AUCKLAND: ‘Formula Sarawak’ iaitu keharmonian dan persefahaman agama dan kaum, harus dikongsi dengan masyarakat lain di luar Bumi Kenyalang sebagai asas hubungan antara agama dan kaum di seluruh dunia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai seorang pemimpin Islam yang ditugaskan untuk mentadbir dan membangunkan Sarawak berbilang agama dan kaum, beliau bertanggungjawab untuk berlaku adil kepada semua.
“Saya bertanggungjawab untuk memastikan pentadbiran adalah inklusif dan hak serta kepentingan semua kaum dan agama dilindungi berdasarkan lima prinsip ‘maqasid syariah’
“Adalah menjadi kewajipan saya untuk memastikan agama lain selain Islam diberi peluang selari untuk berkembang maju berdasarkan lima prinsip Maqasid iaitu perlindungan nyawa, perlindungan harta, perlindungan kesihatan, perlindungan terhadap agama, dan perlindungan maruah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertemuam dengan wakil negara anggota Majlis Dakwah Islam Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di sini, hari ini.
Ini adalah lawatan rasmi pertama Abang Johari ke negara anggota RISEAP itu sejak pemilihannya sebagai Presiden RISEAP Januari lalu.
Hadir sama adalah wakil dari negara anggota Australia, Fiji dan Papua New Guinea.
Abang Johari juga menarik perhatian bahawa di Sarawak agama lain dibantu melalui Unit Hal Ehwal Agama-agama lain (UNIFOR).
Ini katanya, bagi memastikan mereka mempunyai tempat ibadat yang sesuai dan bermaruah selaras dengan perlindungan agama dan menegakkan maruah manusia dan agama.
“Tahun ini saya memberi UNIFOR RM100 juta untuk agama lain di Sarawak membina rumah ibadat mereka.
“Penghormatan mesti diberikan kepada kaum dan agama lain kerana penghormatan hanya boleh diperoleh dalam pembangunan agama dan kaum yang inklusif.
“Malah pembiayaan juga diberikan untuk tujuan operasi di sekolah, terutamanya semasa pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan masyarakat Islam juga mesti disesuaikan dengan perubahan teknologi yang pantas pada era sekarang dan inisiatif ke arah menangani perubahan iklim dan kelestarian.
Katanya, Sarawak sedang menjurus ke arah memperkenalkan ekonomi digital, peningkatan sfera penyelidikan, pembangunan hidrogen dan ekonomi hijau, dan pelbagai inisiatif mencegah perubahan iklim seperti penggunaan penyimpanan dan penyerapan karbon (CCUS) serta perdagangan karbon.
“Di manakah kita sebagai umat Islam dalam hal mengurus negara dan tugas sebagai umat Islam?”
“Pendekatan kedua paling penting di bawah kepimpinan saya ialah tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan bakat.
“Bagi tujuan ini, lima sekolah antarabangsa berdasarkan sukatan pelajaran Cambridge dan satu sekolah antarabangsa Islam sedang ditubuhkan di Sarawak untuk memastikan kedudukan global negeri dalam pendidikan,” katanya.
Terdahulu, wakil negara anggota dari Australia, New Zealand dan Fiji turut membentangkan laporan mereka.