini dengan ilmu yang bermanfaat. Aku hanya mahu rumahku dipenuhi cinta kasih yang berkekalan,” katanya kepadaku.
Aku tersenyum puas. Hatiku gembira. Kini, dia sudah pandai berbicara mengenai rumah. Walaupun kelihatan mukanya marah pada awal tadi, namun jiwanya sudah mendalami sebuah rumah keluarga pada masa depan. Itupun seandainya jodoh kami berkekalan sehingga ke akhir hayat. Dia sudah dapat menerima dan memahami konsep rumah yang cantik dan indah. Sebuah rumah keluarga yang dihiasi dengan sebuah taman kasih yang berkekalan. Bunga-bunganya berintikan iman dan ilmu.