BINTULU: Bintulu memerlukan hospital kedua berikutan peningkatan populasi penduduk dan aktiviti ekonomi yang pesat di bandar industri minyak dan gas itu, kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu, hospital sedia ada tidak sesuai untuk diperbesarkan kerana faktor tanah dan topografi (tanah tinggi).
“Hospital Bintulu telah berbincang dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta Jabatan Tanah dan Survei berkenaan tapak kedua (hospital) yang sesuai untuk masa hadapan di mana beberapa perkhidmatan akan diagihkan (decentralised).
“Hospital kedua (di Bintulu) sangat diperlukan lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 dua tahun lalu. Masa itu, semua perkhidmatan hampir menurun dan hospital terpaksa digunakan sepenuhnya sebagai hospital Covid-19.
“Ya, Kami sangat berterima kasih kepada hospital swasta yang telah membantu pada ketika itu tetapi kerajaan harus melakukan sesuatu untuk mengatasi kekurangan tersebut pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan bangunan Cardiopulmonary Assessment Suite di Hospital Bintulu, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak komited untuk merealisasikan pembinaan hospital kedua terbabit walaupun ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan juga akan berusaha mendapatkan autonomi kesihatan yang termaktub dalam hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof pada penghujung bulan ini bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan swasta mengenai kaedah perkhidmatan terbaik yang dapat diberikan kepada rakyat Sarawak,” katanya lagi..
Beliau menjelaskan, sistem secara berpusat di Semenanjung yang melihat kepada populasi penduduk dalam membina kemudahan kesihatan dilihat tidak bersesuaian untuk Sarawak.
Ini kerana, ujarnya, jarak lokasi hospital di Sarawak yang jauh antara satu sama lain di mana hanya ada sebuah hospital dalam satu bahagian seperti Bintulu dan Sibu.
“Kalau hospital ini penuh atau ada masalah lain, hospital lain yang ada pula jauh seperti di Sibu dan Miri,” tegas beliau.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, Timbalan Pengarah JKN Sarawak (Perubatan) Dr Azlee Ayub, Pengarah Hospital Bintulu Dr Suzalinna Sulaiman, wakil Residen Bahagian Bintulu Harun Hatta dan Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid.
Hadir sama, Setiausaha Politik Premier Sarawak Angellie Stephen Raja, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Lau Pit Hwa, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Bintulu Datuk Mejar Hii Toh Him dan Pengarah Teknikal Amalgamated Plan Engineering Sdn Bhd Lim Kim Ping.
Oleh Carolyne Utih