Oleh: Abang Median Abang Said
SEMEMANGNYA, hubungan manusia dengan tuhan adalah dalam bentuk yang vertikal namun memberi impak kepada hubungan yang horizontal yakni mencakupi hubungan sesama manusia lain dan dengan lingkungannya. Oleh itu, sandaran kepercayaan seseorang itu kepada tuhan menyebabkan tindakan-tindakannya juga terarah kepada kepentingan masyarakat. Manusia turut mengejar kepuasan diri sebagai salah satu cabang pengabdian diri. Lantas, manusia yang percaya dengan wujudnya tuhan akan mempunyai matlamat hidup dan melakukan sesuatu yang berfaedah untuk dirinya sama ada di dunia atau di akhirat. Secara umumnya, itulah yang cuba dilakukan oleh Nabillah Bolhassan menerusi cerpennya “Bekalan Ke Negeri Abadi”. Kunkel, seorang tokoh psikologi, meletakkan nafsu-nafsu manusia yang didasari oleh kehendak berdasarkan tindakan-tindakan mereka dalam mengendalikan hidup masing-masing yang digelarnya dengan istilah ‘termometer harga diri’. Sebagai makhluk berketuhanan, diri manusia dinilai berdasarkan niatnya. Perkara itulah yang menggerakkan pengarang termasuk watak utama cerpen ini – Guru Hasnah – dalam melakukan kebaikan dengan menyebarkan ilmu agama kepada murid-muridnya.
Seseorang pengarang pada asasnya akan berkarya atas dorongan niat untuk merakamkan pengalaman hidupnya atau menulis tentang pengetahuannya dengan hasrat menyebarkan maklumat dan mengajar masyarakatnya melalui karya yang berunsur didaktik. Sesetengah pengarang yang berkarya hanya untuk mencuba bakat, mencari kepuasan seni atau ada juga menulis hanya untuk berdakwah. Niat atau leitmotif pengarang itu akan terserlah melalui garapan tema dan persoalan dalam karya yang dihasilkannya.
Cerpen “Bekalan Ke Negeri Abadi” mengetengahkan tema tentang keikhlasan seorang guru agama dalam mendidik anak-anak kampung mengenal huruf – alif, ba, ta – kemudian belajar membaca Iqra’dan seterusnya lancar membaca al-Quran sehinggalah tahu hukum tajwid dan sebutan huruf dengan makhraj yang betul. Mawar telah dihantar oleh ayahnya untuk belajar mengaji bersama Guru Hasnah pada hujung minggu setelah menghabiskan waktu petang pada hari biasa dengan belajar ilmu agama di sekolah. Apabila ditanya oleh ayah Mawar tentang bayaran atau upah untuk mengajar Mawar mengaji, dia hanya menjawab ringkas – seikhlas hati. Ayah Mawar dahulu juga telah belajar mengaji dengan Guru Hasnah tanpa sebarang bayaran. Namun kali ini, ayah Mawar – Saiful – telah memberikan wang sebanyak RM100 sebagai saguhati kepada Guru Hasnah. Pada awalnya, dia menolak kerana jumlah itu terlalu banyak. Kata Guru Hasnah, “Aku takut disoal di akhirat kelak Saiful, kerana mengambil upah yang banyak mengajar ilmu Al-Quran.”
Menelusuri sejarah penghasilan karya kreatif di Barat sepintas lalu sejak zaman Plato lagi, didapati niat awal pengarang berkarya adalah untuk mengekspresikan pengalaman peribadi terutama yang berkaitan dengan cinta – ya, cinta kepada tuhan sehingga sering menjadi tunggak penghasilan karya kreatif. Seseorang pengarang akan cuba mengekspresikan perasaan cinta murni yang mereka rasai kepada tuhan, kemudian pengertian cinta itu dikembangkan lagi sehingga merangkumi pelbagai variasi fahaman humanisme. Perasaan cinta Guru Hasnah dengan kerjayanya untuk menyuburkan ilmu agama melalui pengajaran pembacaan al-Quran di kampung turut menyerlahkan perasaan cintanya pada ganjaran daripada Allah SWT di akhirat kerana budi itu akan terus mengalir seperti sungai tanpa hujung selagi diamalkan daripada satu generasi ke satu generasi.
Menurut Budi Darma, penulisan cerpen persis memutar kembali nostalgia sama ada hanya berbentuk lirik cerita atau diselitkan dengan ilmu atau nilai yang ingin diketengahkan. Menerusi cerpen “Bekalan Ke Negeri Abadi”, pembaca akan mengimbau kembali zaman kanak-kanak sewaktu berdepan dengan guru-guru agama yang sentiasa tegas menjalankan peranan mereka. Perkara yang sama dilakukan oleh Guru Hasnah dalam memastikan anak-anak didiknya menguasai ilmu yang dikongsikan. Dia akan keluar dari biliknya bersama rotan yang panjang berwarna coklat gelap. Guru Hasnah akan memukul lantai sebagai tanda amaran supaya anak didiknya tidak bergurau senda dan bermain-main semasa membaca al-Quran.
Antara catatan peristiwa yang terus menjadi amalan masyarakat Islam yang digambarkan dalam cerpen ini ialah menjadikan khasiat dan zat ayat suci al-Quran yang dibacakan pada air sebagai ikhtiar menerangi hati agar ilmu mudah masuk dan melekat dalam minda. Guru Hasnah akan membaca surah Yasin bersama-sama beberapa ayat al-Quran yang lain pada botol air dengan tudung yang terbuka sehingga anaknya bukan hanya memenangi beberapa pertandingan hafazan dan tilawah di sekolah, tetapi juga berjaya menempatkan diri di menara gading – Rashidah menuntut dalam jurusan Syariah dan Undang-undang manakala Rashid pula dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa. Pengarang sama ada secara sengaja atau tidak, cuba menyisipkan pengajaran agar setiap manusia memperbaiki hubungan dengan Allah iaitu menyerahkan diri kepada-Nya. Allah berfirman:
“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” [Surah al-Mu’minun 40:60]
Antara kelebihan pengarang dalam cerpen ini ialah apabila mampu menjadi pencerita yang baik untuk mengimbau kembali rentetan peristiwa yang pernah menjentik dan mengusik rasa terutama pada zaman kanak-kanak. Pengarang mengolah setiap memori itu dengan bahasa yang lancar apabila kanak-kanak zaman dahulu berebut-rebut untuk menamatkan pembacaan 30 juzuk al-Quran kerana akan diadakan majlis khatam al-Quran dengan penyediaan pulut kuning dan telur rebus disertakan bersama-sama bendera bercorak yang dililit lidi ditepinya. Bendera kecil tersebut dihasilkan daripada kertas warna dan akan dicucuk di atas pulut kuning sebelum diberi kepada rakan atau jiran. Pengarang cuba mengetengahkan tradisi yang masih diamalkan sehingga kini sebagai luahan rasa syukur serta sebagai tanda keakraban kerana pulut kuning itu bukan sahaja dijamah beramai-ramai bersama rakan mengaji tetapi turut dihantar ke rumah jiran tetangga.
Sesebuah cerpen perlu digerakkan oleh konflik yang akan terus berkembang menuju klimaks sebelum berlakunya penurunan sebelum peleraian. Itulah kronologi binaan plot dalam sesebuah karya yang kadangkala ditulis tanpa mengikut susunan lazim secara konvensional. Ada pengkritik meletakkan bahawa cerpen yang menarik dibina oleh konflik yang diketengahkan. Sesebuah cerpen itu dikatakan menjadi hambar jikalau diketengahkan secara mendatar tanpa ada elemen saspens dan aspek ketegangan yang dimasukkan dalam konfliks. Bagaimana pula dengan cerpen “Bekalan Ke Negeri Abadi” ? Adakah konflik yang diutarakan oleh pengarang cukup memberikan impak dan kesan emosi kepada pembaca ?
Konflik dalam cerpen ini timbul daripada fitnah dan kata-kata kesat yang dilontarkan oleh Mak Minah dan Mak Lijah kepada Guru Hasnah. Mawar yang kebetulan masih berada di rumah gurunya itu melihat wajah kesedihan gurunya yang pertama kali dilihatnya mengalirkan air mata. Guru Hasnah dituduh sebagai seorang yang tamak tatkala menerima wang bantuan daripada wakil rakyat, juga menerima wang bantuan kepada ibu tunggal yang diserahkan melalui ketua kampung tetapi masih lagi menerima pemberian wang daripada penduduk kampung yang menghantar anak mereka mengaji al-Quran dengannya. Tuduhan demi tuduhan dilontarkan walaupun Guru Hasnah mempertahankan diri bahawa dia tidak pernah meminta sebarang imbalan malah pemberian daripada usahanya mengajar anak-anak kampung mengaji al-Quran diberikan seikhlas hati.
