KOTA SAMARAHAN: Satu Memorandum Persefahaman (MoU) termeterai antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Institut Penyelidikan Sehati (SRI) atas komitmen kerjasama dalam bidang penyelidikan.
Pemeteraian MoU tersebut melibatkan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Pengarah Urusan SRI Dr Voon Jan Cham serta disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin pada satu majlis menandatangani MoU yang diadakan bersempena Hari Terbuka
Penyelidikan bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Institut Pengajian Borneo (IBS), semalam.
UNIMAS menerusi satu kenyataan media memaklumkan bahawa MoU ini UNIMAS melalui IBS dan SRI akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan termasuk penerbitan, latihan dan penglibatan komuniti.
“Kerja akan menumpukan pada pembangunan dan meluaskan inkuiri intelektual untuk penyelidikan Sino-Borneo, kawasan penyelidikan yang sangat diperlukan di rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, inisiatif antara kedua-dua institut penyelidikan ini akan membolehkan dialog dan penerbitan ilmiah dengan lebih baik, mencapai masyarakat Sino-Borneo di semua peringkat, untuk meningkatkan kesedaran, minat dan penyertaan dalam agenda masa depan Sarawak.
Untuk rekod, SRI ditubuhkan pada 2018 dan telah menerbitkan laporan mengenai agenda pembangunan Sarawak, ekonomi digital, transformasi luar bandar, reformasi pendidikan dan tindak balas Covid-19.
Sementara itu, IBS merupakan pusat penyelidikan di bawah UNIMAS yang ditubuhkan pada 1994 dan memberi tumpuan kepada penyelidikan antara disiplin dan kolaboratif mengenai pelbagai aspek Borneo.