KUALA LUMPUR: Festival Filem Cannes (CFF) ke-76 yang berlangsung dari 16 hingga 27 Mei di Cannes, Perancis menyediakan platform luar biasa untuk bakat-bakat dari Malaysia bersinar di persada antarabangsa.
Penyertaan Dr Nisha Thayananthan anak kelahiran Malaysia yang kini menetap di Ireland dan pelakon serta model tempatan, Sangeeta Krishnasamy, pada acara berprestij itu menyuntik dimensi kepelbagaian kepada acara berkenaan.
Dr Nisha, seorang model sambilan dan pencinta fesyen berkata melangkah di karpet merah di CFF merupakan impian menjadi kenyataan baginya dan memberikan pengalaman yang sangat berharga.
“Ia adalah satu pengalaman yang menakjubkan dan perjalanan luar biasa menjadi seorang doktor di bilik pembedahan dan diundang ke karpet Festival Filem Cannes. Saya yakin wujudnya harmoni dalam bidang perubatan, fesyen dan pembikinan filem,” kata Dr Nisha melalui WhatsApp kepada Bernama.
Dr Nisha percaya latar belakangnya sebagai doktor perubatan sudah pasti mempengaruhi pendekatannya terhadap filem yang dipaparkan di festival itu.
Beliau berkata filem-filem di Cannes itu memberikannya peluang untuk merenung kembali pengalaman hidup dan mengambil pengajaran yang bermakna untuk membantu masyarakat.
Antara filem yang meninggalkan impak ialah ‘Black Flies’ yang memaparkan perjalanan Ollie Cross, seorang pemuda yang bersiap sedia untuk ke sekolah perubatan dan mengetengahkan cabaran yang dihadapi oleh profesional perubatan.
“Kisah bidang perubatan yang begitu realistik ditonjolkan dalam filem itu berkaitan dengan profesion saya di bidang perubatan, mengetengahkan dedikasi dan daya tahan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa walaupun menghadapi halangan,” katanya.
Mengenai pandangannya terhadap para profesional perubatan yang berhasrat untuk mengejar minat kreatif, Dr. Nisha menekankan kepentingan untuk mencari tujuan hidup dan lakukan apa yang diminati, tanpa memikirkan pandangan masyarakat.
“Meskipun menjadi doktor sepenuh masa menuntut banyak waktu dan tenaga, terlibat dalam usaha kreatif boleh memberikan kegembiraan, mengurangkan stres dan meningkatkan kemajuan diri. Dengan terlibat dalam usaha-usaha ini, para profesional muda dapat menjadi individu yang berdaya maju dalam bidang yang mereka pilih sambil memupuk sisi artistik mereka,” katanya.
Sementara itu, Sangeeta yang kali pertama menyertai CFF percaya festival filem itu menjadi platform terkemuka untuk penerbit yang mahu mengintai kerjasama antarabangsa.
Beliau berkata banyak insentif menarik yang disediakan oleh pelbagai negara, Malaysia misalnya menawarkan insentif 30 peratus untuk penerbitan filem asing yang memilih membuat penggambaran di negara ini.
“Negara lain turut memberikan insentif seperti Sepanyol, Iran, Brazil dan Taiwan…mereka bekerjasama dengan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, CCF tahun ini telah menyaksikan penyertaan banyak negara ASEAN, yang membawa kepada pengenalan tumpuan ASEAN-Eropah, sambil menambah bahawa inisiatif itu bertujuan memudahkan hubungan antara pembuat filem ASEAN dan Eropah, memupuk pembiayaan bersama dan kerjasama penerbitan bersama. – Bernama