KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti terlebih dahulu berkaitan senarai projek di bawah RM200,000 sebelum melepaskannya kepada pihak berkaitan bagi perlaksanaan.
Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, terdapat beberapa aspek dan prosedur yang perlu diperhalusi kerana ia melibatkan aspek teknikal.
“KKR perlu melihat kepada aspek keselamatan. Ini disebabkan jika diberikan kepada pihak luar daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mungkin kemampuan teknikal mereka tidak sama.
“Kalau projek kecil, kita akan senaraikan, jika JKR atau KKR sudah berpuas hati maka memang kita akan lepaskannya,” katanya ketika ditemui media pada majlis rumah terbuka Gawai Dayak di kediamannya di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan JKR dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.
Katanya, pihaknya masih belum mempunyai senarai projek berkenaan, namun ia akan disediakan dan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Projek berkenaan berbeza dengan projek di bawah kos RM50 juta di Sabah Sarawak.
“RM50 juta itu untuk Sarawak dan Sabah yang dibincangkan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Memang di Sarawak, apa saja projek daripada kementerian atau Menteri Kewangan, kita lepaskan pelaksanaannya kepada JKR Sarawak,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN