MENGERJAKAN Haji merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam di seluruh dunia. Mengerjakan ibadah haji juga memenuhi salah satu Rukun Islam, di mana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakannya tetapi ia bergantung kepada kemampuan seseorang itu. Oleh itu, setiap tahun akan ada umat Islam yang mengerjakan ibadah haji.
Umat Islam di Sarawak juga tidak terkecuali untuk menunaikan ibadah tersebut. Tahun ini sahaja, seramai 936 umat Islam dari Sarawak telah dipilih oleh Tabung Haji untuk menunaikan ibadah haji. Kunjungan umat Islam dari Sarawak ke Makkah menerusi ibadah haji memang tidak pernah terhenti kecuali apabila dunia dilanda wabak Covid-19 menyebabkan kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan untuk menyekat urusan itu dijalankan.
Namun, larangan ini tidak kekal dan kerajaan Arab Saudi membuka semula Kota Makkah kepada umat Islam secara beransur-ansur mulai 2020 dan hari ini, ramai umat Islam berjaya menunaikan ibadah tersebut.
Bagaimana ibadah ini dijalankan di Sarawak semasa Zaman Pemerintahan Raja Brooke? Apa yang kita tahu adalah sebelum campur tangan orang Barat, umat Islam di Sarawak telah melakukan ibadah itu.
Pembesar ke Makkah
Namun demikian, kehadiran dan kewujudan pemerintahan Raja Brooke di Sarawak tidak menghalang umat Islam di Sarawak untuk ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji. Ini kerana kerajaan Brooke terikat kepada perjanjian dengan Sultan Brunei yang meminta James Brooke menghormati ajaran agama Islam.
Oleh itu, umat Islam di Sarawak bebas melakukan amalan tersebut.
Hal ini boleh dilihat dengan pembesar Melayu Sarawak pernah ke Makkah untuk menunaikan ibadah itu. Pada 1859 misalnya, Datu Bandar Bolhassan telah menunaikan ibadah haji. Sebelum itu pada 1854, Datu Patinggi Abang Abdul Ghapur telah diminta oleh Raja James Brooke untuk menunaikan haji ke Makkah kerana disyaki menentang Pemerintah Brooke ketika itu.
Pada 1921, Datu Bandar Abang Kassim dan isterinya, Dayang Sahadah juga antara pembesar Melayu yang pernah mengerjakan haji di Makkah. Kedua-dua mereka pula meninggal dunia semasa mengerjakan haji pada tahun itu.
Ini sebahagian sahaja catatan mengenai pembesar Melayu Sarawak yang menunaikan haji di Makkah.
Selain itu, terdapat juga sedikit catatan mengenai orang biasa menunaikan haji di Makkah. Antara yang disebut dalam catatan adalah Mohamed Salleh dan Abdullah yang menunai haji pada 1909. Data jumlah lengkap tentang umat Islam di Sarawak mengerjakan haji, tidak ada.
Hanya beberapa catatan dibuat oleh pegawai Brooke tentang hal ini. Contohnya pada 1911 sahaja, seramai 235 orang Islam dari Sarawak menunaikan fardhu haji dengan pecahan 91 orang dari bahagian Hilir Rajang, 61 orang dari Kuching, 43 orang dari Sibu dan selebihnya dari tempat-tempat lain. Pada 1924 pula lebih 100 orang Melayu telah mengerjakan haji. Kebanyakan yang mengerjakan haji ini adalah dari Hilir Rajang.
Masalah
Ibadah haji ke Makkah ini juga mendapat perhatian daripada kakitangan kerajaan Brooke tentang kesan tidak langsung ibadah ini dijalankan. Residen Bahagian Kedua, H. L. Owen pernah menyatakan rasa kurang senang berkaitan sesetengah umat Islam yang mengerja haji apabila terpaksa menjual tanah dan harta benda mereka untuk mengerjakan haji.
Mengenai bayaran haji ini, pembesar Melayu telah memberi beberapa ketetapan untuk sesiapa yang hendak mengerja haji. Pada 1926, ditetapkan perbelanjaan haji adalah tidak boleh kurang daripada AS$650 bagi seorang.
Pada 1937, satu peraturan telah dikeluarkan untuk memperincikan perbelanjaan mengerjakan haji. Mereka yang hendak mengerjakan haji akan singgah dahulu ke Singapura. Atas sebab itu, maka dinyatakan tambang dari Singapura ke Jeddah. Namun demikian tidak dinyatakan perbelanjaan tambang dari Sarawak ke Singapura.
Tambang dari Jeddah ke Makkah dan Madinah juga dinyatakan dalam peraturan tersebut. Terdapat juga perbelanjaan menziarahi makam-makam di Makkah. Rangkuman dalam perbelanjaan ini juga adalah pembelian pakaian dan makan minum di Makkah. Keseluruhan perbelanjaan ini adalah berjumlah AS$700.
Jika dilihat dari segi nilainya, tambang mengerjakan haji ini bertambah sejak 1926. Yang menariknya dalam peraturan ini, tidak ada perbelanjaan mengurus, dan berkemungkinan ditanggung oleh pihak kerajaan Brooke ketika itu.
Dalam peraturan itu juga dinyatakan jumlah wang diberi mengikut masa-masa tertentu. Pertama semasa berada di Singapura sebanyak AS$300 diserahkan kepada jemaah haji, manakala di Jeddah pula sebanyak AS$350 diserahkan kepada jemaah haji tersebut. Semasa hendak balik pula sebanyak AS$50 akan diberi kepada jemaah haji.
Ibadah haji di Sarawak pada Zaman Brooke ini telah diurus oleh Balai Datu. Sesiapa yang hendak mengerjakan haji ketika itu hendaklah memaklumkan Balai Datu. Balai Datu pula akan menghantar nama-nama mereka mengerja haji ini ke Konsul Sarawak di Jeddah. Konsul inilah akan mengurus pelbagai perkara berkaitan jemaah haji Sarawak termasuk masalah dan kematian.
Halangan
Walaupun terdapat kebebasan mengerjakan haji dalam kalangan umat Islam di Sarawak, kerajaan Brooke juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang masalah timbul daripada fenomena global seperti pendemik penyakit berjangkit. Larangan tidak membenarkan mengerja haji dapat dilihat pada 1897 apabila berlaku wabak penyakit di Semenanjung Arab yang dibimbangi akan merebak ke Sarawak.
Selain penyakit, kekacauan berlaku di Hijaz pada pertengahan 1920-an juga mendapat perhatian kerajaan Brooke. Atas sebab itu kerajaan Brooke telah mengeluar arahan untuk melarang umat Islam di Sarawak mengerjakan haji.
Tujuan larangan ini untuk menjaga keselamatan umat Islam Sarawak. Kerajaan Brooke juga akan memantau keadaan ini sehingga ia reda dan membolehkan umat Islam di Sarawak mengerjakan haji semula.
Ibadah haji tetap menjadi keutamaan umat Islam di Sarawak walaupun dibawah kerajaan Brooke. Umat Islam Sarawak boleh mengerjakan haji dengan bebas kecuali dalam keadaan tertentu.
Akhir sekali, saya mengucap Selamat Aidiladha.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.