VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Sememangnya tidak dinafikan ramai penduduk menarik nafas lega apabila premis perniagaan di bandar kembali beroperasi semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasa pada 4 Mei lepas.
Bagaimanapun di sebalik kelegaan tersebut, segelintir penduduk nyata masih belum berpuas hati terhadap penguatkuasaan PKPB kerana arahan itu masih tidak membenarkan perniagaan kedai gunting rambut dan salon kecantikan dibuka sehingga sekarang.
Walaupun langkah kerajaan berhubung perkara itu ada kebaikannya namun penduduk berpendapat ketiadaan kedai gunting rambut dan salon menyebabkan rambut mereka sukar diurus.
“Saya terpaksa mengunting rambut ketiga-tiga anak lelaki saya kerana sudah terlalu panjang… sudah tentu hasilnya memang sangat kurang elok namun ia lebih baik daripada tidak digunting langsung,” kata seorang guru yang enggan namanya didedahkan di sini.
Kata guru tersebut adalah sukar buat dirinya untuk mencari individu yang mahir mengunting rambut sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPB kerana ketiadaan premis yang menawarkan perkhidmatan seperti itu pada masa sekarang.
“Akhirnya saya terpaksa merujuk kepada media sosial untuk belajar cara menggunting rambut anak-anak dan rambut diri sendiri walaupun hasilnya amat ‘melucukan’,” kata guru berkenaan sambil berseloroh.
Sementara itu seorang pekerja swasta, Ellygina Lemba berpendapat kerajaan perlu memberi kelonggaran kepada kedai menggunting rambut dan salon kecantikan untuk kembali beroperasi berpandukan prosedur operasi standard (SOP).
Menerusi SOP tersebut, dia mencadangkan supaya kedai gunting rambut dan salon kecantikan mewujudkan sistem janji temu untuk pelanggan yang memerlukan perkhidmatan mereka sepanjang penguatkuasaan PKPB.
“Kedai menggunting rambut dan salon kecantikan boleh menyediakan nombor telefon untuk pelanggan bagi tujuan janji temu bagi menentukan tarikh dan masa yang mereka boleh hadir mendapatkan perkhidmatan tersebut.
“Bagaimanapun bilangan pelanggan haruslah dihadkan untuk satu tempoh masa. Saya percaya jika SOP untuk perkhidmatan seperti ini diwujudkan mungkin kita masih dapat menyekat penularan pandemik Covid-19 di premis berkenaan,” katanya.
Ellygina juga berpendapat garis panduan PKPB perlu kekal diperketat dalam premis tersebut dengan pengusahanya mengenakan Peralatan Perlindungan Diri.
“Persoalannya sekarang ialah sampai bila perkhidmatan ini perlu dilarang? Penjawat awam dan pekerja swasta yang amat mementing penampilan diri sememangnya terkesan terhadap larangan ini berbanding petani di kampung.
“Justeru kami mohon agar pembuat dasar mempertimbangkan semula pembukaan kedai rambut dan salon kecantikan di negara ini berpandukan SOP,” kata seorang mekanik, Nasir Wan Ibrahim.
Selain kedai gunting rambut dan salon kecantikan, kerajaan di bawah PKPB ini juga masih melarang pembukaan premis perniagaan seperti panggung wayang, pusat hiburan, karaoke dan kelab malam.