PUTRAJAYA: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR 3) akan disalurkan secara berperingkat kepada lebih lapan juta golongan B40 yang layak bermula 26 Jun ini, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
MoF menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran STR 3 membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion dan penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.
Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank bermula 26 Jun hingga 5 Julai ini.
Penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak pula akan menerima pembayaran tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 26 Jun.
Pada 13 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata STR 3 akan dibayar kepada penerima golongan B40 sebelum sambutan Hari Raya Haji.
MoF memberitahu status kelulusan STR 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun ini dan tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai ini.
Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
MoF turut memaklumkan STR fasa pertama dan kedua telah disalurkan masing-masing pada Januari dan April lepas.
Ketiga-tiga fasa STR itu melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi 2023 dan pembayaran fasa keempat STR dijangka pada November ini. – Bernama