KUCHING: Sudah pun sampai di lokasi majlis untuk mengacarakan majlis namun ditolak saat akhir.
Pihak penganjur membatalkan hasrat untuk menggunakan khidmat sebagai pengacara majlis atas alasan nama DJ Sonic tidak cukup ‘gah’.
Khuatir jika program diteruskan dan acara dikendalikan itu tidak mungkin tular dalam media sosial.
Tempah Grab dan terus balik, pihak penganjur hanya kata ‘maaf, lupa hendak maklumkan’.
Pernah tidur di jalanan sekitar Tebingan Kuching gara-gara takut terlepas jam untuk mengendalikan sebuah acara.
Pernah juga pernah dihalau dari rumah sewa dan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk makan.
Itulah lumrah perjalanan anak seni, Awang Suffian Awang Hussein atau lebih dikenali sebagai DJ Sonic.
Anak kelahiran Kapit yang kini berumur 44 tahun itu, bertekad untuk terus berkarya dan tidak berputus asa meskipun perjuangan sukar.
Mengenang kembali kenangan tersebut, tercalon dalam senarai lima calon awal (Top 5) kategori Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 sekali gus merasakan perjalanan 15 tahun itu dihargai.
“Saya menzahirkan rasa syukur dan terharu setelah pencapaiannya itu akhirnya dihargai.
“Hampir 15 tahun saya berada di Semenanjung Malaysia dan sepanjang tempoh itu juga melantik diri sebagai ‘duta Kapit dan Sarawak’ tanpa putus asa cipta dan lakar sejarah manis buat Bumi Kenyalang kepada kepada pendengar,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, malam tadi.
“Saya berasa amat bangga dengan pencapaian ini kerana perjalanan untuk sampai ke tahap ini sangat tidak mudah.
“Setiap kali bersiaran, akan saya selitkan lagu bahasa Iban selain pelbagai elemen menarik dikongsikan untuk memperkenalkan bukan sahaja Kapit bahkan Sarawak terutamanya.
“Sebagai anak Sarawak, saya melihat ini (pencalonan Top 5) sebagai satu peluang untuk merancakkan lagi usaha bagi mempromosikan Sarawak baik dalam aspek makanan, kraftangan, budaya dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, DJ Sonic yang juga alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) pernah dicalonkan dalam kategori sama pada edisi ke-24 ABPBH iaitu pada 2011.
Oleh RYNNA SHA’ERRA