SEBUAH syarikat korporat terkemuka di negeri ini, mencatat keuntungan lebih daripada RM1 bilion bagi tahun kewangan 2022 dan dikenakan cukai yang agak tinggi oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Duit ratusan juta ringgit terpaksa dipindahkan menyeberangi Laut China Selatan semata-mata bagi membayar cukai korporat.
Bukankah lebih baik mengambil sebahagian daripada ‘bayaran cukai’ itu untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR)? Jika gunakan RM30 juta sekali pun, ia boleh dikecualikan daripada cukai.
Pelaksanaan program CSR membolehkan sesebuah syarikat mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967. Berdasarkan peruntukan itu, syarikat atau penyumbang layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.
Sumber memberitahu penulis, berikutan itu syarikat terbabit mahu melakukan CSR iaitu sesuatu yang boleh menjadi ikonik serta kenang-kenangan di Bumi Kenyalang ini. Maka diusulkan projek tiang bendera.
“Syarikat ini meraih pendapatan lebih RM1 bilion tahun lalu dan dikenakan cukai begitu tinggi oleh LHDN. Dengan mengadakan CSR ini, duit itu lebih baik dibelanjakan untuk kemudahan asas di Sarawak,” kata sumber yang rapat dengan Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya.
Pihak Kerajaan Negeri bersetuju dengan cadangan projek tiang bendera kerana tidak membabitkan satu sen pun duit rakyat atau dana awam. Maka, cadangan diterima untuk membina tiang bendera tertinggi berdekatan Kubu Margherita dan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di tebingan sungai Sarawak.
Kini projek itu sedang dalam pembinaan dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai agensi pelaksana dan KKB Engineering Berhad sebagai kontraktor reka bentuk dan pembinaan.
DIJANGKA SIAP NOVEMBER
Menurut Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Mohamed Khaidir Abang pembinaan projek ‘tiang bendera gergasi’ itu kini mencapai 66.97 peratus iaitu 3.5 peratus lebih awal daripada jadual asal.
Katanya, tiang bendera setinggi 99 meter dengan berat strukturnya melebihi 120 tan metrik, akan menjadi satu ikonik baharu di Kuching sekali gus menjadi tiang tertinggi di Malaysia.
Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 30 November tahun ini terutama di bahagian dataran. Tiang bendera dan kawasan sekitarnya, dilaporkan menelan belanja RM30 juta untuk dibina.
Bendera Sarawak berukuran 25 meter panjang dan 12.5 meter lebar mula dikibarkan di tiang itu pada 17 Jun lalu.
Sebenarnya, jika siap nanti tiang bendera setinggi 99 meter itu, menjadikannya bukan sahaja tertinggi di Malaysia, malah Asia Tenggara serta ke-12 tertinggi di dunia.
Ini sekali gus menjadikannya empat meter lebih tinggi berbanding tiang bendera di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, kini tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara dengan ketinggian 95 meter.
Menerusi tiang bendera di Dataran Merdeka Kuala Lumpur itu, Malaysia pernah memegang rekod sebagai negara pertama memiliki tiang bendera tertinggi dunia (setinggi 95 meter) selama 23 tahun sejak 1957 hinggalah 1980 apabila Korea Utara mendirikan tiang bendera lebih tinggi.
REKOD TAK STATIK
Namun, rekod Korea Utara bertahan selama 21 tahun apabila ia dipintas oleh oleh Abu Dhabi.
Kini, tiang bendera tertinggi dunia terletak di Jeddah, Arab Saudi iaitu pada ketinggian 170.6 meter. Tiang bendera Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pula kini yang ke-12 tertinggi di dunia.
Berada pada kedudukan ke-11 ialah tiang bendera di Belgaum atau Belagavi, India pada ketinggian 110 meter.
Sepatutnya, projek tiang bendera di Sarawak itu ditinggikan lagi kerana ia cuma beza 11 meter dengan di Belgaum (India) yang berada pada kedudukan ke-11 tertinggi dunia. Tiang bendera di Belgaum atau Belagavi, India itu adalah pada ketinggian 110 meter.
Bagaimanapun, rekod semuanya itu tidak pernah statik. Hari ini tertinggi, esok lusa ada lagi yang lebih tinggi dan gah – satu saingan dalam dunia moden.
Untuk tempoh beberapa tahun lagi akan muncul rekod baharu tiang bendera tertinggi dunia di Kaherah, Mesir pada ketinggian 201.9 meter iaitu 31 meter lebih tinggi berbanding tiang bendera tertinggi sekarang di Jeddah. Ia mula dibina pada Disember 2021.
Bagaimanapun, Sarawak tidak terlepas daripada kritikan dengan hasrat membina tiang bendera tertinggi itu hingga ada yang membandingkan harga membina sebuah gereja dan masjid terapung yang dikatakan tidak jauh beza kosnya.
Dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyandang jawatan Perdana Menteri keempat, dikecam kiri dan kanan apabila mula membina Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah apabila merancang membuka Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Andai Dr. Mahathir tunduk kepada pelbagai desakan dan kritikan ketika itu, tidak adalah Menara Berkembar Petronas dan tiada wujudlah KLIA.
Bagi Sarawak, tidak kurang juga kecaman terhadap projek tiang bendera tertinggi bernilai RM30 juta itu meskipun ia dibiayai swasta.
Tetapi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini pernah menyatakan projek tiang bendera itu sebenarnya bukan isu.
“Ia adalah untuk mengingatkan rakyat Sarawak mengenai sejauh mana (pencapaian) negeri ini telah dicapai, terutamanya apabila menuntut kembali haknya. Saya percaya semua rakyat Sarawak tahu bahawa negeri kita telah ditadbir dengan baik, dan pulangan seperti dalam bentuk hasil minyak dan gas (O&G) adalah baik,” katanya.
Beliau juga merujuk kepada projek Air Pancut Berirama Darul Hana, yang dibina di hadapan tebingan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan sekarang menjadi antara tarikan utama pengunjung ke Bandar Raya Kuching.
Hakikatnya, pembinaan tiang bendera itu bukan sekadar suka-suka, tetapi bertujuan memperingati kemerdekaan Sarawak 60 tahun supaya generasi baharu mengenali sejarah negeri.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak