KUCHING: Larian Ora Et Labora edisi keenam bertemakan ‘I Run for St Joseph’s’ pada 7 Oktober depan setakat ini menarik lebih 1,200 penyertaan.
The Old Josephians’ Association (OJA) Kuching selaku penganjur menyasarkan lebih 1,400 penyertaan pada tahun ini.
Larian dianjurkan bermula dari SMK St. Joseph seawal 6.00 pagi, seperti yang pernah diadakan sebelum ini.
Presiden OJA, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, larian tersebut diadakan bagi mengumpul semula kesemua bekas pelajar sekolah tersebut juga dianggap platform berkongsi pengalaman untuk melihat bersama pelbagai perkhidmatan yang boleh disalurkan bagi membantu pembangunan sekolah berkenaan.
“Ramai yang telah menyokong acara larian itu pada edisi lepas dan ia sangat berjaya. Larian Ora Et Labora dimulakan semula tahun lepas, selepas kelonggaran kawalan pencegahan Covid-19.
“Ia menarik lebih 1,200 penyertaan tahun ini dan menyasarkan lebih 1,400 pelari akan menyertai kami.
“Kami bercadang untuk adakan pameran makanan untuk mengumpul dana bagi menyokong keterlibatan pelajar menerusi aktiviti kokurikulum sekolah terutamanya yang sedang bergiat dalam mengendalikan asas perniagaan di peringkat sekolah.
“Pada masa sama, pameran seumpama itu juga pasti akan memeriahkan lagi suasana pengajuran larian.
“Dengan keterlibatan kesemua pelajar sebagai satu pasukan gabungan ketiga-tiga sekolah terlibat, diharap dapat membentuk jaringan yang kukuh dan lebih erat pada masa akan datang,” katanya.
Dr Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak telah melancarkan Ora Et Labora 2023 PADA mesyuarat jawatankuasa OJA blok baharu di SMK St Joseph’s bersama Ahli Jawatankuasa OJA, malam tadi.
Menurut beliau, OJA telah menganjurkan pelbagai aktiviti seumpama itu bagi menyatukan semula pelajar masa kini dan masa lalu tiga sekolah berkenaan.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mengumumkan beberapa siri program sedang dalam perancangan.
Antaranya ialah ‘Sukan Kembali Ke Sekolah’ iaitu acara untuk pelajar sekarang dan alumni sempena Hari Josephian pada 6 Oktober kelak.
OJA juga akan terus menganjurkan ceramah kerjaya dan kepimpinan oleh penceramah alumni sekolah untuk memotivasi, memberi inspirasi dan mendedahkan golongan muda Josephians kepada pelbagai bidang profesion seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang, perakaunan dan lain-lain pada awal Ogos nanti.
Mengulas lanjut mengenai larian itu, Dr Sim berkata, ia dibahagikan kepada 1.4km (berjalan) untuk keluarga dan kanak-kanak, 5km (fun run) dan 10km (berlumba).
Kesemua peserta yang menamatkan larian akan menerima pingat penamat dan 10 penamat terbaik bagi kategori perlumbaan 10km akan menerima hadiah wang tunai tambahan.
Yuran pendaftaran setiap seorang ialah RM50 untuk 1.4km (berjalan) dan 5km (fun run) dan RM60 untuk 10km (berlumba). Setiap penyertaan berdaftar bakal mendapat sehelai baju-T dan sehelai bib larian bersempena larian tersebut.
Borang penyertaan boleh didapati di Revolution Run Borneo – Green Heights atau pendaftaran dalam talian boleh dibuat melalui www.malaysiarunner.com .
Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai Ora Et Labora Run 2023, orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi pejabat Revolution Run Borneo di talian 082-459397.
Oleh NUR AIN OTSMAN