Perkara utama yang cuba diketengahkan oleh pengarang daripada konflik ini ialah perasaan hasad dengki dan iri hati yang sememangnya sudah berakar umbi dalam masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Perasaan cemburu dan tidak mahu melihat kesenangan orang lain ditonjolkan melalui watak Mak Minah dan Mak Lijah. Perhatikan dialog di bawah ini yang menunjukkan betapa beratnya fitnah yang dimainkan oleh watak dalam cerpen berkenaan:
“Kau ada apa-apa hubungan ke dengan YB kawasan kita ni? Atau nak jadi isteri nombor dua ketua kampung? Sebab itulah senang-senang saja dapat bantuan.”
Pengarang sebagai makhluk berketuhanan ingin menonjolkan tentang betapa tajamnya kata-kata fitnah yang merupakan perbuatan yang sangat dimurkai oleh Allah SWT seperti firmannya dalam Surah al-Baqarah, ayat 191 yang bermaksud:
“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir”.
Sebagai watak yang sangat memahami perasaan gurunya, Mawar telah menangkis tuduhan Mak Minah dan Mak Lijah itu sehingga kedua-dua watak berkenaan berasa terkejut kerana ada orang lain yang mendengar kata makian mereka terhadap Guru Hasnah. Teknik dialog yang digunakan oleh pengarang sangat membantu untuk menggerakkan plot cerpen ini:
“Kalau Mak Limah dan Mak Minah nak tahu, Guru tak pernah minta satu sen pun daripada mak ayah kami. Tapi, mak ayah kami yang seikhlas hati mahu memberi upah kepada Guru sebab Guru tak pernah berkira dengan kami. Malah setiap hari berkongsi rezeki dengan kami, dihidangnya pelbagai jenis makanan untuk menjamu kami selepas mengaji. Kalaulah tuduhan Mak Limah dan Mak Minah tadi benar, rasanya Guru tak duduk dah kot rumah kayu macam ni. Dah ditukarnya jadi rumah batu hasil duit bantuan yang diterima.”
Penonjolan watak Guru Hasnah yang sangat mementingkan agama dipelihara oleh pengarang apabila watak berkenaan tidak mahu Mawar menceritakan tentang tuduhan dan kata-kata kesat yang dilontarkan kepadanya. Guru Hasnah tidak mahu memanjangkan sengketa malahan dia mendoakan sesuatu yang baik kepada watak Mak Minah dan Mak Lijah. Dalam perspektif Islam, penghasilan karya kreatif hendaklah bertujuan antara lain, meninggikan apresiasi manusia tentang semua nilai yang baik, murni dan diredai oleh Allah SWT. Kebolehan mencipta karya kreatif ini bukan semata-mata berpunca kepada keupayaan diri pengarang sendiri tetapi sebaliknya adalah anugerah dan amanah daripada Allah sesuai pengiktirafan Allah kepada manusia bahawa dalam kedudukan mereka selaku hamba-Nya, manusia juga adalah khalifah di muka bumi ini. Oleh itu, pengarang telah memainkan peranannya untuk menjadikan seni sastera penulisan ini untuk melaksanakan amanah tersebut. Cerpen ini diakhiri dengan kematian Guru Hasnah yang telah meninggal dunia pada hari Jumaat persis memberikan anugerah atas jasa baiknya yang suka bersedekah dan mengerjakan segala suruhan-Nya.
Niat penghasilan karya untuk menjadi khalifah Allah akan mendorong seseorang menghasilkan karya yang boleh menuntun pembaca ke arah peningkatan iman dan ketakwaan, mengerjakan amalan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Pengarang turut menjadikan pemerolehan ilmu yang perlu dilakukan secara berterusan seperti watak Mawar yang terus membaiki bacaan dengan meningkatkan ilmu tajwid biarpun sudah khatam al-Quran.
Secara keseluruhannya, cerpen ini berdiri sebagai sebuah cerpen yang baik jikalau dinilai daripada aspek persoalan dan nilai, ditambah lagi dengan bahasa penceritaan yang lancar. Dengan bahasa yang halus dan sederhana, inti cerpen ini melekat dalam jiwa pembaca terutama dengan pembinaan watak Mawar dan Guru Hasnah yang begitu kukuh sehingga pembaca dapat membayangkan kelembutan dan peribadi Guru Hasnah yang sangat menjaga tutur katanya.
