TEH adalah sejenis minuman yang popular dalam kalangan masyarakat dunia. Sejarah teh dikatakan bermula di China. Asal-usul teh ini dikaitkan dengan penemuan tidak sengaja sekitar 2737 sebelum Masihi di China apabila daun teh jatuh ke dalam minuman Maharaja Sheng Nung. Apabila beliau meminum air bercampur daun teh itu, beliau mendapati minuman itu menyegarkan dan sedap.
Kemudiannya teh menjadi minuman popular di China sejak zaman Dinasti Tang. Pada dinasti ini juga munculnya upacara meminum teh. Selepas itu upacara ini disebar pula ke Korea dan Jepun. Pada sekitar abad ke-17 pula amalan minum teh menjadi popular di England.
Oleh kerana popularnya menuman ini menyebabkan kerajaan British mengenakan cukai yang tinggi dan akhirnya mencetus protes pada 1773 di Amerıka Syarikat yang dikenali sebagai The Boston Tea Party. Teh juga merupakan salah satu sebab British berperang dengan China dalam Perang Candu pada 1839.
Begitu hebatnya kesan daripada minuman teh kepada sejarah dunia. Oleh kerana popularnya minuman ini, maka teh juga ditanam di negara kita seperti di Cameron Highlands, dan kepandaian rakyat Malaysia mencipta pula minuman yang dikenali sebagai Teh Tarik. Teh Tarik seolah-oleh menjadi kemestian bagi peminat teh ke kedai-kedai mamak.
Pemulaan
lmpak minuman teh ini juga dirasai d Sarawak, dan satu ketika dahulu teh menjadi tanaman yang cuba dikomersialkan oleh kerajaan Brooke. Malahan pada 1878 sudah ada pemintaan daripada pelabur dari Sri Lanka dan India untuk mendapat maklumat tentang jenis tanah, iklîm dan peraturan tanah bagi tujuan penanaman kopi dan teh di Sarawak.
Sementara itu pihak kerajaan Brooke sudah ada perancangan untuk menanam teh di Sarawak. Percubaan menanam teh ini tidak mengecewakan, dan teh telah tumbuh dengan baik di Sarawak. Teh ini ditanam di tanah rendah, dan usaha juga dibuat untuk mencari kawasan tanah tinggi tetapi belum menjumpai kawasan yang sesuai untuk penanaman teh itu.
Tumpuan penanaman teh adalah di Estet Matang. Namun ladangnya tidaklah besar dan pengeluarannya juga agak kecil. The Borneo Company pula berperanan dalam urusan jual-beli teh tersebut. Pada November 1906 misalnya sebanyak 860 paun telah dihantar kepada syarikat tersebut untuk tujuan pemasaran.
Import teh
Data-data awal menunjukkan bahawa teh ini tidak dieksport ke luar Sarawak. Namun demikian teh pula diimport ke Sarawak untuk penggunaan tempatan. Pada November 1906 sebanyak 289 kotak teh diimport dari luar negara dengan nilai $2,664 manakala pada November 1920 pula import teh berkurangan pada 165 kotak dengan nilai $4,107.
Jika dilihat pada senarai harga barang di Kuching pada November 1926, terdapat tiga jenis teh import di pasaran bandar ini. Tiga jenis teh ini ialah teh Ceylon, Teh China dan Teh Assam. Menarik juga pada senarai ini ialah penjualan teh tempatan iaitu teh Matang yang mempunyai dua gred iaitu gred 1 dan gred 2. Hal ini menunjukkan bahawa pengeluaran teh Sarawak dari estet Matang itu lebih kepada penggunaan tempatan.
Mengenai gred teh ini sebenarnya mempunyai tiga gred. Dari segi mutu teh ini, ia agak kurang bermutu. Ini menyebabkan harga teh itu rendah. Jika dilihat mengenai perkembangan penanaman teh di Sarawak ini, ia tidak menampakkan keuntungan besar, dan ini menyebabkan laporan tentang penanaman teh tidak mendapat liputan dalam laporan pihak kerajaan British selepas perang.
Babak baharu
Namun demikian usaha untuk menanam teh sebagai bahan tanaman eksport telah digerakkan semula selepas merdeka di Sarawak. Namun idea menanam semula teh untuk tujuan komersial hanya berlaku kira-kira 17 tahun selepas merdeka. Pada awal 1980-an Sarawak menerusi agensi kerajaan negeri iaîtu Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) memulakan semula projek penanaman dan pengeluaran teh di Sarawak.
SALCRA telah menubuh anak syarikatnya iaitu Teh Mayang Sdn. Bhd. untuk menjalankan aktiviti penanaman teh di Mayang-Tembawang, Serian.
Teh yang ditanam di Sarawak dinamakan Teh Mayang. Teh ini mula menghasilkan keluaran pertamannya pada 1985. Pengeluaran Teh Mayang pada 1995 adalah kira-kira 350,000 kilogram teh setahun. Projek Teh Mayang ini juga sebahagian usaha kerajaan membantu penduduk setempat di Serian untuk mendapat pekerjaan.
Pengedaran
Urusan Timuran—Jong Brothers Sdn. Bhd., dilantik sebagai syarikat pengedar teh tersebut ke luar Sarawak. Syarikat ini menandatangani perjanjian pengedaran dengan Teh Mayang Sdn. Bhd untuk memperluaskan pasaran teh ini. Harapan syarikat Teh Mayang Sdn Bhd kepada syarikat pengedar ini ialah dapat memasarkan teh tersebut ke Brunei dan Singapura kerana syarikat pengedar itu mempunyai cawangan dan anak syarikat di dua negara terbabit.
Syarikat pengedar tersebut juga telah berjaya memasarkan teh itu ke luar Sarawak. Tujuh puluh peratus teh ini dieksport ke Semenanjung Malaysia. Selebihnya dibungkus untuk dipasarkan di peringkat tempatan. Pada 1986 terdapat usaha untuk menembusi pasaran Eropah. Atas sebab itu kira-kira 10,000 kilogram teh mayang telah dieksport ke Belanda pada tahun tersebut.
Sebelum itu, teh ini pernah di hantar ke London. Pada 1993 pengurus Teh Mayang Sdn. Bhd. iaitu Mike De Elvis menyatakan bahawa Teh Mayang ini mempunyai mutu yang tinggi. Katanya, syarikat ini memperoleh pendapatan sebanyak RM250,000 pada 1985 dan pendapatan ini meningkat kepada RM1.4 juta pada 1993.
Pasaran tempatan
Walaupun Teh Mayang mempunyai mutu yang tinggi menurut Mike, teh tersebut agar sukar untuk menyaingi teh yang sudah lama di pasaran antarabangsa. Mike berharap agar pemasaran teh ini diperkuatkan di peringkat pasaran tempatan. Dalam hal ini beliau amat berharap penduduk Sarawak ketika itu mempunyai jiwa patriotisme yang tinggi untuk memberi dokongan dan sokongan kepada kemajuan industri teh tempatan.
Perkembangan penanaman teh di Sarawak telah diusahakan sejak zaman pemerintahan Brooke tetapi ketika itu industri ini gagal memberi kesan kepada pembangunan ekonomi Sarawak. Namun usaha ini diteruskan lagi oleh SALCRA menerusi anak syarikatnya untuk mempromosi teh mayang sebagai teh yang setanding dengan jenama terkenal yang lain di dunia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.