KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melalui anak syarikatnya SEDC Energy terlibat secara aktif dalam menghasilkan hidrogen hijau sebagai usaha ke arah ekonomi hijau melalui dua projek utama iaitu H2ornbill dan H2biscus.
Pengerusi SEDC Energy, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain berkata, inisiatif ekonomi hidrogen ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mencapai pelepasan karbon sifar dan mengiktiraf kredit karbon sebagai komoditi dagangan apabila Sarawak menerokai teknologi hidrogen dan teknologi hijau yang lain.
“Pengeluaran hidrogen hijau berskala besar di Sarawak dengan nama kod Project H2ornbill telah dimulakan melalui anak syarikat kami, SEDC Energy dan dengan kerjasama syarikat Jepun, Sumitomo Corp dan ENEOS.
“Dan satu lagi inisiatif oleh SEDC Energy ialah kerjasama dengan tiga syarikat besar industri Korea iaitu Samsung Engineering, POSCO dan Lotte Chemical untuk kajian kebolehlaksanaan Projek H2biscus dengan objektif untuk membangunkan Kemudahan Derivatif Hidrogen Hijau di Petchem Industrial Park, Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak dan Ekspo Minggu Tenaga Antarabangsa Ke-5 (IEW) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tan Sri Abdul Aziz menambah, SEDC Energy juga terlibat dalam pembangunan infrastruktur untuk Pengisian Bahan Bakar EV dan Hydrogen based EV (FCEV).
“Pembinaan stesen minyak pelbagai bahan api PETROS pertama di Darul Hana telah siap dan mula beroperasi secara rasmi sejak 1 April 2022.
“SEDC Energy juga telah melancarkan stesen minyak bersepadu PETROS pada Mac lepas dengan model operasi berasaskan konsep milik dan kendalian peniaga atau ‘Dealer Owned, Dealer Operated’ (DODO) yang pertama di Daro dan ini adalah usaha pertama kami di kawasan bandar,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Samsung Engeneering Park Cheon-Hong berkata, mereka mahu mempromosikan projek H2biscus dan inisiatif-inisiatif ini untuk menjadikan Sarawak sebagai hab hidrogen pertama di dunia.
“Kami komited untuk melaksanakan projek di negeri Sarawak dan mempromosikan projek tersebut bersama-sama dengan Sarawak sebagai hab hidrogen pertama secara global,” katanya.
Dalam pada itu, inisiatif lain dalam perancangan SEDC ke arah ekonomi hijau termasuklah Pengeluaran Hidrogen Turquoise yang melibatkan kerjasama SEDC Energy dengan rakan kongsi teknologi untuk mengkaji pengeluaran hidrogen daripada bio metana dan gas asli melalui ‘Thermo catalytic Decomposition’ (TCD).
Hadir sama Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.
Oleh Azreen Keria