Biarpun persoalan agama yang diketengahkan oleh pengarang masih di atas permukaan dan kurang mendalam namun semua ini tetap masih boleh dibanggakan apabila pengarang nampak memahami fungsi dan hakikat diri sebagai penulis dengan memberikan pesanan-pesanan untuk menuju kebenaran. Mungkin cerpen ini menjadi permulaan untuk pengarang menulis tentang tema yang sama tetapi menulisnya secara lebih mendalam. Umpamanya antologi Adam Makrifat (1975 ) ditulis sebagai kesan daripada rasa beragama Danarto dan daripada psikologi estetiknya. Bagaimana pun, cabaran yang akan dihadapi oleh pengarang jikalau menulis secara mendalam tentang aspek berkenaan adalah dari aspek penerimaan pembaca. Ramai yang akan menjauhkan diri daripada membaca karya yang terlalu sarat dengan bidang falsafah dan keagamaan. Mereka hanya mahukan karya-karya yang ringan – tanpa perlu berfikir secara mendalam.
Antara perkara yang perlu ditingkatkan untuk menjadikan cerpen ini lebih mendatangkan impak adalah dari aspek binaan plot cerpen yang agak mendatar tanpa didukung konflik yang mampu menggugah jiwa pembaca. Konflik dalam cerpen ini terlalu ringan malah diselesaikan dengan mudah, yakni hanya dengan pendapat watak Mawar terhadap Guru Hasnah. Plot cerpen ini boleh dikembangkan lagi dengan tuduhan daripada watak-watak antagonis bahawa Guru Hasnah cuba menyebarkan ilmu agama yang terpesong daripada kebenaran. Kepercayaan masyarakat kampung kepada Mak Minah dan Mak Lijah tentu akan menambahkan lagi konflik kejiwaan yang dialami oleh Guru Hasnah. Penolakan masyarakat terhadap usaha murni yang dilakukan oleh Guru Hasnah pastinya memberikan nilai tambah daripada aspek konflik dan meningkatkan unsur saspens. Keterujaan pembaca akan melonjak jikalau elemen-elemen ini disisipkan oleh pengarang dalam cerpen berkenaan. Usaha ini akan memisahkan cerpen ini daripada catatan biasa yang tidak dibebani dengan konflik yang perlu diselesaikan oleh pengarang pada bahagian peleraian.
Walaupun cerpen ini diolah dengan bahasa yang baik, tetapi terdapat beberapa kesalahan kecil yang dilakukan oleh pengarang terutama daripada aspek imbuhan. Berikut adalah kesilapan imbuhan tersebut:
bewarna – berwarna
bekongsi – berkongsi
Kesilapan-kesilapan kecil begini biarpun tidak banyak menjejaskan kualiti keseluruhan cerpen berkenaan namun akan menjejaskan peranan pengarang sebagai penyampai kebenaran kerana pembaca akan menjadikan karya sebagai wahana untuk membaiki bahasa mereka.
Ternyata Nabillah Bolhassan telah menunjukkan jati dirinya sebagai penulis muda yang menjanjikan dan mempunyai masa depan yang cerah jikalau bakat tersebut terus diasah terutama melalui pembacaan meluas tentang karya-karya penulis mapan. Yang penting, pengarang sentiasa konsisten membaca dan berkarya. Pengarang sememangnya sudah menempatkan karyanya dalam akhbar perdana dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti Dewan Budaya. Pengarang juga saya kenali sebagai penulis yang banyak menulis tentang sejarah – sehinggakan dia pernah memenangi Sayembara Menulis Cerpen Sejarah pada hujung tahun 2022 yang lalu. Jadi, penulisan cerpen yang bertemakan tentang keagamaan ialah percubaan pertama pengarang untuk keluar daripada kebiasaan dan ternyata usaha tersebut berbaloi. Dengan pengalaman dan kejayaan yang telah diperoleh, karya-karya pengarang pada masa akan datang perlu dipertimbangkan untuk ditempatkan dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa kerana pengarang telah melepasi tahap minimum yang perlu dilalui oleh penulis baharu.
Semoga dengan semangat pengarang yang berterusan menghasilkan karya berkualiti akan menjadi bekalan buatnya untuk menjadi penulis yang disegani.